Bekas pegawai khas Isham Jalil dalam mempertahankan Najib Razak memberi contoh kesederhanaan hidup bossnya berbanding Tun Mahathir dan Tun Daim. – Foto AbuLeman Blog

oleh Isham Jalil

Tempohari beberapa orang saksi pendakwaraya telah dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah.

Dua orang daripada saksi-saksi ini adalah kontraktor binaan dan renovasi yang telah membuat kerja-kerja binaan di rumah Dato’ Seri Najib di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur.

Saksi-saksi ini dipanggil oleh pihak pendakwaraya untuk menunjukkan ke mana duit yang dikatakan berasal daripada syarikat SRC telah dibelanjakan.

Berdasarkan keterangan Peguam Negara Tommy Thomas, teori pihak pendakwaraya ialah syarikat SRC telah memasukkan duit ke dalam akaun dua anak syarikat mereka iaitu Ihsan Perdana Sdn. Bhd. dan Gandingan Mentari Sdn. Bhd. dan anak-anak syarikat ini telah memasukkan duit ke dalam akaun Dato’ Seri Najib dan akaun ini digunakan oleh Dato’ Seri Najib untuk tujuan peribadi beliau seperti membuat renovasi rumah dan sebagainya.

Dua anak syarikat SRC tersebut iaitu Ihsan Perdana Sdn. Bhd. dan Gandingan Mentari Sdn. Bhd. adalah syarikat yang menjalankan kerja-kerja corporate social responsibility (CSR) atau kerja-kerja tanggungjawab sosial, kebajikan atau amal jariah.

Dan teori pihak pendakwaraya lagi ialah perkara di atas dilakukan oleh SRC sebagai timbal balasan kepada Dato’ Seri Najib kerana Kementerian Kewangan telah meluluskan jaminan kewangan kepada syarikat SRC ke atas pinjaman mereka.

Ada sekurang-kurangnya dua perkara yang tidak kena dengan teori pendakwaraya ini:

PERTAMA, mengikut undang-undang untuk mensabitkan kesalahan, pihak pendakwaraya perlu membuktikan teorinya bahawa Dato’ Seri Najib telah mengarahkan syarikat SRC tersebut untuk memasukkan duit ke dalam akaunnya yang kononnya sebagai timbal balas ke atas tindakan Kementerian Kewangan meluluskan jaminan pinjaman syarikat SRC tersebut.

Teori dan perkara ini tidak dapat dibuktikan oleh pihak pendakwaraya sehingga kini. Apa yang ada pada mereka hanyalah teori Peguam Negara seperti di atas.

Oleh sebab ini, besar kemungkinan pihak pendakwaraya cuba mengalih perhatian dengan cuba menunjukkan yang kononnya Dato’ Seri Najib menggunakan duit SRC untuk merenovasi rumahnya oleh itu beliau telah menggunakan duit tersebut untuk kepentingan peribadi dan kemewahan dan oleh itu beliau yang mengarahkan SRC untuk memasukkan duit tersebut ke akaunnya untuk tujuan ini.

Ini adalah satu lagi teori berdasarkan tanggapan lemah tanpa bukti daripada pihak pendakwaraya.

Faktanya: kerja-kerja “renovasi” kediaman Dato’ Seri Najib tersebut sebenarnya adalah untuk penambahan pondok polis untuk keselamatan beliau sebagai Perdana Menteri dan juga untuk membaiki dan menambah kapasiti tangki air kediaman beliau supaya ianya boleh menampung majlis keramaian rakyat yang kerap diadakan di kediaman tersebut, bukan untuk bermewah-mewah.

Majlis ini termasuk jemputan kepada pelajar tahfiz dan anak-anak yatim di sekitar Kuala Lumpur yang kerap diadakan di kediaman beliau di Langgak Duta.

Semasa beliau menjadi Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib lebih banyak menginap di kediaman sendiri beliau di Langgak Duta dan tidak banyak menggunakan kediaman rasmi di Seri Perdana.

Oleh itu banyak majlis-majlis bersama tetamu dan rakyat diadakan di kediaman Langgak Duta dan bukan di Seri Perdana.

Seri Perdana adalah amat besar berbanding kediaman beliau sendiri di Langgak Duta dan walaupun ditanggung kerajaan, kos penyelenggaraan dan mengadakan majlis di Seri Perdana adalah jauh lebih tinggi.

Apabila beliau kerap menginap dan mengadakan majlis di Langgak Duta, ianya sebenarnya adalah lebih menjimatkan kerajaan.

Saya telah banyak kali pergi ke rumah Dato’ Seri Najib di Langgak Duta ini. Rumah ini memang rumah banglo, namun ia bukanlah rumah banglo mewah seperti rumah agam Tun Mahathir di Cyberjaya dan Seri Kembangan, atau rumah agam Tun Daim di Hulu Kelang atau rumah tersergam Mokhzani dan Mukhriz.

