Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dinasihatkan supaya tidak memperlekehkan rakyat dan melayan mereka seperti orang bodoh.

Tun Daim Zainuddin mengakui kegembiraan hasil kemenangan pilihan raya umum ke-14 semakin pudar, pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) itu berkata, perasaan itu kini digantikan dengan perasaan tidak puas hati yang semakin banyak.

“Saya yakin dengan rakyat. Mereka lebih pandai daripada sangkaan anda.

“Jika anda jujur, mereka akan faham. Jangan pandang mudah rakyat. Rakyat tidak suka kalau anda layan mereka seperti orang bodoh,” katanya dalam temu bual dengan akhbar Sunday Star.

Berkenaan pencapaian kerajaan PH, bekas menteri kewangan itu berkata, lebih penting ialah bagaimana rakyat menilai prestasi mereka.

“Pakatan perlu fokus pada kekuatannya, iaitu komitmen pada demokrasi dan janji untuk memperkuat institusi perlembagaan kita,” katanya.

Dalam temu bual 90 minit itu, ketika ditanya jika wujud masalah dari sudut perkongsian kuasa dan kebolehan menteri yang dilantik menganggotai Kabinet, Daim berkata, “PH masih di peringkat umur kanak-kanak”.

Berkenaan calon menggantikan Dr Mahathr Mohamad sebagai perdana menteri, Daim berkata, “individu yang mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen”.

“Perkara ini telah diputuskan. Saya tidak faham kenapa ia terus dibangkitkan.

“Ada beberapa pihak yang suka mengambil peluang di atas ketidakstabilan. Mari kita tumpukan perhatian kepada ekonomi, sekali gus menyelesaikan isu yang akan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia,” jelasnya.

Daim turut berkata, tidak ada salahnya jika sebuah parti politik mahu bekerjasama dengan parti politik yang lain.

“Tetapi masalah akan timbul sekiranya anda berkata kerjasama anda adalah bagi memperjuangkan kaum atau agama tertentu.”

Daim berkata, politik perkauman tidaklah semakin memecahbelahkan, sebaliknya politik kini semakin berpecah mengikut garis perkauman.

“Ia mungkin bermula sebagai satu bentuk “permainan” yang dimainkan oleh ahli politik untuk mendapat sokongan, tetapi akan tiba ketikanya apabila ahli politik tidak berupaya mengawal emosi dan tindakan penyokong mereka.

“Ahli politik akan membangkitkan semangat mereka sehingga ia meluap-luap, akan tetapi apabila ia tidak dapat dikawal, mereka (ahli politik) akan berlepas tangan. Negara rugi, rakyat akan menderita akibatnya,”

Katanya, Malaysia merupakan sebuah negara pelbagai kaum dan agama.

“Kita tidak boleh lari daripada kenyataan ini. Malaysia dibangunkan dengan darah, peluh dan air mata semua kaum yang bekerja bersama-sama,” tegasnya.

KLIK BACA: Cukai LHDN RM1.5b, Tun Mahathir mahu mufliskan Najib?

KLIK BACA: Najib jawab kerajaan berkuasa tuntut seberapa banyak cukai mereka mahu 

KLIK BACA: Najib bergembiralah dengan media sosial, lambat laun ke penjara.

KLIK BACA: Umno gagal dapat wang RM116 juta dirampas polis di kediaman Najib

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share