Malaysian Review

Kad Merah Untuk Najib Sebelum Pengundi Marah, Buku Shahbudin Husin

 

Shahbudin Husin penulis buku politik dan blogger terkenal di Malaysia muncul dengan buku terbarunya mengenai perjalanan dan hayat politik Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dengan tajuk ‘Kad Merah Untuk Najib’ – Gambar Shahbudin Husin bersama Tun Dr Mahathir di pejabat beliau KLCC.

Shahbudin Husin dan Tan Sri Sabaruddin Chik baru baru ini telah disaman sebanyak RM1 bilion terbesar dalam sejarah Malaysia oleh personaliti kontroversi Deepak Jaikishan kerana menulis buku mengenai penyelesaian hutang Bank Rakyat.

Mengapa begitu besar jumlah saman tersebut tentunya senilai juga dengan besarnya isu yang beliau tuliskan melalui sumber Tan Sri Sabaruddin Chik bekas menteri di era Tun Dr Mahathir.

Shahbudin Husin pernah menjadi wartawan beberapa akhbar di tahun 80an dan 90an, pernah juga berkhidmat di MARA.

Pada tahun 1996-2000 menjadi Setiausaha Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan, Pemuda Umno Malaysia dan 2004-2008 menjadi Naib Ketua Pemuda dan AJK Umno Bahagian Wangsa Maju serta AJK Pemuda UMNO Negeri WP.

Shahbudin boleh juga dikatakan sebaris dengan penulis buku politik isu membakar ‘signature writer’ yang melahar dalam dalam bahasa melayu popular lainnya seperti Pak Habib atau Syed Hussein Al-Attas yang khusus banyak menyentuh isu kepimpinan, sejarah, rahsia dan peribadi ahli politik Umno.

Senarai karya karya penulis politik Shahbudin Husin yang prolifik popular dengan tagline ‘Kritis dan membina negara’.

Best Seller 2013 – Najib Gagal
Best Seller 2013 – Najib Gagal
Best Seller 2012 – Asalkan Bukan Najib …
Best Seller 2012 – Asalkan Bukan Najib …
Best Seller 2011 – Kesilapan Najib
Best Seller 2011 – Kesilapan Najib
Best Seller Pertama (2011) – Najib Perdana Menteri Terakhir …

Untuk membeli buku buku beliau bolehlah mengunjungi Facebook beliau Shahbudin Husin. Untuk pembelian online boleh sms atau whatsapp 019 6620234.

Sinopsis:

Kad merah sebelum pengundi marah

Dalam tempoh masa hanya kira-kira tiga tahun saja lagi menjelang pilihanraya akan datang, inilah lingkungan masa paling sesuai untuk UMNO meniupkan wisel, melayangkan kad merah dan mengeluarkan Najib dari Perdana Putra dan Seri Perdana.

Isu Rosmah, 1MDB dan Sirul kian hari kian berat. Jika dirangkumkan dengan isu hutang negara, GST, kos sara hidup, urus tadbir kerajaan, rasuah, hubungan kaum dan ratusan beban yang lain sejak Najib memimpin negara, KPI Najib bukan saja lebih merudum, bahkan sebenarnya gagal.

Najib patut ditanya, berapa peratuskah sokongan rakyat terhadapnya sekarang? Masih 47% seperti 2013 dulu, sudah meningkat atau kian menurun? Daripada 133 kerusi yang dimenangi pada PRU13 dulu, apakah jumlah itu kian bertambah atau berkurangan pada 2018 nanti setelah tiada lagi sokongan Tun Mahathir?

Bagaimana pula dengan pengundi baru yang dianggarkan seramai 6 juta orang nanti? Berapa peratus akan mengundi BN? Apakah semua 3.5 juta ahli UMNO akan mengundi BN dan apakah sokongan ahli UMNO saja mencukupi untuk memenangkan BN? Bagaimana pula dengan ingatan Muhyiddin bahawa tergelincir 2 % pola pengundian saja akan membuat BN jadi pembangkang?

Bukankah semua beban UMNO dan BN akan menjadi lebih ringan jika Najib diundurkan? Sebelum rakyat menunjukkan marah dan memberikan kad merah di peti undi, tidakkah UMNO harus melayangkan kad merah itu kepada Najib terlebih dulu? Dengan Tun Mahathir semakin lantang, kad merah seharusnya lebih cepat ditunjukkan kepada Najib.

Priiiiittttt….Tunggu apa lagi!!

Oleh Shahbudin Husin

Oleh kerana Tun Mahathir sudah beberapa kali menyebut nama Muhyiddin Yassin sebagai bakal PM menggantikan Najib Razak, apakah beliau sebenarnya sedia untuk kerusi itu atau lebih rela kekal sebagai TPM dan sama-sama melihat UMNO dan BN kalah pilihanraya.

Rasanya sudah lebih dari sekali Tun Mahathir Mohamad menyebut nama Muhyiddin Yassin sebagai calon paling layak menggantikan tempat Najib Razak sebagai Perdana Menteri bagi menjamin kemenangan BN dalam pilihanraya akan datang.

Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainudddin juga menyebut nama Muhyiddin dan Tokoh Wartawan Negara, A Kadir Jasin yang rapat dengan kedua-dua tokoh tersebut turut menulis nama Timbalan Perdana Menteri itu sebagai pengganti paling munasabah bagi kerusi Perdana Menteri selepas Najib diundurkan.

