Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala awal minggu ini bahawa kerajaan patut keluar dari industri penerbangan dengan menjual Malaysian Airline System Bhd (MAS) mengundang reaksi daripada pelbagai pihak.

Malah, sehari selepas kenyataan itu dikeluarkan, harga saham MAS mencatatkan kenaikan 7.9 peratus kepada 34 sen dan menjadi saham paling aktif diniagakan di Bursa Malaysia, menunjukkan prospek penjualan MAS memberi kesan ketara kepada saham syarikat penerbangan itu.

Walaupun Idris kemudiannya mengesahkan kerajaan tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menjual MAS pada masa ini, isu itu sebenarnya tidak pernah lari daripada perbincangan dalam dunia penerbangan negara dan kini, hal itu sekali lagi dibicarakan secara terbuka.

Bagi pengurusan MAS, matlamat mereka hanya satu, iaitu mengekalkan perolehan dan prestasi selain memastikan syarikat penerbangan itu terus dapat bersaing tanpa mahu terlalu memfokuskan kepada isu sama ada syarikat itu akan dijual atau sebaliknya.

Pengarah Komersial MAS, Dr Hugh Dunleavy berkata, MAS yakin untuk merekodkan prestasi separuh kedua yang lebih kukuh tahun ini sekali gus mencatatkan keuntungan menjelang hujung tahun depan.

Menurutnya, syarikat itu mempunyai pelan pemulihan tersendiri dalam menghadapi kejatuhan prestasi kewangan pada suku pertama dan kedua tahun ini.

Beliau berkata, MAS memilih untuk terus bersaing dalam industri itu dengan pelaksanaan usaha berterusan di setiap rantau dan pasaran supaya sasaran keuntungan akan dapat dicapai seperti yang dirancang.

Read more: SH

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share