PERANG BUKIT PUTUS (1875): ADAKAH DATO’ SIAMANG GAGAP SEORANG PAHLAWAN ATAU SEORANG POLITIKUS ISTANA YANG LICIK ?

Apabila membicarakan tentang sejarah Perang Bukit Putus (25-11-1875), penceritaannya tidak akan lengkap jika peranan seorang Orang Besar Istana Seri Menanti iaitu Dato’ Siamang Gagap atau nama sebenarnya Hj Kahar bin Mukmin tidak di sebut. Penceritaan sejarah yang ada rata-rata mengangkat tokoh ini sebagai wira bangsa apabila beliau mengetuai angkatan perang Yam Tuan Antah berperang dengan Angkatan Dato’ Undang Luak Sungai Ujong yang dibantu oleh Inggeris dan berjaya membuatkan Angkatan Dato Undang yang dibantu oleh Inggeris tersebut berundur ke Paroi.

Dato Siamang Gagap ini juga digambarkan sebagai penentang kepada campur tangan Inggeris dan oleh itu beliau adalah karektor yang sesuai diangkat sebagai ikon yang memperjuangkan kebebasan bangsa.

Namun adakah itu sahaja wajah Dato’ Siamang Gagap ? Mungkin jika kita dapat melihat sejarah dari sudut yang berbeza, kita mungkin mengerti mengapa dan kenapa sesuatu peristiwa itu berlaku dan mungkin kita melihat wajah sebenar individu yang sekian lama disanjung oleh sejarah.

Perang Bukit Putus pada tanggal 25-11-1875 meletus atas persengketaan antara Yam Tuan Antah, Yam Tuan Negeri Sembilan ke-6 (jika tidak dikira Tuanku Ampuan Intan sebagai Yam Tuan) dan Dato’ Undang Sungai Ujong, Dato Kelana Petra Syed Abdul Rahman . Kita mungkin tertanya apa mungkinnya seorang Undang yang menabalkan Raja berperang dengan Rajanya sendiri? Telah menjadi adat dan peraturan sejak Raja Melewar ditabalkan di Kg Penajis Rembau pada tahun 1773, Dato’-Dato Undang inilah yang menabalkannya. Secara ringkasnya boleh dikatakan tiada kebulatan dari Undang tiada Raja boleh ditabalkan.Itulah asas persetujuan, adat dan peraturan yang telah ditetapkan.Jika asas ini dilanggar maka pecahlah adat dan tidak ada  lagi kebulatan dan muafakat.

Apa mungkin seorang perempuan diangkat menjadi Raja walaupun hanya sebagai Pemangku. Inilah perkara yang dilakukan oleh Dato’ Siamang Gagap, seorang yang dianggap wira dalam sejarah yang telah menggunakan pengaruhnya sebagai Orang Besar Istana Seri Menanti untuk menaikkan Tuanku Ampuan Intan menjadi Raja (1869-1872) dengan alasan sementara waris pengganti kepada Yam Tuan Imam dapat diputuskan. Ini telah membelakangi adat dan peraturan yang ditetapkan seperti yang telah diperakukan sejak pertabalan Raja Melewar lagi. Inilah sebabnya Dato’ Undang Sungai Ujong Dato Kelana Petra Sendeng, imam atau ketua kepada Undang-Undang Luak marah dan mengisytiharkan keluar dari gabungan “ Nagari Sembilan”. Tindakan Dato Kelana Petra ini kemudiannya diikuti oleh Dato’ Undang Jelebu dan Rembau.

Kemelut bagi perlantikan waris takhta berlaku kerana ramai Orang Besar – Orang Besar Istana tidak mahu mengangkat anakanda AlmarhumYam Tuan Imam , Tuanku Ahmad Tunggal ibni Yam Tuan Imam sebagai Yam Tuan menggantikan ayahanda baginda yang mangkat kerana didakwa mempunyai kelakuan yang buruk dan zalim. Peranan Dato Siamang Gagap pada masa ini adalah untuk menidakkan Tuanku Ahmad Tunggal dari menaiki takhta lantas beliau mempengaruhi Orang-Orang Besar Istana menaikkan Tuanku Ampuan Intan ( balu Yam Tuan Radin) sebagai Pemangku Raja dan pada masa yang sama melobi agar Tuanku Besar Lintau ibni Raja Radin menaiiki takhta. Namun cadangan ini ditolak oleh Tuanku Besar Lintau kerana tidak berminat dengan urusan keduniaan dan mahu menumpukan masa untuk beribadat. Kemudian Dato Siamang Gagap melobi agar Tuanku Laksamana Antah ibni Raja Radin dijadikan Yam Tuan dan cadangan ini mendapat persetujuan penghulu-penghulu luak tanah mengandong (Johol,Muar,Jempol, Terachi,Gunung Pasir dan Inas).

