[signoff1]

Ahli perniagaan terkenal Tan Sri Vincent Tan menuduh media British sebagai rasis kerana seringkali menjadikannya sasaran serangan berhubung penglibatannya dalam kelab bola sepak Cardiff City.

Dalam temubual eksklusif dengan BBC, Tan, pemilik kelab liga Inggeris tersebut, berkata media British tidak adil terhadap beliau dengan menggambarkannya ibarat watak penjahat dalam filem Bond, hanya kerana beliau selalu berkaca mata hitam dan bersarung tangan ketika menonton perlawanan.

“Saya memakai kacamata kerana silau dengan cahaya lampu, sarung tangan pula kerana cuaca sejuk di UK.

“Terkadang saya fikir mereka tidak waras kerana membuat komen sebegitu,” katanya kepada BBC Sports dalam satu majlis hari jadi dan penghormatan di Kuala Lumpur bagi mengiktiraf kerja amalnya.

Tan menyifatkan akhbar British tidak adil dan mengakui “tidak menerangkan cerita dengan baik”.

“Bila tiba masanya, saya akan berbuat demikian,” katanya.

Tan berkata segelintir penyokong Cardiff yang mengkritik beliau perlu meminta maaf kepadanya, dan mendakwa 90% penyokong kelab itu berada di belakangnya.

“Di satu masa kita jadi wira, di masa lain kita dikatakan tidak berguna,” katanya sambil menambah kelab bola sepak itu akan bertambah teruk tanpanya.

“Kerana pelaburan dilakukan saya, kelab itu kini layak memasuki Liga Premier Barclays.”

Tan mengakui akan ada mereka yang tidak menyokongnya. Beliau kini memiliki kira-kira 90% saham kelab tersebut.

BBC Sports melaporkan hutang Cardiff City kepada Tan kini sekitar £70-£80 juta (RM386-RM441 juta).

Mengenai penukaran warna rasmi kelab itu yang mengundang kritikan, Tan berkata ia tidak akan dilakukan sekiranya pemilik lain mengambil alih kelab itu.

Penukaran tersebut melibatkan perubahan warna dari merah ke biru, dengan simbol naga, sebagai sebahagian penjenamaan semula kelab itu tahun lepas.

Ia menimbulkan kemarahan peminat kelab yang berkata Tan mengubah tradisi yang dibanggakan sejak berkurun lamanya.

Namun, Tan, 62, berkata peminat bola sepak British sepatutnya bersyukur mempunyai pemilik asing.

“Saya tidak akan meninggalkan Cardiff biarpun tidak tersenarai dalam Liga Premier Barclays melainkan sekiranya peminat sangat memarahi saya,” katanya.

Beliau juga berjanji menyalurkan derma £1 juta kepada badan kebajikan tempatan sekiranya kelab itu tersenarai dalam Liga Premier musim ini.

Cardiff City kini menduduki ranking kedua terbawah dalam Liga Premier dan mempunyai tiga mata selamat dari carta.

Mengenai tindakannya memecat pengurus pasukan Malky Mackay, Tan berkata beliau bernasib baik diberi tawaran tersebut.

Mackay dilantik pada Jun 2011 oleh pengerusi kelab ketika itu, Chan Tian Ghee dan bekas pengarah Alan Whiteley.

Tan berkata, sekiranya beliau lebih terlibat dalam urusan kelab, Mackay tidak akan dilantik.

“Prestasinya di Watford tidaklah baik, tetapi ketua pengarah eksekutif dan pengerusi melantik beliau menggantikan Dave Jones.

“Jadi saya fikir Mackay bernasib baik kerana saya datang di Cardiff. Saya melabur duit dan kemudiannya kelab kami berjaya. Adakah anda fikir Mackay boleh melonjakkan kelab ini tanpa pelaburan saya?” soalnya.

Tan mendakwa situasi di Cardiff City bertambah runcing apabila beliau mendapati perbelanjaan kelab itu melebihi dari sepatutnya dalam perpindahan pemain.

“Saya menghantar Simon Lim dari Malaysia. Dia tidak tahu banyak mengenai bola sepak, jadi beliau bergantung kepada pakar bola sepak.

“Kami mempunyai pakar yang sering memberitahu, ‘serahkan hal bola sepak kepada saya, saya adalah pakar’, jadi bila dia suruh ‘buat ini’ dan ‘buat itu’… apa yang boleh Simon Lim kata? Apa yang boleh saya kata?” soalnya.

Ini seterusnya membawa kepada pemecatan Iain Moody, digantikan oleh Alisher Apsalyamov, belia berusia 23 tahun yang merupakan sahabat anak Tan.

Tan memuji Apsalyamov, menyifatkan lelaki Kazakhstan itu mempunyai “pengalaman sangat menakjubkan dalam bola sepak”, dan berkata dakwaanya bahawa kelab telah terlebih bayar dalam pembelian pemain kini terbukti. AAKJ

[signoff2]

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE