Bekas pakar perunding kanan forensik dan patologi PPUKM, Dr Shahrom Abd Wahid. – Foto Free Malaysia Today

SHAH ALAM: Seorang pakar forensik memberitahu inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, berdasarkan uji kajinya, beliau tidak nampak anggota bomba itu dilanggar ketika van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) berundur.

Susulan uji kaji itu, bekas pakar perunding kanan forensik dan patologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Shahrom Abd Wahid tampil dengan teori, hampir mustahil Adib dilanggar berikutan kelajuan van EMRS tidak sepadan dengan kecederaan yang terhasil.

“Sekiranya Adib dilanggar dengan kelajuan 17km/jam di bahagian pintu depan kiri EMRS, mangsa akan terpusing ke belakang dan dia (Adib) akan jatuh di kawasan yang dilanggar.

“Dia akan jatuh secara rata di punggung, diikuti ke belakang dan jatuh di bahagian kepala. Dan sepatutnya akan mendatangkan kecederaan di belakang kepala tetapi tak sehingga patah tulang rusuk,” katanya di depan Koroner, Rofiah Mohamad sewaktu menjawab soalan pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzah pada hari ke-29 inkues.

Shahrom yang merupakan saksi ke-29 berkata dalam uji kaji itu menggunakan anggota bomba yang dilindungi span tebal diikat di depan dan belakang badan, kemudian dilanggar dengan van EMRS yang sama model ketika hari kejadian.

Shahrom berkata uji kaji itu dipertonton di dalam mahkamah.

Shahrom juga berkata dalam mengukuhkan teorinya itu, beliau juga menunjukkan video beberapa orang di luar negara yang dilanggar lebih laju daripada 17km/jam.

Dalam video itu menunjukkan kebanyakan mereka dilanggar dengan kereta dan bas tetapi tidak sehingga mendatangkan kecederaan patah tulang rusuk.

Shahrom juga berkata hampir mustahil Adib dihentak dengan helmet.

Katanya, jika mahu memecahkan cermin sisi dan belakang van EMRS perlu dihentak lebih 2 kali dan mengambil masa yang lama.

Dalam perkembangan lain, Shahrom juga tidak berpuas hati dengan teori awal pakar forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi berhubung laporan bedah siasat Adib.

Katanya, teori dengan laporan bedah siasat terdapat percanggahan.

“Ada 3 isu pokok, iaitu sama ada mangsa keluar kenderaan sendiri, mangsa ditarik orang lain, dan mangsa alami kecederaan akibat terhimpit antara 2 permukaan keras.

“Dalam keterangan di mahkamah, Hafizam kata mangsa keluar sendiri dan alami kecederaan antara 2 permukaan keras. Tetapi dalam laporan bedah siasat, kata tak pasti,” katanya.

Sebelum ini, Hafizam ketika memberi keterangan kepada inkues itu berkata, Adib dihentak pintu van yang berundur akibat dilanggar jentera Fire Rescue Tender (FRT) semasa rusuhan berlaku di depan Kuil Sri Maha Mariamman, pada 27 November lalu.

Adib, 24, antara anggota EMRS dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya yang dikerahkan ke sekitar Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, selepas beberapa kereta dibakar pada 27 November lalu.

Beliau meninggal dunia 17 Disember lalu, 3 minggu selepas dirawat di Institut Jantung Negara. – Sumber FMT

KLIK BACA: Peguam Shafee tuduh Najib mangsa konspirasi Jho Low dan gang

KLIK BACA: Ketua perisik kerajaan Najib dibicarakan pecah amanah RM50.4 juta

KLIK BACA: Akaun bank peribadi Najib ada juta ringgit, kata saksi perbicaraan SRC

KLIK BACA: Perbicaraan: Najib baca buku ‘Dunia Tanpa Tembok’ di mahkamah

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share