KUALA LUMPUR, 29 April – Pergerakan Pemuda UMNO hari ini mengumumkan penubuhan Majlis Ulama Pemuda UMNO yang bertindak sebagai penasihat hal ehwal agama bagi sayap itu.

Naib Ketuanya Khairul Azwan Harun berkata Majlis Ulama itu diketuai oleh Exco Pergerakan Pemuda UMNO Fathul Bari Mat Jahya.

Majlis Ulama itu akan diletakkan di bawah Akademi Pemuda UMNO bagi membolehkan pelajar bidang agama di luar negara menyumbangkan idea kepada UMNO selepas tamat pengajian, katanya dalam sidang akhbar di Menara Dato’ Onn di sini, hari ini.

Pada 13 hingga 16 April lepas, Pemuda UMNO mengadakan lawatan ke Turki, Jordan dan Arab Saudi untuk menjalinkan kerjasama dengan Pergerakan Pemuda Parti AP di Ankara dan bertemu persatuan pelajar Malaysia di negara berkenaan.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta rakyat Selangor melaksanakan satu referendum sebagai bantahan terhadap kegagalan kerajaan negeri itu menyelesaikan krisis air. Umno Online

Laporan Sinar Harian

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda Umno sedia membantu Pas Kelantan untuk memberi penerangan dan perincian berkaitan hukum hudud kepada golongan muda bukan Islam.

Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun berharap kerajaan negeri Kelantan dapat menerima pelawaan Pemuda Umno dan mengadakan perbincangan bersama untuk menerangkan versi hukum hudud.

“Pemuda bersifat positif dan gembira sekiranya Pemuda PAS boleh bersama-sama dengan pergerakan Pemuda Umno bergabung untuk kita turun padang dan perjelaskan kepada masyarakat terutama generasi muda apakah hudud yang sebenarnya.

“Kita tidak ada niat politik, tidak langsung ada agenda untuk menjadi juara terhadap hukum hudud ini tetapi lebih penting adalah pemahaman yang sebenar dapat diberi kepada masyarakat umum,” katanya dalam temu bual bersama Bernama di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Pergerakan Pemuda Umno Dr Fathul Bari Mat Jahya dan Pengerusi Biro Agama Pemuda Umno Azmir Yuzaimi Mohd Yunos.

Khairul Azwan mencadangkan pelbagai pendekatan termasuk program dialog di universiti-universiti tempatan, memperkenalkan video klip pendek tentang hukum hudud dan ceramah yang dimuat naik di laman sosial.

Mengulas tentangan terhadap hukum hudud daripada parti komponen BN, beliau berkata tentangan itu adalah kerana mereka risau serta tidak jelas dengan hukum hudud.

“Tetapi kepimpinan Pemuda MIC dan Gerakan dalam semangat setia kawan BN bersetuju untuk menerima penjelasan dan penerangan daripada biro agama untuk lebih memahami hukum ini,” katanya.

Sementara itu, Azmir berkata Pas Kelantan perlu berhati-hati dalam melaksanakan hukum hudud kerana sekiranya pelaksanaan hukum itu gagal dan tidak adil, ia hanya akan membawa cemuhan daripada golongan bukan Islam.

Fathul Bari pula berkata fokus utama Pemuda adalah bagi membetulkan persepsi negatif berkaitan hukum hudud dan berharap kali ini Pas ikhlas untuk melaksanakan hukum tersebut di Kelantan. – Bernama

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share