Tiga rakyat Malaysia disyaki terlibat kegiatan militan Negara Islam (IS) ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu. – Gambar fail

Polis menahan seorang arkitek, juruteknik dan pekedai yang disyaki terlibat dalam kegiatan militan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi Rabu, lapor The Star hari ini.

Mereka dipercayai dalam perjalanan ke Turki dan kemudian akan ke Syria bagi menyertai kumpulan Negara Islam (IS), yang ditegaskan kerajaan Malaysia ialah sebuah pertubuhan pengganas.

Menurut SAC Datuk Ayob Khan, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas, Cawangan Khas Bukit Aman, arkitek itu berasal dari Pahang sementara juruteknik itu dari Perlis. Kedua-duanya berusia 26 tahun.

Suspek ketiga, berusia 42 tahun dan dipercayai berasal dari Kelantan, ialah seorang pemilik kedai dan berkahwin dengan enam anak.

“Siasatan awal mendapati suspek merancang menaiki kapal terbang ke Istanbul, dan transit di Doha. Dari Turki, mereka akan bergerak ke Syria untuk menyertai kumpulan IS di sana,” akhbar itu memetik Ayob sebagai berkata.

Beliau berkata polis menemui bukti yang membabitkan mereka dengan IS – bendera IS, antara lain – dalam satu serbuan di rumah mereka yang dibuat polis tanpa pengetahuan suspek, sebelum ditahan.

“Kami percaya mereka menjadi ahli kumpulan militan Malaysia melalui media sosial seperti Facebook.

“Suspek juga turut mempunyai hubungan dengan seorang pejuang jihad warga Malaysia yang kini berada di Syria.”

Menurut The Star, polis kini berusaha mengesan individu yang dipercayai merekrut mereka bertiga.

Penahanan terbaru ini menjadikan jumlah militan Malaysia yang ditahan oleh Bahagian Anti Pengganas kini meningkat kepada 22 orang sejak 28 April lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar juga dilaporkan memuji bahagian itu atas kejayaan mereka menahan suspek.

Polis kini sedang memburu lima suspek militan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan IS dan Abu Sayyaf, sebuah kumpulan pengganas yang berasal dari Filipina, kata The Star.

Bekas pensyarah Dr Mahmud Ahmad (yang lebih dikenali sebagai Abu Hanadzlah) dan pemilik kedai serbaneka, Mohd Najib Husen, kedua-duanya berusia 36 tahun dipercayai merupakan ketua kumpulan militan tempatan yang melatih dan menghantar ahli mereka berjuang di Syria dan Iraq.

Memetik sumber, akhbar itu melaporkan pihak berkuasa percaya dua suspek lelaki tersebut bertanggungjawab merekrut ahli baru dan menguruskan perjalanan empat rakyat Malaysia yang dihantar ke Syria pada 5 Mac lalu termasuk Ahmad Tarmimi Maliki, pakar pembuat bom pertama warga Malaysia

Ahli ketiga yang berjaya dikenalpasti ialah bekas pekerja Majlis Perbandaran Selayang, Muhammad Joraimee Awang Raimee, lebih dikenali sebagai Abu Nur, 39.

Dua lagi suspek yang dicari ialah ahli kumpulan Darul Islam Sabah, Mohd Amin Baco, 31, dan Jeknal Adil, 30. Kedua-duanya berasal dari Tawau.

Sumber The Star turut mendedahkan, kedua-dua lelaki berkenaan telah menjalani latihan dengan kumpulan Abu Sayyaf di Selatan Filipina sejak 2005.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) dilaporkan meluluskan resolusi menggesa negara-negara lain membendung aktiviti keganasan yang semakin menular di Iraq dan Syria.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, yang kini berada di mesyuarat UNSC di New York, menurut The Star berkata, Malaysia akan memperkukuhkan undang-undang sedia ada dan keupayaan memerangi keganasan.
Baca lanjut di Malaysian Insider

[signoff1]

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share