Malaysian Airlines (MAS) dijangka melakukan perubahan dalam pengurusan atasannya susulan berita Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) bakal mengambil alih syarikat penerbangan negara yang sedang bergelut itu.

Sumber memberitahu The Edge Financial Daily, pelan kecemasan dan penstrukturan yang dijangka didedahkan Khazanah seawal bulan depan, termasuklah pertukaran individu dan bukan hanya rombakan kewangan.

Antara yang bakal digugurkan adalah Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya, Pengarah Komersial Hugh Dunleavy dan Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Pengedaran Duncan Bureau, lapor akhbar berkenaan.

Khazanah kini memiliki 69% pegangan MAS tetapi ia akan berakhir apabila langkah penswastaan 100% dilaksanakan, pada masa ini sedang dalam proses mencari calon berkelayakan untuk jawatan penting dalam MAS.
Antara nama yang dikenal pasti termasuk Datuk Seri Jamaludin Ibrahim yang mengetuai syarikat komunikasi Khazanah, Axiata Group Bhd dan Datuk Seri Idris Jala yang pernah berkhidmat dengan MAS antara 2005 hingga 2009, sebelum dilantik sebagai senator dan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Idris yang memainkan peranan penting dalam memperkenalkan Pelan Pemulihan Perniagaan Fasa 1 dan Pelan Transformasi Perniagaan Fasa 2 MAS dilantik sebagai senator pada September 2012.

Difahamkan beliau tidak akan menyambung khidmat bersama kerajaan selepas tempohnya tamat pada September 2015 kerana senator hanya boleh memegang jawatan untuk tempoh 6 tahun dan terdapat had tempoh dua penggal berturut-turut.

Minggu lepas, Idris dipetik sebagai berkata pengurusan MAS perlu kekal dengan pelan pemulihan yang diperkenalkannya kerana mengandungi proses berperingkat untuk menjamin kemampanan syarikat penerbangan itu.

Jamaluddin, sebelum ini adalah ketua pegawai eksekutif Maxis Bhd, sebelum dipilih mengetuai Axiata pada 2008. Sepanjang 5 tahun di bawah kendaliannya, penguasaan pasaran Axiata tumbuh daripada RM8.5 bilion pada 31 Mac, 2009 kepada RM59 bilion pada penghujung 2013.

Pemerhati industri berkata kepada The Edge Financial Daily, Idris dan Jamaluddin mempunyai kelayakan individu yang perlu dipertimbangkan Khazanah.

“Selepas menjadi ketua pegawai eksekutif MAS selama 4 tahun, Idris memahami syarikat, perniagaan dan mengetahui apa yang perlu dilakukan supaya ia dapat terus beroperasi,” kata sumber kepada akhbar itu.

“Dalam pada itu, Jamaluddin juga berjaya membuktikan keupayaannya semasa di Khazanah dan dia merupakan salah seorang daripada ketua pegawai eksekutif terbaik mereka,” katanya.

Kedua-dua individu ini dikatakan mengambil pendekatan secara berkomunikasi dengan pekerja dan mungkin dapat membina hubungan baik dengan kakitangan.

Kesatuan Pekerja Syarikat Penerbangan Malaysia (Maseu) sebelum ini beberapa kali menggesa peletakan jawatan Ahmad Jauhari.

Kedua-dua Dunleavy dan Bureau sebelum ini berkhidmat dengan syarikat penerbangan dari Kanada, WestJet.

“Saya harap sesiapa yang mereka pilih sebagai ketua pegawai eksekutif MAS adalah seseorang yang mempunyai pengetahuan mendalam dan rapat dalam industri penerbangan dan boleh membuat keputusan secara bebas,” kata Shukor Yusof, penganalisis dan pengasas firma penyelidikan penerbangan Endau Analytics.

Kerugian bersih MAS meningkat kepada RM1.17 bilion bagi tahun kewangan berakhir Disember 2013 (FY13) berbanding kerugian bersih sebanyak RM432.59 juta pada FY12 dan RM2.52 bilion pada FY11.

Pada 8 Ogos, Khazanah menyahsenarai MAS melalui pengurangan modal terpilih dan langkah pembayaran balik untuk 27 sen sesaham, yang akan mengambil masa 6 hingga 12 bulan untuk disiapkan.

Reuters semalam melaporkan MAS menangguhkan laporan kewangan suku keduanya dari Rabu hingga 28 Ogos.

Penganalisis menjangkakan pendapatan mereka bertambah buruk selepas tragedi membabitkan dua penerbangan MH370 dan MH17.

Saham MAS tidak berubah pada 25.5 sen semalam.

Baca lanjut di Malaysian Insider

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share