PULAU PINANG 24 Mac – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berikrar untuk ‘menyerang’ program-program yang dihadiri Lim Guan Eng sekiranya Ketua Menteri itu terus membisu berhubung beberapa perkara dalam pembinaan terowong dasar laut.

Menggelarkan diri sebagai Pergerakan Pembela Hak Rakyat Pulau Pinang (Pehar), mereka mahu bersemuka dengan Setiausaha Agung DAP itu untuk mendesaknya menjawab keraguan rakyat berhubung projek tersebut.

Presidennya, Wong Kun Hoo berkata, pihaknya tidak menghalang pembinaan terowong dasar laut berkenaan tetapi terdapat empat persoalan yang memerlukan penjelasan terperinci daripada Guan Eng supaya rakyat tidak lagi ragu-ragu.

“Guan Eng perlu menerangkan kepada rakyat berhubung beberapa perkara dalam pembinaan terowong dasar laut yang sehingga kini masih menimbulkan tanda tanya.

“Jika dia gagal berbuat demikian, kami akan ke majlis-majlis yang dihadirinya termasuk program ceramah dan bertanya terus dengannya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, pelbagai pihak membantah projek terowong dasar laut sepanjang 6.5 kilometer (km) dari Persiaran Gurney ke Bagan Ajam serta jalan pintas sepanjang 4.6km dari Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Bandar Air Itam dan jalan empat lorong sepanjang 12km menghubungkan Tanjung Bungah dengan Teluk Bahang yang dibimbangi bakal memberikan implikasi buruk.

Kun Hoo memberitahu, terdapat empat persoalan tentang projek mega bernilai RM6.3 bilion itu yang memerlukan penjelasan terperinci daripada Guan Eng.

Pertama katanya, Guan Eng perlu menjelaskan kenapa sebuah syarikat yang hanya mempunyai modal berbayar sebanyak RM2 diberikan tanggungjawab untuk mengepalai konsortium projek itu?

“Kedua, kerajaan DAP Pulau Pinang seolah-olah tergesa-gesa mahu membina terowong itu sedangkan jambatan kedua belum siap dan masih tidak dapat dilihat keberkesanannya lagi.

“Ketiga, kenapa syarikat konsortium terbabit dibenarkan menggunakan tanah tebus guna seluas 44.51 hektar secara percuma berdasarkan anggaran kiraan kutipan tol selama 30 tahun?

“Keempat, kenapa sehingga sekarang kerajaan negeri masih tidak mendedahkan kepada umum kandungan kontrak kepada konsortium terbabit?,” soalnya. – UTUSAN

 

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130324/dn_48/Pehar-ikrar-serang-majlis-Guan-Eng-untuk-dapat-jawapan-isu-terowong#ixzz2OX65oPP8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share