40 orang disahkan terbunuh dalam insiden tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand, lapor CNN memetik Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern pada Jumaat.

Dalam kejadian tersebut sekurang-kurangnya dua lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang di dua masjid di Christchurch.

Saksi menyifatkan terdapat banyak darah dan beberapa kematian. Difahamkan bahawa insiden tembakan itu berlaku di sekurang-kurangnya enam lokasi berbeza.

Menurut laporan, seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di dalam Masjid Al Noor yang penuh dengan jemaah di pusat bandar Christchurch semasa waktu solat Jumaat.

Pasukan kriket Bangladesh hampir memasuki masjid itu ketika insiden tembakan berlaku, jadi mereka berjaya menyelamatkan diri.

Media tempatan turut melaporkan satu lagi insiden tembakan berlaku di sebuah masjid di pinggir bandar Christchurch.

Pasukan polis bersenjata telah dikerah menjaga lokasi terbabit dan memburu penembak.

Polis berkata mereka telah menahan seorang suspek dan masih memburu yang lain.

Perdana Menteri Jacinda Ardern bercakap kepada orang ramai pada pukul 4 petang waktu tempatan.

Beliau berkata “ini adalah antara momen paling gelap dalam sejarah New Zealand. Ingatan dan doa saya bersama Christchurch.”

“Ia adalah satu keganasan yang tidak pernah berlaku di New Zealand. Tiada tempat untuk keganasan melampau seperti itu di New Zealand,” kata Ardern.

Pesuruhjaya polis New Zealand, Mike Bush menggesa orang ramai agar tidak mengunjungi mana-mana masjid hari ini.

“Saya mengarahkan agar sesiapa yang berfikir untuk pergi ke masjid malam ni, agar membatalkan niat anda, tutup pintu rumah anda sehingga kami benarkan,” kata Bush yang dipetik oleh New Zealand Herald.

Polis New Zealand juga dikerah menutup bandar Christchurch susulan insiden tembakan berkenaan.

“Polis bertindak balas menggunakan keupayaan sepenuhnya untuk mengawal keadaan, namun risikonya masih terlalu tinggi kerana kami percaya ada penembak yang masih bebas,” kata polis dalam satu kenyataan.

Difahamkan, Masjid Al Noor salah satu lokasi kejadian, sesak dengan jemaah yang datang untuk solat Jumaat, termasuk pasukan kriket Bangladesh.

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share