Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan Putrajaya mengenai kontrak sosial yang dipersetujui semasa pembentukan negara di mana hak Melayu dan kuasa Raja-Raja Melayu tidak boleh dikurangkan.

JOHOR BAHRU – Tindakan kerajaan sejak kebelakangan ini yang dilihat cuba menyertai beberapa aturan konvensyen antarabangsa ditegah keras Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Perkara itu adalah termasuk cubaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Kaedah Perlembagaan Statut Rom, baru-baru ini.

Sultan Ibrahim dalam titahnya memaklumkan, tindakan yang mahu dilakukan kerajaan itu juga adalah bercanggah dengan perlembagaan persekutuan.

“Tindakan kerajaan persekutuan yang mahu meratifikasi ICERD dan ingin menandatangani Statut Rom adalah satu tindakan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana ia menyentuh kuasa Raja-Raja, keistimewaan orang Melayu dan kemuliaan agama Islam di negara ini.

“Kerajaan haruslah ingat tentang kontrak sosial dalam sejarah pembentukan Persekutuan Tanah Melayu dahulu, di mana keistimewaan orang Melayu dan kuasa yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu tidak boleh disentuh dan dikurangkan,” titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika istiadat Hari Keputeraan Sultan Johor yang mana titahnya turut dikongsi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail menerusi laman twitternya, hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah, pihaknya juga mahu mengingatkan kepada kerajaan supaya tidak terus mengikut apa jua konvensyen antarabangsa hanya untuk mendapatkan pengiktirafan orang luar.

“Akhirnya nanti ia (tindakan tersebut) hanya akan memusnahkan kedaulatan negara dan menggugat kesejahteraan hidup rakyat sendiri,” titahnya.

Sebelum itu, Sultan Ibrahim turut berkongsi serba sedikit mengenai pentingnya institusi diraja dipelihara selain kedudukannya dalam menjaga masyarakat di negara ini.

“Negeri Johor adalah sebuah negeri yang merdeka dan berdaulat, lebih awal daripada Persekutuan Tanah Melayu atau pun Malaysia. Kedaulatan itu bermakna Johor mempunyai hak dan kuasa dalam melaksanakan perkara- perkara yang diperuntukkan oleh perlembagaan negeri dan persekutuan.

“Oleh itu, saya sebagai raja dan pemerintah utama negeri mempunyai hak dan kuasa ke atas kerajaan saya, dan memikul tanggungjawab untuk menjaga Johor dan rakyat yang bernaung di dalamnya. Kuasa negeri terhadap agama Islam, sumber air, hutan dan tanah tidak perlu dipersoalkan lagi,” titahnya.

Baginda bertitah, sebagai raja dan pemerintah negeri pula, dirinya mempunyai keistimewaan yang termaktub dalam undang-undang selain bertanggungjawab menjaga kesucian agama Islam sebagai agama negeri dan keistimewaan orang Melayu sebagai Bumiputera.

“Mana-mana pihak yang telah menyentuh hak dan kuasa raja atau kerajaan negeri adalah melanggar undang-undang negara dan boleh dianggap sebagai penderhaka,” titahnya. – Sinar Harian

KLIK BACA: Hadi dipanggil SPRM kes cek 1.4 juta bayar Clare

KLIK BACA: Tony AirAsia punca MAS rugi, kata Tan Sri Abdul Rahman

KLIK BACA: Rakyat mula tutup TV bila Tun M bersiaran, sama seperti NajibK

KLIK BACA: Mahkamah batal saman Umno mahu wang RM116 juta dirampas polis di kediaman Najib

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share