Perdana Menteri Tun Mahathir didakwa menggunakan ayat kasar seperti Najib Razak ketika perbalahan politik. – Foto Free Malaysia Today

oleh Shahbudin Husin

Dahulu ketika Najib Razak menjadi Perdana Menteri, beliau selalu dikecam kerana beberapa kali didapati menggunakan perkataan kesat terhadap mereka tidak disetujuinya.

Antara perkataan kesat yang pernah digunakan Najib ialah “bangang”, “haramjadah”, “kepala bapak” dan “seekor-seekor”.

Sebagai Perdana Menteri dan ketua kerajaan, lebih-lebih lagi berketurunan bangsawan yang selalunya terdidik dengan sifat sopan dan berbudi bahasa, penggunaan kata-kata kesat itu dianggap tidak wajar sama sekali.

Lantaran itu, kecaman daripada pengguna media sosial datang bertalu-talu terhadapnya.

Selain beberapa faktor lain, khususnya skandal 1MDB, sikap Najib yang tidak berhemah itu turut menjadi antara sebab beliau semakin dijauhi dan seterusnya ditolak rakyat dalam PRU14 lalu.

Berbeza dengan Tun Mahathir Mohamad yang menjadi musuh utama Najib ketika itu, beliau dianggap seorang yang tetap menjaga budi bahasa dan sopan santun ketika berbicara.

Selalu dijadikan perbandingan bahawa ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun sebelum itu, biar bagaimana getir dan besar sekali pun cabaran politik yang dihadapi, tidak pernah kedengaran sama sekali kata-kata kesat keluar daripada mulutnya.

Tetapi, kenapakah hanya menjelang setahun menjadi Perdana Menteri buat kali kedua ini, Tun Mahathir seperti gagal mengawal dirinya daripada mengeluarkan perkataan-perkataan yang kesat?

Meskipun beliau berbeza pendapat dengan TMJ dan pewaris Sultan Johor itu lebih muda daripadanya, tetapi wajarnya Tun Mahathir mengungkapkan perkataan “bodoh” terhadap baginda?

Kita sesama kita pun selalunya jarang menggunakan perkataan “bodoh” dan sedaya upaya akan menggantinya dengan ungkapan “tidak cerdik”, namun apakah seorang Perdana Menteri yang lebih tua kelihatan manis apabila mengucapkan perkataan itu, lebih-lebih lagi kerana ditujukan kepada seorang anak raja?

Kenapa Tun Mahathir sekarang sudah jadi seperti Najib sebelum ini?

Apakah tekanan yang dihadapinya ketika ini begitu berat sehingga gagal mengawal emosi dan perasaannya?

*Shahbudin Husin adalah penulis buku politik terkenal. Tulisan adalah pendapat peribadi beliau yang tidak semestinya mewakili MalaysianReview. – Majalah Review Malaysia

KLIK BACA: Penasihat Tun M Kadir gesa LHDN, Polis siasat syarikat berkait keluarga diraja Johor

KLIK BACA: Anak Rosmah Riza pulangkan RM236 juta kepada kerajaan

KLIK SINI BACA: Pendedahan IGP Hamid Bador yang menggemparkan tentang skandal 1MDB 

KLIK BACA: Penasihat Najib terima RM2.5 juta beri duit pada isteri dan anak

KLIK BACA: Shafee dituduh terima wang dari Najib, elak cukai LHDN, gubah wang haram

KLIK BACA: Siapa Roslan Sohari dikait bank Rosmah?

KLIK BACA: Anak saudara Hishammuddin dapat cek RM240,000 dari Najib

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share