Khalid Ibrahim dan Azmin Ali mana satukah akan menjadi MB Selangor – Foto Says

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Biro Politik Khas PKR yang berlangsung pada malam Ahad di Ibu Pejabat PKR difahamkan menjadi pertemuan pemutus isu pengganti Menteri Besar (MB) Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dilihat ‘berdegil’ untuk melepaskan jawatan.

Permintaan Abdul Khalid yang dikatakan hanya akan mengundur diri sekiranya digantikan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail kini hanya menimbulkan kemelut dalaman Pakatan Rakyat (PR) terutama penolakan daripada PAS.[pullquote_right]

Dalam pada itu kata Tian Chua, PKR juga sudah lama memaklumkan kepada PAS dan DAP tentang kebaikan pertukaran berkenaan.

“Ia dilihat dapat mempertingkat prestasi dan pentadbiran negeri. Kita buat ini dengan semangat persahabatan PR sendiri.

“Kita tidak buang Abdul Khalid, masing-masing ada peranan tersendiri. Walau Wan Azizah menjadi MB, Abdul Khalid tetap memainkan peranan tersendiri dalam pentadbiran Selangor,” ujarnya.

[/pullquote_right]

Menurut sumber dalaman PKR, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang menolak pencalonan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali kini terpaksa berfikir dua kali untuk menamakan ‘anak didiknya’ sebagai MB Selangor demi menjernihkan kemelut dalaman PR sendiri.

“Anwar sebelum ini telah terpaksa menolak cadangan menamakan Azmin sebagai MB atas permintaan Khalid. Akan tetapi apabila keadaan celaru begini, Anwar memerlukan Azmin,” katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini.

Sumber itu mengulas isu pertukaran Abdul Khalid dengan Wan Azizah yang dijangka berlaku bulan ini.

LAPORAN TERKINI SEMUA CABANG PKR SOKONG WAN AZIZAH MB SELANGOR – KLIK BACA

PAS sebelum ini menyatakan pendirian mahu Abdul Khalid kekal menerajui Selangor selain DAP dilihat mengambil pendirian senyap dan memerhati sahaja.

Bagaimanapun, isu ini menimbulkan pergolakan di dalam PR selepas beberapa pemimpin PAS dan DAP menyatakan pandangan masing-masing yang bersifat kontra dengan keputusan pertukaran jawatan MB itu.

Ia juga dilihat semakin kronik selepas mesej kumpulan WhatsApp AJK PAS Pusat yang mencadangkan parti Islam itu keluar PR tersebar.

Jelas sumber itu lagi, Azmin yang baru pulang daripada umrah sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri dikatakan bakal menjadi calon alternatif MB Selangor biarpun tanpa persetujuan Khalid.

“Pemilihan Azmin ini dikatakan setelah mendapat ‘lampu hijau’ daripada DAP dan juga memenuhi kehendak PAS untuk calon MB selain daripada wanita. Azmin juga menerima sokongan majoriti Pengerusi – Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR yang telah disampaikan kepada Anwar.

“Antara negeri yang dikatakan memberikan sokongan penuh kepada Azmin sebagai calon MB adalah Pengerusi MPN Perlis, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu, Kelantan dan Sarawak,” ujarnya.

Kata sumber itu, dalam mesyuarat MPP yang lalu, keputusan memilih Wan Azizah dibuat tanpa proses undian setelah cadangan mencalonkannya dicadangkan Anwar.

“Anwar sendiri tidak mahu menerima cadangan nama lain termasuk‎ cadangan daripada MPN Selangor yang mencalonkan Pengerusinya, Mohamed Azmin Ali,” katanya.

Ujar sumber itu, Azmin yang mendapat sokongan majoriti pimpinan MPP dalam mesyuarat tersebut tidak dibenarkan untuk bersuara dan menyatakan sokongan.

Astro Awani

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share