Ia adalah rumah banglo sederhana yang pada asalnya tidak pun muat untuk menampung majlis yang besar.

Memang ada kerja-kerja renovasi, tetapi untuk menambah pondok polis dan tangki air untuk keselamatan dan kegunaan majlis bersama rakyat, bukan untuk tujuan kemewahan.

KEDUA, sebagai Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, semestinya Dato’ Seri Najib mempunyai akses kepada banyak akaun untuk perbelanjaan politik dengan jumlah ratusan juta ringgit untuk parti, NGO atau rakyat.

Namun demikian ini tidak bermakna beliau menguruskan akaun-akaun ini sendiri. Adalah mustahil untuk seorang Perdana Menteri untuk menguruskan akaun-akaun ini sendiri sambil pada masa yang sama menguruskan negara setiap hari. Saya pasti Tun Mahathir pun tidak larat atau mampu untuk menguruskan akaun-akaun beliau sendiri tanpa diketahui sesiapa.

Oleh itu untuk pihak pendakwaraya menganggap yang Dato’ Seri Najib mengarahkan keluar masuk duit ini ke dalam akaun-akaun ini tanpa pengetahuan orang lain adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

Oleh yang demikian, sepatutnya pihak pendakwaraya memanggil saksi kritikal kepada kes ini iaitu saksi yang boleh menyokong keterangan di atas (iaitu Dato’ Seri Najib telah mengarahkan duit dimasukkan ke dalam akaun beliau sebagai timbal balas), bukan saksi kontraktor yang menunjukkan mereka telah membina tangki air dan pondok polis di rumah Dato’ Seri Najib menggunakan duit dari akaun beliau.

Apabila pihak pendakwaraya gagal mengemukakan walau seorangpun saksi kritikal di atas, besar kemungkinan yang teori pihak pendakwaraya tersebut adalah tidak benar dan tanggapan mereka tersebut tidak berlaku.

Bayangkan sekiranya perkara ini yang sebenarnya berlaku:

Syarikat Ihsan Perdana dan Gandingan Mentari memasukkan duit ke dalam akaun Dato’ Seri Najib atas arahan orang lain atau atas agenda mereka sendiri.

Dato’ Seri Najib tidak dirujuk ke atas perkara di atas dan beliau tidak pernah memberi arahan supaya SRC memasukkan duit ke dalam akaun beliau.

Dato’ Seri Najib menggunakan salah satu daripada akaun CSR beliau daripada pelbagai sumber untuk menambah tangki air dan pondok polis di rumah beliau untuk keselamatan dan kegunaan majlis bersama rakyat.

Akaun-akaun CSR ini tidak diuruskan oleh beliau tetapi oleh orang lain.

Tiada perjanjian timbal-balas antara Dato’ Seri Najib dengan syarikat SRC.

Adakah Dato’ Seri Najib bersalah ke atas hal ini?

Sekiranya beliau bersalah, maka ianya akan menjadi contoh kes (precedent) yang amat tidak baik dan tidak adil dalam undang-undang negara.

Jika ini berlaku, bayangkan pula sekiranya perkara sebegini terjadi kepada anda:

Pada suatu hari ada pihak memasukkan duit ke dalam akaun anda tanpa merujuk kepada anda; seperti biasa anda telah menggunakan akaun anda untuk membeli sesuatu; kemudian duit yang telah dimasukkan oleh pihak itu dituduh dari sumber yang haram; tiba-tiba anda dituduh dan didapati bersalah kerana menggunakan duit haram dan disumbat ke dalam penjara. Bagaimana anda rasa?

Teori Peguam Negara dan pihak pendakwaraya di atas mungkin sama umpama cerita kereta terbang kerajaan PH atau minum sawit awet muda, besar kemungkinan ianya adalah fiksyen.

Mungkin bagi mereka, benda boleh reka tuduh, buat apa cari bukti.

*Isham Jalik adalah bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak. – Majalah Review Malaysia

KLIK BACA: Pegawai Najib – Isham Jalil pelik kenapa PH takut rakyat tengok video perbicaraan BOSSKU?

KLIK BACA: Najib takut media dikawal kerajaan tak lapor tepat bicara

KLIK BACA: Ketua perisik kerajaan Najib dibicarakan pecah amanah RM50.4 juta

KLIK BACA: Perbicaraan: Najib baca buku ‘Dunia Tanpa Tembok’ di mahkamah

KLIK BACA: Siapa Roslan Sohari dikait bank Rosmah?

KLIK BACA: Bersihkan bilik penjara Sg Buloh, penghuni baru masuk, kata Anwar

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share