Dengan kedudukan sebagai orang nombor dua dalam UMNO dan kerajaan, memang tidak disangsikan bahawa Muhyiddin seharusnya diberikan kerusi Perdana Menteri jika pengunduran Najib berjaya dilakukan, meskipun nama seperti Tengku Razaleigh Hamzah turut sama menjadi sebutan.

Tun Mahathir dalam program Bicara Negarawan di Taman Melawati semalam, mengulangi sekali lagi, bahkan seakan-seakan mengesahkan bahawa kerusi Perdana Menteri selepas ini bakal menjadi milik Muhyiddin.

Kalau ikut adat UMNO, tentulah timbalannya jadi pengganti, kata bekas Perdana Menteri selama 22 tahun yang sebelum ini juga pernah menyingkirkan Tun Abdullah Badawi dari kerusi Perdana Menteri.

Lebih dari itu, Tun Mahathir juga melahirkan keyakinannya bahawa Muhyiddin tidak akan mengulangi kesilapan seperti yang dilakukan oleh pentadbiran Najib selama ini.

Saya yakin kalau dia naik, dia takkan buat benda macam itu. Dia tahu kalau buat macam itu, dia pun akan kena macam ini juga, katanya lagi.

Setelah melakukan banyak kritikan melalui tulisan di blog dan melalui sidang akhbar sebelum ini, Tun Mahathir buat pertama kalinya “turun padang” dalam satu program Bicara Negarawan di Taman Melawati semalam untuk menjelaskan sebab-sebab beliau mengkritik dan mahukan Najib turun daripada jawatan Perdana Menterinya.

Jika Najib kekal lagi, BN akan kalah. Tanpa isu 1MDB dan Sirul pun, prestasi Najib tidak lebih baik. Saya minta tak banyak, cuma satu saja iaitu Najib letaklah jawatan, jelas Tun Mahathir lalu disambut tepukan gemuruh oleh ribuan yang hadir.

Sedianya beliau “turun padang” ini dianggap banyak pihak sebagai bermulanya program jelajah untuk menekan, mengasak dan akhirnya memastikan Najib dapat diturunkan sebagaimana yang pernah dilakukannya kepada Tun Abdullah bermula 2006 dahulu.

Adalah dijangka lebih banyak lagi program turun padang melibatkan Tun Mahathir selepas ini. Sebagai tokoh yang tidak pernah mengalah, malah kuasa besar seperti AS pun dilawannya, selagi Najib tidak mahu berundur, bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu pasti meningkatkan lagi stamina serangannya.

Titik akhir bagi Tun Mahathir dalam perjuangannya ini tidak lain ialah Najib mesti berundur atau diundurkan.

Semalam saja, sudah ada beberapa pihak menemui penganjur di Taman Melewati untuk berbincang bagi membawa Tun Mahathir ke tempat atau negeri-negeri lain pula.

Dalam hal ini, oleh kerana nama Muhyiddin sudah disebut banyak kali sebagai pengganti Najib dan tokoh harapan untuk membawa kemenangan UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang, Timbalan Perdana Menteri itu tidak seharusnya berdiam diri lagi.

Muhyiddin, mungkin selepas berakhirnya pilihanraya kecil Rompin dan Permatang Pauh, harus menyatakan pendiriannya dengan segera. Beliau tidak harus berlengah lagi kerana sikap dan pendiriannya mungkin boleh mempercepatkan “ombak bertukar menjadi gelombang”.

Apakah beliau benar-benar mahu bersama perjuangan Tun Mahathir yang disokong oleh majoriti ahli UMNO akar umbi demi menjamin kemenangan BN dalam pilihanraya akan datang atau ingin terus kekal bersama Najib dan bersama-sama memungkinkan kekalahan kepada parti itu?

Walaupun beberapa pemimpin UMNO seperti Tengku Adnan Tengku Mansor menyatakan hubungan Najib dengan Muhyiddin tiada masalah, sekarang bukanlah soal hubungan tetapi lebih kepada masa depan parti dan kerajaan.

Sekarang adalah masa untuk Muhyiddin membuat pilihan dan sama ada kepentingan parti atau Najib yang mahu diutamakannya?

Lebih lama Muhyiddin berdiam diri, lebih sukar untuk memulihkan kepercayaan rakyat terhadap UMNO dan BN kerana “kerosakan” yang diakibatkan oleh Najib hakikatnya terlalu buruk dan tentunya memakan masa untuk dipulihkan.

Tun Mahathir sendiri dalam ucapannya semalam berkata, selepas pertukaran Perdana Menteri nanti, beliau akan terus bersama-sama berusaha bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO dan BN serta memastikan kemenangan dalam pilihanraya.

Lalu, tiada sebab untuk Muhyiddin berlengah dan bermain dengan masa lagi untuk menyatakan pendiriannya. Lagi pula, jika terus berdiam diri seolah-olah hanya Tun Mahathir saja yang mahukannya sedangkan beliau tidak teruja pun dengan kerusi Perdana Menteri itu. – Shahbudin Husin – http://shahbudindotcom.blogspot.com

Jomaineseow
Author: Jomaineseow