Syiling peringatan ATM ke-80 Foto kredit Sinar Harian Online.

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan ulang tahun Angkatan Tentera Malaysia Ke-80.

Dalam satu kenyataan di sini, BNM berkata duit syiling peringatan itu dalam tiga spesifikasi iaitu emas, perak dan emas Nordic.

Duit syiling peringatan emas diperbuat daripada logam emas dengan ketulenan 999.9 dan berat setiap keping ialah 7.96 gram dengan nilai muka RM100 dan harga jualannya RM1,800 sekeping.

Sebanyak 500 keping sahaja ditempa.

Bagi duit syiling perak, ia diperbuat daripada logam Perak Sterling dengan ketulenan 92.5 dengan berat setiap keping ialah 21.00 gram.

Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan harga jualannya RM150 sekeping dan hanya 1,000 keping sahaja ditempa, kata BNM dalam kenyataan itu.

Sementara itu, duit syiling peringatan Emas Nordic mempunyai nilai muka RM1, yang dijual pada RM10 sekeping dan sebanyak 25,000 keping sahaja ditempa.

Menurut BNM kesemua duit syiling itu boleh didapati dalam set tiga dalam satu dan set dua dalam satu.

“Set tiga dalam satu mengandungi duit syiling emas, perak dan emas nordic pruf. Set ini akan dijual pada harga RM2,000 dan hanya terdapat 500 set sahaja. Set 2 dalam 1 pula mengandungi duit syiling perak dan emas nordic pruf. Set ini akan dijual pada harga RM200 dan hanya terdapat 750 set sahaja,” katanya.

Duit syiling peringatan ini ditempa dan diedarkan oleh BNM dan akan mula dijual pada 23 Disember ini di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (MAG) di Sasana Kijang, Kuala Lumpur dan pejabat wilayah di Pulau Pinang dan Johor Bahru serta cawangan di Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching. – Bernama

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share