MP Pakatan Rakyat Lim Lip Eng – Gambar [tengah] ihsan Sinar Harian
Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng membalas sindiran Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menyifatkannya keliru antara sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Lim  sebaliknya berkata, menteri itu sepatutnya menjawab soalan lebih penting di Parlimen berhubung perbelanjaan sambutan Hari Merdeka dan cadangan mengutamakan sambutan Hari Malaysia.

“Saya perlu perjelaskan bahawa ya, saya tahu betul apa perbezaan antara Hari Merdeka pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September.

“Shabery mungkin lupa bahawa Pakatan Rakyatlah yang mendesak sehinggakan akhirnya 16 September diisytihar menjadi cuti umum.

“Malah itulah yang saya persoalkan di Parlimen pada pagi hari ini. Saya bertanya kepada kerajaan sama ada mereka bercadang untuk meraikan 16 September dengan lebih meriah lagi, demi perpaduan kita bangsa Malaysia yang terbentuk hasil perpaduan antara Semenanjung bersama Sabah dan Sarawak.

“Pastinya perayaan Persekutuan Malaysia lebih besar maknanya bagi warga Sabah dan Sarawak. Maka kenapa hanya Hari Merdeka yang disambut meriah. Ini saya dapati daripada jawapan kerajaan sendiri hari ini di Parlimen, yang memberitahu bahawa perbelanjaan Hari Kemerdekaan adalah sebanyak RM20 juta pada tahun lalu, dan RM17 juta pada tahun ini,” katanya.

Pagi tadi Shabery menyindir ahli parlimen DAP itu yang menurutnya keliru antara sambutan Harii Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Shabery berkata demikian sewaktu menjawab soalan Lim yang mencadangkan agar kerajaan mengutamakan sambutan “Hari Kebangsaan” pada 16 September setiap tahun berbanding sambutan ”Hari Merdeka”.

Shabery berkata, beliau berpendapat bahawa parti DAP juga keliru mengenai dua hari kebesaran itu, sepertimana Lim.

‘RM17 juta taklah jimat sangat’

Selain itu, Lim berkata, kerajaan dilihat cuba mengelak daripada soalan tambahannya berhubung pertambahan kos perbelanjaan bagi kontraktor yang menyediakan majlis sambutan Hari Kemerdekaan.

“Walaupun jawapan parlimen menyatakan bahawa perbelanjaan RM17 juta untuk perayaan tahun ini adalah tanda kerajaan berjimat, tapi kita tahu bahawa tahun ini memang kerajaan meraikannya secara ‘kecil-kecilan’ lantaran negara sedang bersedih dengan tragedi MH17 dan MH370.

“Jadi sebenarnya kerajaan tidaklah ‘berjimat’ sangat pun, kan? Maka saya mahu ulang kembali soalan saya, adakah kerajaan akan terus berbelanja sakan untuk merayakan Hari Merdeka, dan menganaktirikan Hari Malaysia serta bagaimana unjuran perbelanjaan untuk perayaan tersebut berikutan pelaksanaan GST, makin bertambah atau berkurang?

“Tak perlu berbuih mulut sebut perkara yang tak ada kena mengena, jawab dahulu soalan yang lebih penting,” kata Lim lagi. Malaysiakini

[signoff1]

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share