Lima lelaki beragama Islam ditahan polis dalam serbuan yang dijalankan di sebuah pusat urut eksklusif di sebuah hotel di Bukit Bintang di sini semalam.

Difahamkan, mereka adalah antara puluhan pelanggan yang ditahan oleh anggota polis Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman yang menyerbu premis yang terletak di tingkat 3 hotel itu kira-kira pukul 10.30 malam tadi.

Dipercayai, pelanggan yang datang ke pusat refleksologi itu bukan sekadar untuk mendapatkan rawatan urutan malah dikesan turut menempah gadis-gadis warga asing bagi mendapatkan khidmat seks.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Operasi, Supritendan Amir Rasid Derani yang memberitahu, seramai 53 warga asing telah ditahan kerana disyaki menawarkan kegiatan tidak bermoral di situ.

Katanya, premis itu disyaki berselindung di sebalik perniagaan khidmat refleksologi namun kegiatan sebenar adalah perkhidmatan seks.

“Sistem sekuriti di premis ini amat ketat dan bukan sebarang pelanggan boleh menjengah masuk ke dalam pusat ini. Pihak polis sendiri terpaksa menghabiskan masa selama beberapa jam sebelum dapat masuk dan menyamar sebagai pelanggan.

“Malah premis ini dikesan turut dibina dengan banyak jalan keluar yang terselindung bagi memudahkan ‘gadis-gadis’ serta pelanggan mereka melarikan diri ketika diserbu,” katanya di sini semalam.

Menurut Amir Rasid, siasatan mendapati, wanita-wanita yang menjadi pekerja di situ boleh ditempah untuk perkhidmatan seks dengan bayaran RM300 dan aktiviti itu boleh dilakukan sama ada di dalam premis atau dibawa keluar.

Dalam operasi itu, polis menangkap seramai 53 wanita yang terdiri daripada 22 warga Vietnam, China (12), Thailand (10), Indonesia (7), Laos (1) dan Mongolia (1).

“Kesemua wanita ini berusia antara 18 hingga 35 tahun dan sebahagian besarnya tidak memiliki dokumen perjalanan untuk memasuki negara ini,” katanya.

Sumber / Gambar hiasan

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share