Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan Malaysia akan menarik diri daripada Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berikutan kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam kalangan masyarakat.

Sambil menegaskan bahawa keputusan itu dibuat bukan disebabkan statut itu membahayakan negara, beliau pada sidang akhbar di Putrajaya, hari ini, berkata kerajaan sedar bahawa ia adalah langkah politik untuk mendapatkan sokongan daripada Raja-Raja.

“Memanglah, sesetengah anggota kerabat diraja mungkin terlibat. Tetapi keseluruhan rancangan ini adalah supaya kerabat diraja di Malaysia menentang kerajaan sekarang.

“Itulah motifnya. Tetapi disebabkan kekeliruan ini dan kekeliruan dalam kalangan Raja-Raja, kami membuat keputusan untuk tidak mengiktiraf statut berkenaan.

“Kami menarik diri bukan sebab Statut Rome membahayakan kami, sebaliknya disebabkan kekeliruan yang ditimbulkan oleh sesetengah orang, termasuk mereka yang bercita-cita politik. Kami tahu (perkara) ini,” katanya sambil menambah keputusan untuk menarik diri dicapai secara bersama dalam mesyuarat mingguan kabinet.

Dr Mahathir yang jelas kelihatan kurang senang, berkata beliau tahu ada percubaan untuk memburuk-burukkan kerajaan Pakatan Harapan dan diri beliau sendiri selaku perdana menteri, menggunakan isu Statut Rome dengan mendakwa kerajaan telah menyerahkan semua kuasa kepada pihak asing.

“Saya amat terkejut apabila ada orang yang cuba menggunakan penerimaan Statut Rom ini sebagai bukti bahawa kerajaan telah menyerahkan segala-galanya kepada statut ini.

“Tiada satu cara pun untuk mereka ambil tindakan ke atas kita, jika sebagai contoh, kerajaan terdahulu ‘bossku curi duit’, kami mengambil tindakan berlandaskan undang-undang dan tiada apa juga cara untuk mereka campur tangan,” katanya yang nyata merujuk kepada bekas perdana menteri Najib Razak.

“Tetapi sekarang dalam isu ini, mereka nak cuba nak gunakan untuk memburukkan kerajaan terutama melabelkan saya sebagai pengkhianat kepada bangsa saya.

“Tak apalah, mereka dah label saya pengkhianat. Mereka pengkhianat besar.

“Masa Najib curi duit, jual tanah dan buat macam-macam, mereka tidak tegur satu patah pun. Mereka bersembunyi (dan) saya pun tak tahu di mana, tetapi mereka bimbang tindakan mungkin diambil ke atas mereka,” katanya.

Dr Mahathir berkata memandangkan kerajaannya menjunjung kedaulatan undang-undang dan mahu mengambil tindakan ke atas mereka, pihak ini membangkitkan isu Statut Rome.

“Ini adalah isu politik, bukan persoalan tentang undang-undang, sebaliknya percubaan untuk memburuk-burukkan nama kerajaan ini dan nama saya. Saya tahu kenapa… sebab saya sentiasa tegas dengan pengubahan wang haram.

“Siapa jua yang melanggar undang-undang, kami tak peduli siapa mereka, kami akan ambil tindakan. Kami tak peduli sama ada mereka putera raja atau papa kedana. Itu pendirian kami.

“Tetapi, mereka berjaya menimbulkan kekeliruan dalam minda rakyat kononnya undang-undang ini menidakkan hak orang Melayu dan Raja-Raja. Ini sama sekali mengarut. Mereka tak mungkin datang dan menyingkirkan Raja kita sebab ada tentera yang mungkin telah menembak seseorang. Itu tidak boleh dilakukan,” katanya.

Dalam perkara ini, menurut Dr Mahathir, Yang di-Pertuan Agong bukanlah seorang eksekutif atau ketua negara, sebaliknya baginda bertindak atas nasihat perdana menteri.

“Memanglah, mereka boleh datang dan ambil tindakan ke atas saya. Tetapi untuk apa? Adakah saya akan bunuh orang? Adakah saya akan menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu?

“Sayalah yang paling membantu orang Melayu lebih daripada sesiapapun sehinggalah saya dikenali sebagai ‘Ultra Malay’. Tetapi kini mereka cuba merosakkan imej itu demi memajukan kerjaya politik mereka,” katanya.

Sungguhpun ada pihak beranggapan mereka boleh mencuri tanpa dikenakan sebarang tindakan sekiranya kerajaan tidak menandatangani statut itu, Dr Mahathir berkata kerajaan tetap akan mengambil tindakan ke atas sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang tanpa mengira siapa mereka.

Ketika ditanya kenapa beliau begitu marah berhubung perkara itu, Dr Mahathir berkata: “Saya melihat ini sebagai satu cara untuk menconteng arang di muka saya, sebab mereka tahu mereka tidak boleh senang-senang menyingkirkan saya, jadi mereka perlu mencemarkan nama baik saya.

“Sama seperti dulu semasa saya dipanggil Maha Zalim tetapi mereka terima saya sebagai pemimpin mereka.

“Perkara ini berlaku dalam politik, tetapi saya dapati percubaan tertentu ini untuk mendapatkan pembabitan Raja-Raja, untuk mencari pengaruh, supaya Raja-Raja menandatangani sesuatu bagi menentang saya. Dalam hubungan ini, saya fikir saya perlu cakap terus terang… bahawa mereka tidak boleh melakukannya.

“Bukan sebab kami takut kepada mereka, tetapi sebab mereka menggunakan politik ini ke atas orang yang jahil,” katanya. – Baca lanjut sumber Malaysiakini

KLIK BACA: TH Darurat Macam Isteri Nak Bersalin – Zeti & Khairuddin

KLIK BACA: Bersihkan bilik penjara Sg Buloh, penghuni baru mungkin masuk, seloroh Anwar

KLIK BACA: Kejayaan terbesar PH heret ‘perompak’ negara ke mahkamah, kata Anwar

KLIK BACA: 3 April Najib dilantik PM, 3 April Najib didakwa pecah amanah jenayah

KLIK BACA: “Ada klepto berserban jadi imam, ahli syurga berduyun-duyun pergi ke SPRM” – Rafidah

KLIK BACA: Cukai LHDN RM1.5b, Tun Mahathir mahu mufliskan Najib?

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share