Wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin mempertahankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menurutnya berada dalam kedudukan politik paling kukuh, malah lebih baik berbanding kedudukan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tambahnya, kelemahan Pakatan Rakyat dalam kemelut jawatan menteri besar Selangor juga kini mengukuhkan lagi kedudukan Najib.

Jelasnya, Najib mungkin tidak menunjukkan kekuatan dari segi pentadbiran seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein atau Mahathir, namun kuat dari segi politik.

Ini berdasarkan pengamatannya bahawa tiada pemimpin Umno yang layak mencabar Najib untuk jawatan presiden, dan seterusnya untuk jawatan perdana menteri.

Hanya Umno yang boleh menjatuhkan Mohd Najib, tetapi selepas lebih lima tahun beliau menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno, tidak wujud sebarang tanda bahawa ada pemimpin Umno yang mampu atau mahu mencabar beliau.

“Hatta Dr Mahathir yang begitu popular dan cemerlang pun tidak bernasib baik atau kuat dalam parti seperti Mohd Najib.

“Buat waktu ini, kedudukan politik Mohd Najib nampak cukup baik, unggul dan tenteram. Tidak ada siapa yang boleh menjatuhkan beliau,” kata Kadir di dalam blog akadirjasin.blogspot.com.

Bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times Press itu menulis demikian bagi mengulas perbincangan dalam satu forum yang membandingkan Najib dengan PM terdahulu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

MP Kluang Liew Chin Tong dalam forum itu berkata, Abdullah merupakan pemimpin lebih kuat berbanding Najib walau dengan kelemahan tersendiri.

Abdul Kadir bagaimanapun berpendapat, mustahil untuk menjatuhkan Najib memandangkan pencabar terdekatnya, timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin juga sudah mengaku “letih” dan “tidak berminat mencabar Najib”.

Menurutnya, Muhyiddin “berbisik” kepadanya bahawa beliau mungkin akan menerima nasib sama seperti bekas timbalan perdana menteri lain.

Katanya lagi, Najib mendapat kelebihan kerana mengambil jalan “selamat” dengan tidak bermusuh dan membentuk hubungan baik dengan semua pihak dalam parti.

Sebab itulah Najib melantik para penasihat, pegawai khas dan jumlah anggota Kabinet paling besar dalam sejarah Malaysia – demi “meramaikan penyokong setia, menjinakkan penentang dan memusnahkan musuh,”

“Mohd Najib sering disindir kerana kononnya main selamat. Apa yang kurang disedari adalah amalan main selamat itu menjadikan Mohd Najib kuat.

“Beliau tidak mencetuskan permusuhan dengan sesiapa dan berbaik-baik dengan semua. Amalan main selamat membawa tuah kepada beliau,” katanya.

Dengan itulah Umno dan BN masih boleh mentadbir walau dianggap lemah kerana dibantu oleh kelemahan yang lebih besar di pihak Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa rakyat akan tetap menderita sekiranya Najib dan para pemimpinnya tidak dapat mentadbir ekonomi dan keselamatan negara.

“Mohd Najib kuat, tetapi rakyat jelata belum tentu kuat juga,” katanya lagi. Malaysiakini 

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share