Bung Moktar Radin dan Zizie Izette dituduh rasuah dan bersubahat berkaitan projek Felcra. – Foto Astro Awani

Bung Moktar Radin dibenarkan ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas 3 pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.8 juta.

Ahli Parlimnen Kinabatangan dari Umno itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Bung, 60, yang merupakan bekas pengerusi Felcra Berhad didakwa atas kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah.

Jika sabit kesalahan beliau boleh dipenjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai suapan yang menjadi kesalahan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000.00, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Zizie Izette A Samad yang merupakan isteri Bung Moktar juga dibenarkan ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin oleh Mahkamah Sesyen atas pertuduhan bersubahat dengan suaminya atas kesalahan sama.

Sebelum itu beliau mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azura Alwi.

“Saya minta bicara,” kata pelakon itu seperti dilapor BERNAMA.

Bagi pertuduhan pertama, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Moktar Radin, 60, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad, dengan memperoleh suapan wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, 38 tahun.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi suaminya mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad, di mana kesalahan itu dilakukan hasil daripada persubahatan tertuduh.

Bagi pertuduhan kedua, wanita itu didakwa bersubahat dengan Bung Moktar dengan memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama tertuduh bagi tujuan serupa.

Zizie Izette juga dituduh bersubahat dengan Bung Moktar dengan memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama tertuduh bagi tujuan yang sama.

Zizie didakwa di bawah Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Jika didapati bersalah, Zizie boleh dipenjara selama tempoh tidak lebih daripada 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000.00 mengikut mana yang lebih tinggi.

Mahkamah memutuskan 10 Jun ini untuk sebutan semula kes bersama-sama dengan kes Bung Moktar.-  Majalah Review Malaysia

KLIK SINI BACA: Pendedahan IGP Hamid Bador yang menggemparkan tentang skandal 1MDB 

KLIK BACA: Penasihat Najib terima RM2.5 juta beri duit pada isteri dan anak

KLIK BACA: Shafee dituduh terima wang dari Najib, elak cukai LHDN, gubah wang haram

KLIK BACA: Siapa Roslan Sohari dikait bank Rosmah?

KLIK BACA: Anak saudara Hishammuddin dapat cek RM240,000 dari Najib

KLIK BACA: Analisis – Tun Mahathir PM cuma setengah penggal buat apa bertelingkah dengan Raja?

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share