Pengerusi Briged Kesatria Muda Armand Azha Abu Hanifah menerima memorandum hari ini di luar PWTC semasa Perhimpunan Agung Umno. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim

Langkah berani Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) yang berhasrat menyerahkan memorandum pencerobohan tanah warisan Melayu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disekat Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Kira-kira 50 lebih mahasiwa berarak dari Masjid Pekeliling selepas selesai solat Jumaat menuju ke bangunan tempat perhimpunan Umno sedang berlangsung.

Setengah jalan perarakan, anggota polis yang berkawal melencongkan kumpulan tersebut ke Wisma MIC dan disambut sekumpulan Pemuda Umno diketuai Pengerusi Briged Kesatria Muda Armand Azha Abu Hanifah dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Muhammad Rafii.

Berlaku sedikit pergelutan antara kedua-dua kumpulan dan kata-kata provokasi dilemparkan antara satu sama lain, bagaimanapun berjaya dikawal oleh anggota polis bertugas.

Gamis diketuai pengerusinya, Abdul Malik Abdul Razak bersama Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) Khairul Najib Hashim bersama penyokong membawa sepanduk bantahan.

Abdul Malik bersama mahasiswa sebelum itu enggan menyerahkan memorandum kepada Armand, sebaliknya mendesak Najib yang merupakan presiden Umno supaya turun sendiri menerima memorandum mereka.

“Kami mahu Najib sendiri turun terima memorandum kami,” kata Abdul Malik.

Berang dengan permintaan tersebut, Armand mengatakan beliau dihantar presiden Umno untuk menerima memorandum daripada Gamis.

Beberapa Pemuda Umno lain dilihat hilang sabar dengan kenyataan mahasiswa yang cuba mencetuskan provokasi semasa menyerahkan memorandum tersebut.

“Saya bersumpah akan serah kepada perdana menteri memorandum ini,” kata Armand.

Dalam pada itu, Khairul Najib berkata mahasiswa menuntut janji tersebut dan sekiranya Najib gagal memberi respon terhadap isu yang dibawakan dalam memorandum, mereka memberi amaran akan berhimpun lagi selepas ini ke PWTC.

“Mahasiwa tuntut respon malam ini mengenai isu kampung warisan.

“Kalau tidak kami akan datang esok lebih ramai lagi,” kata Khairul Najib.

Antara tuntutan yang dinyatakan dalam memorandum itu adalah mereka mendesak supaya kerajaan menghentikan pencerobohan tanah rizab Melayu dan kampung warisan, mengembalikan 50% tanah rizab Melayu seperti wasiat Raja-Raja, menggesa penubuhan Lembaga Amanah Tanah Rizab Melayu dan mewujudkan polisi khas atau undang-undang bagi melindungi perkampung tradisi dan juga menjaga kebajikan peneroka bandar.

Memorandum tersebut mendedahkan beberapa kampung warisan Melayu yang berdepan dengan ancaman, antaranya Kampung Matau, Jengka. Rumah mereka dirobohkan oleh Majlis Daerah Maran.

Manakala, Kampung Puah Seberang, di Sentul, nasib 20 keluarga masih lagi menjadi tanya apabila penempatan mereka dimajukan untuk projek River of life tetapi tidak ada pampasan sewajarnya kepada penduduk.

Beberapa kampung lain yang berdepan perobohan adalah Kampung Chubadak, Kuala Lumpur dan Kampung Banggol Donas, Terengganu. TMI
[signoff1]

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share