JERANTUT – Detik cemas buat seorang pemandu jengkaut selepas seekor ular sawa menyusur masuk ke bawah jenteranya di Kampung Ulu Teh, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, Musliadi Md. Yusuf, 33, warga Indonesia itu mengambil risiko mengalihkan reptilia sepanjang hampir enam meter itu.

Menurutnya, ketika kejadian dia sedang mengendalikan jengkaut untuk membersihkan kawasan pinggir hutan setelah diarahkan oleh tuan tanah.

“Tiba-tiba seekor ular sawa yang besar keluar dari celah batu dan menuju ke arah bawah jengkaut.

“Saya terus undurkan jentera terbabit untuk mengelakkan sebarang insiden atau sebarang risiko,” katanya lagi.

Ujarnya, itu adalah kejadian kali pertama dia berdepan dengan reptilia sebesar itu namun lega kerana tidak berlaku sebarang insiden tidak diingini.

“Saya sudah bekerja di kawasan hutan dan semak hampir 14 tahun namun ini kali pertama saya melihat ular sawa yang besar dan panjang,” jelasnya.

Tambahnya, dia telah mengalihkan reptilia berkenaan menggunakan jengkaut supaya kembali ke hutan.

“Semasa saya mengalihnya, ular sawa itu mengeluarkan satu duri landak dari mulut dan saya mengambil untuk menyimpannya,” katanya.

Musliadi memberitahu, dia sudah melihat pelbagai jenis ular sebelum ini dan hanya membunuh spesis berbisa seperti tedung sahaja. – Sinar Harian

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share