Foto kredit TMI

Pak Samad berkata sudah tiba masanya bagi Dr Mahathir untuk tidak lagi mengganggu hal pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan memberi kebebasan sepenuhnya kepada anggota kabinet untuk menentukan masa depan negara laporan The Malaysian Insider

“Biarlah Dr Mahathir menyentuh isu besar dan asas yang bersifat antarabangsa. Biarlah hal dalam negara difikirkan oleh otak-otak di dalam kerajaan,” katanya.

Pengerusi Bersama Bersih 2.0 itu turut menyifatkan Dr Mahathir sebagai seorang pemimpin yang gemar mencipta permusuhan setelah kebanyakan pemimpin di Malaysia pernah dijadikan sasaran bagi meneruskan karier politiknya.

“Cuba namakan mana pemimpin yang Dr Mahathir tidak bergaduh. Beliau bergaduh dengan Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Tidak mungkin semua orang sentiasa salah. Mesti ada orang yang betul di suatu waktu. Oleh kerana akhbar juga melayannya maka beliau pun seronok,” katanya.

Dr Mahathir semasa menjawab kritikan Abdullah menerusi buku “Awakening: The Abdullah Badawi Years In Malaysia” pada Ogos lalu berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Abdullah pada 2008 adalah sebuah kerajaan yang kaya namun rakyat masih tetap memilih pembangkang.

Katanya, walaupun Abdullah mampu membuatkan kerajaan menyimpan berbilion ringgit tetapi rakyat tetap menyerahkan lima negeri kepada pembangkang dan BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.

Abdullah menerusi buku itu menyebut, Malaysia akan jatuh muflis sekiranya beliau mengikut jejak langkah berbelanja secara boros seperti Dr Mahathir namun beliau kemudiannya berkata kenyataan itu adalah tafsiran penulis dan bukan dirinya sendiri.

Sementara itu, Dr Mahathir dalam nada sinis mengatakan berbilion ringgit dapat diselamatkan sekiranya beliau bersara lebih awal sambil menamakan beberapa projek di bawah pemerintahannya seperti Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), Jambatan Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pelabuhan Barat, Putrajaya dan Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Beliau mendakwa perbelanjaan besar juga terpaksa ditanggung kerajaan apabila Abdullah membatalkan projek yang dirangkanya apabila terpaksa membayar pampasan kepada kontraktor.

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share