Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama warga kerja Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyanyikan lagu Negaraku pada majlis Perhimpunan Bulanan KDN di Putrajaya hari ini. – Foto Bernama

PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan rakyat Malaysia agar jangan terlibat kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) kerana boleh menjejaskan imej Malaysia sehingga dianggap sebagai sarang melatih pengganas.

Beliau berkata pergolakan di Iraq dan Syria merupakan masalah dalaman negara terbabit dan rakyat Malaysia tidak harus campur tangan dalam hal ehwal negara lain.

“Walaupun kita bersimpati dengan apa yang berlaku (di negara bergolak), kita boleh terlibat dengan memberi bantuan kemanusiaan dan bukan terlibat untuk menyokong atau menentang mana-mana pihak. Ini harus dijadikan asas.

“Jika sesuatu berlaku, ia akan memberi imej kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia adalah sarang untuk melatih pengganas. Kalau ada terbunuh dan tercedera, akhirnya mereka juga merujuk kepada kerajaan Malaysia untuk menguruskan segala-galanya,” katanya dalam sidang media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditanya tentang faktor yang mendorong 40 rakyat Malaysia, termasuk lima bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dikatakan menyertai kumpulan militan ISIS.

“Saya tidak mempunyai sebarang maklumat (berhubung penglibatan mereka). Pada hemah saya, jangan fikir penglibatan mereka (dalam Isis) sebagai pejuang jihad,” katanya.

Ahmad Zahid berkata rakyat Malaysia perlu berpegang kepada konsep kesederhanaan atau wasatiyyah agar “jangan terlalu ke kanan atau kiri”.

“Kita harus patuh kepada hukum Islam agar tidak melakukan perkara ekstrem. Jihad tidak semestinya ke medan peperangan atau campur tangan dalam hal ehwal negara lain. Yang penting adalah jihad pada diri dan ia harus menjadi pegangan pada semua,” katanya.

Wisma Putra sebelum ini menyatakan bahawa kerajaan Malaysia menganggap Isissebagai pertubuhan pengganas dan tidak merestui sebarang aktivitinya. Sinar Harian

KLIK BACA KISAH ABU MUHAJIR DAN VIDEO BELIAU TERKORBAN SEMALAM DI SYRIA

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share