Sekiranya dapat dilihat dari senario sejarah seperti di atas, Dato Siamang Gagap telah menggunakan kedudukannya serta pengaruhnya sebagai Orang Besar Istana untuk menidakkan keturunan Yam Tuan Imam dari menaiki takhta. Mengapa dia tidak menaikkan balu Yam Tuan Imam sebagai Pemangku tetapi sebaliknya menaikkan pula balu Yamtuan Raja Radin .Mengapa tidak Tuanku Ahmad Tunggal dinaikkan,kenapa cenderung kepada anakanda – anakanda Yam Tuan Raja Radin? Dikisahkan jawatan Dato Istana yang disandang oleh Dato Siamang Gagap dikurnia oleh Yam Tuan Raja Radin dan adakah tindakan yang dilakukan ini bagi membalas jasa? Atau adakah ini untuk mengekalkan pengaruh dalam Istana yang mungkin hilang jika Tuanku Ahmad Tunggal menjadi Yam Tuan?

Siapa sebenarnya Dato’ Siamang Gagap ?

Menurut penceritaan orang tua-tua, Kahar atau Dato Siamang Gagap lahir pada tahun 1817 di kampung Repah,kawasan Tampin. Sejak kecil dia seorang anak yang lincah dan cerdik cuma satu kekurangannya iaitu gagap bila bercakap. Tetapi apabila besar dia berjaya mengatasi masalah gagapnya.

Diceritakan Dato Siamang Gagap pernah berguru dengan seorang alim dalam agama diberi gelar TOK KALI SINGA. Kemudian beliau ke Patani mendalami ilmu agama dan mempelajari ilmu persilatan. Beliau juga diceritakan menjelajah tanah Minangkabau untuk mendalami ilmu persilatannya.

Apabila pulang dari perantauan, beliau mengajar ilmu agama dan persilatan kepada anak-anak muda di kampungnya. Beliau juga bercita-cita menjadi pembesar istana dan untuk mencapai cita-citanya beliau mengajak ayah dan ibunya berpindah ke Kampung Sungai Layang yang letaknya tidak jauh dari istana Yamtuan Seri Menanti. Sikap Dato Siamang yang rendah diri dan peramah membuatkan dia mudah disenangi dan diterima oleh orang-orang kampung.

Serangan dan gangguan orang-orang Rawa (Rao) yang datang dari Lenggeng telah mengganggu keamanan dan kemakmuran Luak Tanah  Mengandong (Seri Menanti) Orang-orang Rawa ini terkenal dengan ganas dan tidak berperi kemanusiaan. Semasa itu orang-orang Rawa amat terkenal dengan ilmu Rao Rontek(1) dan Bom Katak (2) [rujuk notakaki maknanya] . Rakyat mengadu kepada pihak istana tetapi Yamtuan Raja Radin tidak dapat berbuat apa-apa kerana bilangan orang-orang Rawa yang ramai tambahan pula baginda kuatir ramai yang akan menjadi mangsa jika berlaku peperangan dengan orang-orang Rawa.

Dato Siamang Gagap hadir mengadap Yamtuan menyatakan kesanggupannya menghadapi orang-orang Rawa seorang diri. Pada mulanya Yamtuan tidak yakin dengan kebolehannya tetapi bila Kahar bersungguh-sungguh menyatakan kesanggupannya akhirnya baginda bersetuju dengan harapan tidak berlaku peperangan. Dato Siamang Gagap menggunakan tipu helahnya untuk memperdayakan orang-orang Rawa. Dia mengadap ketua orang-orang Rawa bernama Temusi lalu mengaku datang dari Minangkabau bersama ramai pahlawan terbilang bertujuan membantu Yamtuan untuk memerangi orang-orang Rawa.

Dato Siamang Gagap juga mengajak mengadu kekuatan seorang lawan seorang untuk menguji kehebatan pahlawan Rawa. Akhirnya berlakulah pertandingan pencak silat antara Dato Siamang Gagap dengan pahlawan Rawa yang terbilang dan dalam pertandingan itu Dato Siamang Gagap berjaya mengalahkan lawannya. Kemudian Dato Siamang Gagap mengatakan dia cuma orang suruhan sahaja berbanding pahlawan Minangkabau lain yang semuanya lebih handal darinya.Akhirnya orang-orang Rawa merasa takut lalu meninggalkan Seri Menanti.

Sebagai menghargai jasanya berjaya menghalau orang-orang Rawa maka Yamtuan Radin menganugerahkan gelaran DATO SIAMANG GAGAP kepada beliau dan juga dilantik menjadi pembesar istana. Beliau menjadi pembesar Istana bermula dari masa pemerintahan Yam Tuan Radin, Yam Tuan Imam, Tuanku Ampuan Intan (pemangku) dan Yam Tuan Antah.

admin
Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *