Keluarga mangsa MH17 Malaysia Airlines, NORIAH (tengah) yang tidak dapat menahan sebak melihat keranda Hakimi ditenangkan ahli keluarganya, semalam. myMetro

Putrajaya: “Kami dengan ikhlas ‘melepaskan’ Ahmad Hakimi dan kami reda atas ketentuan ini,” kata Dr Hanapi Mohd Noor, 67, bapa pembantu juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS) Allahyarham Ahmad Hakimi, 29, yang terbabit dalam nahas penerbangan MH17.

Dr Hanapi yang juga bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, mereka sekeluarga menerima tragedi dengan ikhlas dan tenang kerana yakin, ada hikmah di sebalik kejadian berkenaan.

“Anak kami sudah dipanggil ke hadrat-Nya dan kami yakin serta pasti Allah SWT tetap dengan kasih sayangnya tanpa mengira bagaimana seseorang itu meninggal dunia.

“Biarpun tragedi ini (nahas MH17) luar biasa, Allah SWT sudah menjanjikan sebaik-baik ganjaran kepada seseorang yang meninggal dunia melalui cara luar biasa seperti tenggelam, terbakar dan sebagainya,” katanya ketika berucap secara rela di khalayak ramai selepas selesai pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Presint 20, di sini, semalam.

Majlis pengebumian itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merangkap Ahli Parlimen Putrajaya dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Tan Sri Aseh Che Mat. myMetro

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share