KLIA2 – Sebahagian kakitangan syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia, memulakan tugas mereka hari ini – SHAHIR OMAR – Gambar Astro Awani

KUALA LUMPUR: Penumpang-penumpang syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia masih menyesuaikan diri di lapangan terbang KLIA2 setelah syarikat berkenaan beroperasi sepenuhnya di situ bermula hari ini.

Astro AWANI melakukan tinjauan di KLIA2 pagi tadi dan mendapati ada beberapa penumpang tidak menyangka penerbangan mereka mendarat di KLIA2.

klia2

“Ini KLIA2 ke?” tanya Shantha Nair, 30 kepada rakan beliau ketika ditemubual.

“Ia begitu cantik dan canggih. Ia sungguh moden,”

Rakan beliau Vanitha Ramachandran, 33, juga teruja dengan lapangan terbang baharu itu.

“Saya tidak sangka kita mendarat di KLIA2. Ada banyak perbezaan berbanding LCCT,” katanya ketika ditemui di balai ketibaan.

Bagi suri rumah Raihan Che Omar, 52, yang tiba dari Kota Bharu, lapangan terbang itu terlalu besar dan merasa penat kerana harus berjalan jauh.

“Saya bersama suami, dan kami tidak biasa lagi di lapangan terbang ini. Saya rasa gembira sebab ia luas dan canggih. Ia amat selesa,” tambahnya.

Di balai berlepas pula, beberapa penumpang meluahkan rasa bangga dengan KLIA2.

“Ia menunjukkan kemajuan. Saya rasa ia begitu bagus dan bangga kerana ini menjadi lapangan terbang kedua untuk Kuala Lumpur selepas KLIA,” kata Khairul Adha, 28, yang bakal ke Langkawi untuk tiga hari.

Beliau juga memuji sikap petugas AirAsia yang banyak membantu dan bersikap lebih mesra.

Khairul ditemani isteri beliau Nurul Liyana, 21, yang teruja kerana menaiki pesawat buat pertama kali.

“Selepas kejadian kehilangan MH370, saya ada perasaan takut untuk menaiki pesawat. Namun apabila tengok KLIA2, rasa seronok pula.

“Kami pun datang lebih awal kerana ingin berjalan-jalan di sekitar KLIA2,” kata Liyana.

Seorang pelancong dari England Chris Pocock, 33, juga memuji kecanggihan KLIA2.

“Bila sampai di KL, saya berada di LCCT dan kini saya akan berlepas ke Bandar Aceh dari KLIA2. Ia sungguh berbeza. Perkhidmatan di LCCT masih memuaskan tapi KLIA2 lebih canggih dan tiada kelewatan ketika daftar masuk (check-in),” kata beliau.

Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) menutup perkhidmatannya setelah lapan tahun beroperasi, dengan pelepasan pesawat AirAsiaX D7 170, ke Jeddah, Arab Saudi pada pukul 2.35 pagi ini.

AirAsia memulakan operasinya semalam di KLIA2 dengan pendaratan pesawat pertamanya dari Ho Chi Minh, Vietnam pada pukul 3.50 petang.

Dengan kos pembinaan dalam lingkungan RM4 bilion, terminal KLIA2 mampu mengendalikan sehingga 45 juta penumpang setahun dengan AirAsia dijangka menyumbang kira-kira 80 peratus daripada trafik KLIA2.

Sumber Astro Awani

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share