Pemain badminton terhandal negara, yang disahkan positif mengambil bahan terlarang dexamethasone digantung buat sementara waktu, menunggu sesi pendengaran ujian rawak oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Timbalan presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Mohamad Norza Zakaria berkata, sesi tersebut dijadualkan berlangsung dalam tempoh dua minggu.

Bagaimanapun, BAM enggan menamakan pemain tersebut atas alasan mengikut peraturan BWF, walaupun spekulasi mengatakan ia melibatkan pemain nombor satu dunia negara, Datuk Lee Chong Wei.

Sebelum ini dilaporkan Lee terlibat dalam skandal tersebut selepas kesan dexamethasone dijumpai dalam air kencingnya (sampel A) semasa ujian rawak yang dijalankan di Kejohanan Dunia.

Dexamethasone adalah sejenis steroid dengan fungsi anti-radang, biasanya digunakan untuk membantu pemulihan atlet.

Norza memberitahu sidang media yang penuh sesak itu nama pemain tersebut akan didedahkan sebaik pendengaran rayuan selesai.

Beliau berkata BWF sudahpun memaklumkan BAM semalam tentang sampel B pamain itu yang diuji positif bagi bahan larangan anti-radang demaxathesone.

“Dengan segala proses yang sedang berjalan, kita masih belum bebas untuk mendedahkan nama pemain,” katanya.

Bagaimanapun, Norza mengakui pemain yang identitinya masih dirahsiakan pernah dirawat kerana kecederaan paha pada bulan Julai.

Lee dilaporkan menerima rawatan kecederaan di paha pada masa itu dan menarik diri daripada Sukan Komanwel di Glasgowyang diadakan dari 23 Julai hingga 3 Ogos untuk pulih.

Sebelum ini Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dilaporkan sebagai berkata, siasatan menyeluruh mengenai sejarah perubatan pemain badminton baru-baru ini mendedahkan dadah itu diberikan pada 17 Julai untuk merawat kecederaan paha.

Lee melalui ujian dadah secara rambang semasa Kejohanan Dunia di Copenhagen pada 30 Ogos. Beliau terbang ke Norway untuk menyaksikan sendiri sampel B itu dibuka di Oslo pada 5 November.

Beliau berdepan digantung dua tahun jika sabit kesalahan pada sesi pendengaran BWF.

Awal hari ini, BAM menerima pengesahan daripada BWF hasil ujian ke atas sampel B yang mengesahkan wujudnya deksametason.

Menegaskan dadah itu bukan untuk meningkatkan prestasi, Norza yang juga pengerusi jawatankuasa kerja anti-doping BAM, menyatakan pemain berkenaan sebagai seorang yang “bekerja keras dan individu luar biasa”, sambil menambah BAM akan menyediakan semua sokongan yang diperlukan untuk membantu pemain itu.

“Kami juga percaya pemain ini tidak pernah menggunakan ‘jalan pintas’ dalam usahanya mencapai kejayaan.

“Oleh itu, dalam mesyuarat majlis yang terakhir, bersetuju sebulat suara memberikan sokongan dalam semua aspek untuk pemain ini,” katanya.

Norza mendedahkan, BAM turut mengupah seorang peguam berpangkalan di London, Mike Morgan daripada Morgan Sports Law LP untuk membantu pemain semasa sesi pendengaran akan datang.

Ketika ditanya sama ada pemain itu dinasihatkan oleh doktor mengambil ubat tersebut atau keputusan sendiri, Norza berkata beliau tidak dapat memastikan perkara itu.

“Kita tidak berada dalam kedudukan untuk memberi komen dengan pasti mengenai perkara ini. Kami sedang melihat dari semua sudut puncanya,” katanya.

Beliau juga enggan mengulas lanjut mengenai kemungkinan senario terburuk bagi pemain itu disabitkan dengan dadah berikutan pendengaran tetapi berkata, BAM “bekerja keras” bagi memastikan keputusan yang positif.

“Kami tidak akan melalui semua ini proses membersihkan namanya kalau bukan untuk mendapatkan hasil yang positif.

“Kami mempunyai alasan kukuh pemain ini tidak bersalah. Kami mempunyai alasan dan sebab sendiri untuk melakukan semua ini,” katanya. Baca lanjut di Malaysian Insider

[signoff1]

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share