Pesawat pengangkut jenis Airbus A400M – Foto flightstory.net

KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerima sembilan pesawat baharu secara berperingkat bermula suku pertama tahun depan dan dijangka selesai pada tahun 2016.

Panglima TUDM, Jen Datuk Seri Roslan Saad berkata dari jumlah itu, empat pesawat pengangkut jenis Airbus A400M manakala lima lagi pesawat pelatih PC-7 MK II untuk kegunaan di Pusat Latihan Terbang, Kolej TUDM Kepala Batas di Alor Setar.

Beliau berkata sembilan pesawat yang bakal diterima itu ialah untuk memenuhi keperluan TUDM dalam memantapkan misi ketenteraan dan kemanusiaan.

“TUDM akan menerima sebuah pesawat jenis Airbus (A400M) secara berperingkat mulai suku pertama tahun hadapan manakala PC-7 MK II dijangka tiba awal 2016,”katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Tugas Panglima Operasi Udara dan Panglima Bantuan Udara, di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Selain itu, Roslan juga berkata TUDM telah menyerahkan empat jenis Pesawat Tempur Pelbagai Guna (MRCA) yang disenarai pendek daripada syarikat antarabangsa yang berasingan, kepada kerajaan dan sedang menunggu kelulusan Kabinet.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai status terkini pangkalan baharu TUDM yang sedang di bina di Sendayan, Negeri Sembilan, Roslan berkata setakat ini pembangunan di kawasan itu telah mencapai 25 peratus dan dijangka siap pada hujung tahun 2016.

Sementara itu, Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar hari ini menerima kunjungan hormat Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei, Laksamana Pertama Datuk Seri Pahlawan Abdul Aziz Mohd Tamit di Markas Tentera Laut, Wisma Pertahanan di sini. – Bernama
[signoff1]

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share