Malaysian Review

Ganti ‘Tuhan’ dengan ‘Allah’ langkah strategik Kristianisasi, kata NGO

Komuniti Kristian evangelis dikatakan cuba memurtadkan komuniti Islam menggunakan kaedah ‘Strategi Kontekstualisasi’ untuk lebih mendekati komuniti Melayu Islam melalui budaya dan adat resam mereka. – Gambar Reuters

Tindakan pihak gereja yang mahu menggunakan kalimah “Allah” menggantikan perkataan “God” dalam Bible berbahasa Melayu merupakan strategi Kristianisasi terhadap umat Islam, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia, Abdul Karim Omar.

Karim berkata, komuniti Kristian evangelis yang cuba memurtadkan komuniti Islam mula menggunakan kaedah “Strategi Kontekstualisasi” untuk lebih mendekati komuniti Melayu Islam melalui budaya dan adat resam mereka.

“Mereka akan meneruskan identiti komuniti sebagai ‘Muslim’ tetapi menyatakan ketaatan kepada Tuhan Kristian,” katanya ketika seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Kaedah itu katanya menjadikan masyarakat Melayu yang menganut agama Kristian “menyembunyikan identiti” mereka apabila bersama kelompok Melayu beragama Islam.

Beliau menegaskan, melalui kaedah itu juga kelompok Melayu Kristian itu menjadi “gerakan dalaman” dalam usaha memurtadkan masyarakat Islam di negara ini.

Karim dalam sesi seminarnya bertajuk, “Cabaran dan Ancaman Kristianisasi Malaysia” menegaskan bahawa berdasarkan satu kajian, masyarakat Melayu yang menganut Kristian juga tidak mempamerkan “elemen Kristian” mereka secara terbuka.

“Mereka tidak letak tanda salib di dalam atau luar rumah. Mereka juga mengaku tidak amalkan ajaran Kristian di hadapan orang ramai.

“Malah, kadang-kala mereka turut solat di masjid dan berpuasa di bulan Ramadhan serta Tidak mempamerkan bahan bacaan Kristian,” katanya.

Beliau berkata, sehingga individu Melayu Kristian itu meninggal dunia sekalipun, mayatnya tidak akan direbut pertubuhan Kristian sebaliknya akan diuruskan keluarga beragama Islam.

“Jika orang Melayu Kristian itu mati, keluarganya juga akan menguruskan mayat. Pertubuhan Kristian tidak akan berebut mayat,” katanya.

Situasi seperti itu turut berlaku di Bangladesh kata Karim apabila pertubuhan Kristian menggunakan istilah “Iswar” sebagai pengantara kepada agama Kristian untuk gerakan Kristianisasi di sana.

“Di Bangladesh mereka guna istilah ‘Iswar’. Untuk 10% penduduk Bangladesh yang beragama Hindu, Iswar adalah istilah pengantara kepada kepercayaan Kristian,” katanya.

Karim turut berkata, sekiranya trend memurtadkan umat Islam berkembang, menjelang tahun 2100, penganut Islam dan Kristian akan berada dalam sekitar 40%, manakala lain-lain kaum berada pada paras 20%.

Statistik terkini menunjukkan penganut Kristian di Malaysia adalah sekitar 9.2%, manakala penganut Islam menjadi komuniti majoriti dengan 61.3%, Buddha (19.8%), Hindhu (6.3%), lain-lain (0.4%).

Mengambil Korea Selatan sebagai contoh, Karim berkata pada 1905 jumlah Kristian hanya 0.5% daripada populasi negara itu.

Tetapi akibat perkembangan pesatnya pada tahun 1970an dan 1980an, ia meningkat kepada 30% pada 2005, katanya.

“Ia berlaku di Korea Selatan dan boleh berlaku di sini,” tambahnya.

Sebelum itu Karim berkata, ucapannya bertujuan untuk mendedahkan agenda buruk Kristian evangelis.

Beliau juga memberitahu kira-kira 1000 yang hadir, termasuk pelajar sekolah menengah dan universiti, jumlah Muslim yang menganut Kristian pada 1900an boleh dibilang dengan jari.

“Tetapi dalam kertas puteh di Parlimen, presiden PAS ketika itu Yusof Rawa memberitahu bahawa 66,000 meninggalkan Islam.”

“Dan pada 2006, Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria memberitahu jumlahnya sudah mencecah 250,000. Saya tidak tahu berapa jumlahnya sekarang,” katanya, sambil menambah jumlahnya menakutkan.

Sebelum itu, bekas paderi Katolik Indonesia memberitahu seminar itu bahawa penganut Kristian mengkhianati perintah Tuhan jika tidak menganut Islam.

Insan LS Mokoginta berkata, setiap pengikut Jesus patut menganut Islam jika tidak ia akan mengkhianatiNya.

Mokoginta yang menganut Islam pada 1976 berkata demikian dalam ucapannya bertajuk “Ancaman Kristianisasi”.

Sumber The Malaysian Insider

admin
Author: admin