KUALA LUMPUR 13 NOV : Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, aset yang dimiliki Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan jaminan ia mampu menyelesaikan segala hutangnya.

Beliau membidas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan yang memaklumkan 1MDB mampu membayar hutang berjumlah RM9.6 bilion (USD 3 bilion) berikutan kemampuan aset yang dimilikinya.

Ahmad Maslan dalam sidang media di parlimen semalam turut merujuk perolehan aset syarikat milik kerajaan itu yang dikatakan berjumlah RM50.1 bilion.

“Membandingkan aset dengan hutang tidak bersesuaian kerana aset yang dimiliki 1MDB seperti loji-loji penjana elektrik IPP yang sudah lama bukanlah boleh dijual serta merta untuk mendapatkan wang bagi membayar hutang.

“Menteri perlu tahu bahawa nilai jualannya mungkin lebih rendah daripada apa yang mula-mula dibeli dahulu,” kata Rafizi ketika dihubungi.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan turut mempersoal kredibiliti Ahmad Maslan sebagai menteri bertanggungjawab apabila dilihat gagal menjawab beberapa persoalan yang diusulkan berkenaan hutang 1MDB.

“Saya pernah bertanya, apakah kerajaan akan menanggung hutang-hutang itu jika 1MDB gagal membayar hutang? Tapi Ahmad Maslan memberikan 3 hingga 4 jawapan yang berbeza bagi satu soalan mudah.

“Tindak tanduk Ahmad Maslan ini menunjukkan dia menggelabah dan tidak dapat menerangkan apa-apa mengenai 1MDB,” sindirnya. Keadilan Daily

[signoff1]

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE