KUALA LUMPUR 19 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tidak timbul isu kebarangkalian kerajaan akan menutup syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines (MAS), buat masa ini.

Beliau berkata walaupun MAS mencatat kerugian, hala tuju syarikat itu masih belum diputuskan, dan implikasi kewangan kepada kerajaan adalah berdasarkan keputusan yang akan ditentukan hasil kajian Khazanah Nasional Bhd, sebagai pemegang saham terbesar.

“Pihak Kerajaan telah membincangkan isu kerugian MAS dan telah memutuskan Khazanah segera menjalankan kajian mendalam bagi mengenal pasti punca kerugian MAS dan opsyen penyelesaian terbaik.

“Khazanah, selaku pemegang saham terbesar MAS, telah pun memulakan kajian berkaitan prestasi masa lampau dan prestasi semasa syarikat penerbangan itu.

“Hasil kajian akan dibentangkan kepada Lembaga Pengarah Khazanah sebaik sahaja ia dimuktamadkan bagi membolehkan hala tuju MAS ditentukan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Lim Guan Eng (DAP-Bagan) pada persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.

Lim, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, meminta Najib, selaku Menteri Kewangan, menyatakan sama ada syor menutup MAS merupakan pelan pemulihan kewangan MAS, yang mengalami kerugian RM4.1 bilion, sejak tiga tahun lalu. – BERNAMA / Foto FB Najib Razak

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share