KUALA LUMPUR 24 Mac – Kerajaan DAP Pulau Pinang perlu menjelaskan dakwaan projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion dilaksanakan tanpa tender terbuka.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, penjelasan itu perlu bagi menyangkal dakwaan projek tersebut dibuat bagi menyalurkan dana kepada DAP serta demi kepentingan ahli keluarga pemimpin parti berkenaan.

Menurutnya, penjelasan itu juga bertujuan menafikan wujudnya kegiatan rasuah, nepotisme dan kronisme dalam pemberian tender projek tersebut.

Tambah beliau, dakwaan itu timbul berikutan pelbagai pihak melihat projek tersebut tidak mendatangkan sebarang manfaat tambahan kepada penduduk Pulau Pinang kerana jambatan kedua di negeri berkenaan bakal dibina tidak lama lagi.

“Apatah lagi, kita melihat pembinaan terowong itu juga boleh mengganggu pelabuhan dan bentuk geografi bahagian pulau negeri itu sehingga boleh menenggelamkan negeri tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas berhubung pengumuman pembinaan terowong dasar laut oleh kerajaan DAP Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion baru-baru ini, bagi menghubungkan Persiaran Gurney di bahagian pulau dengan Bagan Ajam di tanah besar.

Pembinaan projek itu diserah kepada Consortium Zenith BUCG Sdn. Bhd. iaitu syarikat tujuan khas yang dibentuk daripada lima syarikat iaitu Zenith Construction Sdn. Bhd., China Railway Construction (dua syarikat tersebut memegang keseluruhan 70 peratus ekuiti), Beijing Urban Construction Group (BUCG), Sri Tinggi Sdn. Bhd. dan Juteras Sdn. Bhd. yang masing-masing memiliki 10 peratus kepentingan.

Dalam masa sama, Azwanddin menggesa rakyat negeri itu menolak kepimpinan Guan Eng yang saban hari melaksanakan pelbagai langkah yang tidak berteraskan kebajikan rakyat.

“Saya minta rakyat di Pulau Pinang bangkit dan terus menolak keangkuhan Ketua Menteri mereka. Suara bantahan ini perlu diterjemahkan sekarang kerana kita tidak mahu perkara lebih buruk berlaku di negeri tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin menyelar keangkuhan Guan Eng yang tidak mengendahkan bantahan keras rakyat Pulau Pinang terhadap pembinaan projek berkenaan.

Kata beliau, tindakan itu mencerminkan pentadbiran Ahli Parlimen Bagan berkenaan yang hanya mementingkan diri sendiri.

“GAPS melihat tindakan ini sebagai antara bukti sikap angkuh Guan Eng. Baru lima tahun memerintah sudah bersikap begini, kalau diberi mandat lagi, rakyat akan terus dizalimi,” katanya. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130324/dn_46/Guan-Eng-didesak-jelas-mengapa-projek-terowong-tidak-melalui-tender-terbuka#ixzz2OX76Bm7O
© Utusan Melayu (M) Bhd

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share