PKR dan PAS lancar tabung kutipan derma dan usaha menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir, kata Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad. – Gambar fail The Malaysian Insider

Berikutan keadaan banjir dianggap kritikal khususnya di Kelantan dan Terengganu, serta Pahang dan Perak, PAS dan PKR melancarkan tabung kutipan dan menggerakkan usaha menyalurkan bantuan kepada mangsa yang semakin bertambah.

Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata angkatan muda parti itu sedang berusaha mengumpulkan sekurang-kurangnya RM10,000 selain dalam bentuk barangan sebagai bantuan.

“Kami menyeru orang ramai menyalurkan sumbangan masing-masing melalui pelbagai pertubuhan dan jawatankuasa yang dibentuk pelbagai pihak bagi memberi bantuan kepada mangsa banjir.

“Ini peluang terbaik kita semua bekerjasama memastikan aspek keselamatan dan kebersihan terjaga, seterusnya menawarkan bantuan yang sesuai untuk sementara waktu hingga situasi reda dan bantuan lain diusahakan kemudian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, parti itu melalui tabung bencana Harakahnya, mengharapkan bantuan orang ramai mampu mengurangkan beban mangsa.

“Mangsa memerlukan bantuan memandangkan di Kelantan boleh dikatakan terputus terus hubungan darat dan semakin kritikal. Sementara di Terengganu pula, banyak kawasan yang sudah mula ditenggelami air.

“Maka kita seluruh rakyat Malaysia harus membantu mereka yang sedang berdepan dengan musibah ini. Kita juga mendoakan agar keadaan kembali pulih,” kata Salahuddin yang juga pengerusi Majlis Tindakan Bencana Alam PAS Pusat kepada Harakahdaily.

Sebarang bantuan boleh dimasukkan ke tabung bencana Harakah menerusi akaun Maybank 564070130442 sementara bagi mereka yang berminat menyumbang kepada usaha Pemuda PKR, mereka boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Islamic Bank di atas nama Khidmat Seri Setia bernombor 3810876621 atau menghubungi Nadzira 0122494613.

Pada masa sama, satu lagi rakan Pakatan Rakyat (PR), DAP berkata, Putrajaya perlu menggembleng semua sumber yang ada bagi mengurangkan keadaan banjir yang dianggap terburuk dalam sejarah negara ini, termasuk mengisytiharkan keadaan darurat jika perlu.

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata kerajaan persekutuan perlu menubuhkan operasi di kawasan yang belum banjir tetapi mungkin akan terjejas teruk sekiranya hujan berterusan.

“Jika keadaan darurat perlu diisytiharkan bagi memastikan satu mobilisasi berskala besar dapat diselaraskan, maka Putrajaya mesti segera mengisytiharkan darurat. – 25 Disember, 2014.

Baca lanjut di Malaysian Insider

[signoff1]

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share