Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat. – Foto The Malaysian Insight

Tabung Haji (TH) terpaksa mengambil masa yang lama untuk membuat laporan polis berhubung skandal kewangan melanda agensi berkenaan sejak 2014 lagi kerana perlu meneliti kes itu secara mendalam terlebih dahulu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat berkata, pihaknya perlu memastikan maklumat penyiasatan sebelum berpuas hati dan membuat laporan polis.

“Kami membuat laporan polis pada 30 November lalu selepas berpuas hati terhadap semua laporan diterima,” katanya seperti dilapor Harian Metro hari ini.

Zukri berkata demikian pada sidang media Pemulihan Status Kewangan TH Menerusi Special Purpose Vehicle (SPV) atau Syarikat Tujuan Khas di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Risiko, Audit dan Tadbir Urus, Datuk Zaiton Mohd Hassan dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kewangan Kumpulan TH, Mustakim Mohamad.

TH sebelum ini dilaporkan membuat dua laporan polis terhadap bekas Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah serta empat pegawai pengurusan kanannya.

Pegawai kanan TH yang dinamakan dalam laporan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) itu ialah Ketua Pegawai Operasi (COO) Datuk Adi Azuan; Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Datuk Rozaida Omar; Penasihat Undang-Undang, Hazlina Mohd Khalid serta Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Hartanah, Rifina Md Ariff.

Laporan pertama membabitkan dana Program Yayasan Tabung Haji 2017, apabila sejumlah RM22 juta dikeluarkan untuk pembiayaan aktiviti yang mempunyai kecenderungan politik dan bertentangan dengan Memorandum dan Artikel Persatuan Yayasan Tabung Haji (YTH).

Ketika itu, Abdul Azeez, Ismee, Johan, Adi dan Rozaida adalah Pemegang Amanah YTH.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa memperkukuhkan skandal kewangan TH apabila mendedahkan hasil siasatan dan audit syarikat juruaudit bebas, PrincewaterhouseCoopers(PwC) mendapati pemberian hibah kepada pendepositnya sejak 2014 dikatakan bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995 sehingga menyebabkan agensi itu mengalami defisit RM4.1 bilion.

PwC mendapati akaun TH diaudit berakhir 31 Disember 2017 merekodkan aset keseluruhan RM70.3 bilion, sedangkan liabiliti ialah RM74.4 bilion, menunjukkan defisit sebanyak RM4.1 bilion.

Ditanya mengenai sama ada TH akan melakukan tindakan undang-undang terhadap Lembaga Pengarah lama, Zukri berkata, hal berkenaan akan diserahkan kepada peguam mereka.

Mengulas mengenai pembayaran dividen, beliau memberi jaminan bahawa ia tidak akan menjejaskan pendeposit dan akan tetap dibayar mengikut keuntungan, namun belum ditentukan lagi.

Mengenai spekulasi pengeluaran secara besar-besar dalam kalangan pendeposit, berhubung pendedahan TH itu, katanya ia tidak berlaku, sebaliknya ada 170 pendeposit membuka akaun baharu dengan TH pada hari ini.

Malah, beliau turut memberi jaminan kepada pendeposit bahawa isu berkenaan tidak akan menjejaskan operasi mengerjakan ibadat Haji tahun hadapan.

Tahun lalu secara purata, ia membabitkan kos RM20,000 seorang.

Pada sidang akhbar itu, Zukri turut memberitahu, penyata kewangan TH diaudit oleh Jabatan Audit Negara, bukannya PwC kerana PwC hanya melakukan ulasan kedudukan kewangan.

“PwC hanya menilai kedudukan kewangan kami selepas diaudit Jabatan Audit Negara,” katanya.

Zukri juga menafikan laporan bahawa pelan pemulihan SPV, disyorkan juruaudit swasta, sebaliknya menegaskan ia adalah langkah yang dimulakan oleh lembaga dan pengurusan TH.

“Pelan itu juga diluluskan dan disahkan oleh kerajaan,” katanya.

KLIK BACA: Anwar: Skandal Tabung Haji pengurusan ‘bodoh’ goblok kata Jawa

KLIK BACA: Tabung Haji pun dinoda, apa jenis manusia – Kadir Jasin penasihat media PM Dr Mahathir

KLIK BACA: Arul Kanda ditangkap SPRM, didakwa bersama Najib esok pagi

DIKEMASKINI: Baca penjelasan terperinci skandal TH yang cuba ditutup?

KLIK BACA: Dusuki syor Tun M taubat kerana sebut Malaikat buat silap.

KLIK BACA: Siapa Saadatul Nafisah ‘wanita berani’ dalam kes ubah laporan Audit 1MDB

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share