SELEPAS menjuarai Fear Factor Selebriti Malaysia musim pertama, pelakon tampan, Hairul Azreen mahu menunaikan hajatnya untuk membawa kedua ibu bapanya menunaikan haji di tanah suci Makkah.

Walaupun sedih kerana kedua-duanya tidak dapat menghadirkan diri ketika majlis penyampaian hadiah di Publika, Damansara namun dia gembira dengan sokongan yang diberikan peminatnya.

“Alhamdulillah, inilah saatnya, saya mahu menunaikan janji untuk ke Makkah bersama kedua-dua orang tua saya.

“Ia merupakan cita-cita dari dulu lagi dan saya mahu tutup mata dengan keadaan tenang. Tetapi masih belum memutuskan tarikhnya. Insya-ALLAH, mungkin penghujung tahun ini,” kata Hairul.

Hairul turut menjelaskan ketidakhadiran keluarganya kerana mereka kini berada di Beijing, China atas urusan peribadi.

Dalam perkembangan lain, selepas berakhirnya pertandingan tersebut, Hairul tidak menafikan bahawa dia menerima panggilan telefon untuk tawaran berlakon hampir setiap hari.

“Buat masa sekarang saya mahu mengukuhkan nama dalam bidang lakonan sebelum terjun ke bidang lain.

“Tambahan pula saya banyak menerima tawaran berlakon drama dan bulan Jun nanti saya akan terbang ke Korea untuk penggambaran di sana,” katanya.

Dazrin tunai janji

Bagi Dazrin pula, ketika di awal penyertaan dia berjanji ingin menghadiahkan telefon bimbit kepada Hairul sekiranya mereka memenangi pertandingan tersebut.

“Hadiah ini merupakan janji saya kepada Hairul jika kami berjaya membawa pulang hadiah utama.

“Alhamdulillah kami berjaya. Saat ini kami masih tidak percaya bahawa kami adalah juara Fear Factor musim pertama,” kata Dazrin.

Setelah berjaya mengharungi segala rintangan dalam pertandingan itu, Dazrin mendedahkan mereka tiada mempunyai sebarang strategi.

“Kami main rempuh sahaja tanpa memikirkan apa cabaran yang perlu dilakukan.

“Selalunya saya lebih fokus pada tugasan lebih ringan berbanding Hairul, bukan kerana memilih tetapi dia lebih sesuai dengan cabaran lasak,” kata Dazrin yang mengakui dia fobia terhadap ular.

Gandingan mantap dua pelakon kacak, Hairul Azreen dan Dazrin Kamarudin ternyata membuahkan hasil apabila mereka dinobatkan sebagai juara Fear Factor Selebriti Malaysia musim pertama.

Setelah berhadapan dengan 26 cabaran lasak yang berbeza dan perubahan cuaca di Cape Town, Africa selama 13 minggu, mereka akhirnya berjaya membawa wang tunai RM220,000 dengan menewaskan 14 pasangan selebriti lain.

Dalam episod terakhir, tiga pasangan selebriti lain yang turut mara ke peringkat akhir iaitu Hafizul dan Hefny, Dafi Ismail dan Zoey Rahman serta Elfira Loy dan Ajak Shiro.

 

http://www.sinarharian.com.my/hiburan/hairul-dazrin-juara-fear-factor-selebriti-malaysia-1.145083?localLinksEnabled=false

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share