Proton X70 berjaya mencatatkan nombor pendaftaran yang memberangsangkan, dengan 2,979 unit telah didaftarkan pada Mac 2019, menjadikannya kenderaan utiliti sukan (SUV) paling laris untuk bulan tersebut dan SUV paling popular secara keseluruhan untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini, menurut Proton Holdings Bhd.

Pengeluar kereta nasional itu berkata ia telah menerima lebih 25,000 tempahan untuk X70 sekali gus, menjadikannya model Proton paling popular pada 2019.

Katanya jumlah keseluruhan industri (TIV) meningkat 11.8 peratus tahun ke tahun pada Mac, dan syarikat telah mengatasi pasaran dengan peningkatan pendaftaran sebanyak 46.1 peratus, bersamaan dengan kadar pertumbuhan hampir empat kali lebih tinggi daripada keseluruhan industri.

“Bagi tempoh tiga bulan pertama 2019, angka kumulatif adalah 43.5 peratus, atau lebih daripada enam kali bilangan TIV sebanyak 6.7 peratus.
“Kedudukan keseluruhan jualan Proton merupakan yang paling hadapan berbanding jenama pesaing lain bagi bulan itu dan suku pertama 2019,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Dr Li Chunrong berkata pencapaian itu berdasarkan pembukaan cawangan 3S/4S (khidmat jualan, servis, alat ganti serta ketuk dan cat), kualiti produk yang meningkat dan tumpuan kepada perkhidmatan pelanggan.

“Dengan pelancaran pelbagai lagi model oleh syarikat pada tahun ini, Proton yakin pelaburannya dalam perniagaan akan terus memberi kelebihan kepada pertumbuhan jualan.

“Dengan jumlah penyerahan Proton X70 yang meningkat, kami berharap dapat mengurangkan masa menunggu pelanggan kami.

“Pada masa sama, kami berusaha untuk memastikan setiap unit yang diserahkan mempunyai tahap kualiti yang tinggi kerana matlamat kami adalah untuk SUV baharu ini menjadi kenderaan yang diberi nilai tertinggi untuk Kajian Kualiti Awal (IQS) Malaysia pada 2019,” kata Li dalam kenyataan. – Bernama

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share