Keadaan tangan mangsa yang berjaya dikeluarkan. Gambar kecil, Siti Jauriah.

SEGAMAT- Tanda tanya seorang anak mengenai kegagalan menghubungi ibunya selama tiga hari terjawab setelah wanita itu ditemukan terbaring dalam tandas dengan tangan kirinya tersepit di lubang saliran air, selepas jatuh di bilik mandi itu.

Yazid Haron, 50, berkata, ibunya, Siti Jauriah A Ghani, 70, gagal dihubungi sejak Ahad lalu menyebabkan dia dan sembilan adik-beradik yang lain mulai risau.

Bagaimanapun, setelah semua panggilan daripada 10 anaknya tidak dijawab, Yazid kemudian nekad untuk menjenguk sendiri ibunya di kediamannya di Bukit Siput, di sini.

“Pada awalnya, kami adik beradik fikir positif mungkin mak tak sempat angkat telefon sebab sibuk. Bagaimanapun, selepas keesokannya, panggilan dah tak masuk, kami fikir telefon mak kehabisan bateri.

“Tetapi, apabila sampai hari Selasa pun masih gagal dihubungi, saya dah mula berasa bimbang sebelum memutuskan untuk ziarah mak keesokan harinya (hari ini),” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, ujar Yazid, dia dan isteri serta anaknya terkejut apabila melihat ibunya terbaring dalam tandas dengan keadaan lemah selain tangan kiri tersepit di lubang saliran.

“Kami terperanjat lihat mak. Mak sangat-sangat tak berdaya ketika itu. Malah, keadaan tubuhnya juga dah sejuk dan lemah sebab tak makan beberapa hari.

“Saya masih ingat wajah mak yang seperti hilang harapan kerana memikirkan kedaan dirinya seorang diri dan pastinya tiada siapa akan tahu. Namun syukur, ALLAH gerakkan hati saya dan keluarga untuk datang jenguk mak. Muka mak memang lega sangat bila lihat ada juga anak dia datang akhirnya,” katanya.

Yazid yang merupakan anak kedua itu berkata, dia kemudiannya bergegas menghubungi ambulans dan sembilan adik-beradik yang lain bagi memaklumkan perkara itu.

“Sebaik ambulans tiba, mereka cuba keluarkan tangan mak menggunakan pelbagai alatan namun gagal sebelum menghubungi pihak bomba pula. Bomba kemudiannya memerlukan masa lebih kurang sejam untuk keluarkan tangan mak.

“Saya lihat ada luka-luka di lengan kiri mak kerana tersepit. Sebaik selesai, mak terus dihantar ke Hospital Segamat untuk rawatan lanjut. Setakat ini, pihak hospital maklumkan keadaan mak stabil dan hanya mengalami kecederaan ringan di lengan sahaja. Namun, tubuh mak sangat lemah dan perlukan rehat secukupnya,” katanya.

Yazid berkata, terakhir kali mereka sekeluarga berkumpul bersama ibunya adalah pada hari Ahad lalu ketika salah seorang adiknya yang menetap di Johor Bahru pulang bersama keluarga untuk bercuti.

“Memandangkan kedudukan rumah saya dengan mak tidak jauh iaitu hanya di kampung bersebelahan, jadi saya kerap juga jenguk mak selang beberapa hari. Bukan kami tak ajak mak tinggal bersama. Dah banyak kali pujuk, namun dia lebih selesa tinggal di kediamannya dan kerana itulah sebelum ini, saya akan jenguk mak setiap kali berkelapangan,” ujarnya.

Terdahulu, ketua operasi dari Balai Bomba Bandar Baru Segamat, Pegawai Bomba Kanan II, Wahim Abd Rahman berkata, dia dan tujuh anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan jam 9.23 pagi.

Menurut beliau, bomba terpaksa memecahkan lantai di sekitar lubang air untuk mengeluarkan tangan mangsa. – Sinar Harian

KLIK BACA: Kenapa Najib, Hisham tak tahu akibat perang Yaman basah darah Islam, soal Raja Bahrin

KLIK BACA: Dulu PAS bela Najib dan Umno, terlepas peluang bela TH, MARA dan Felda – Raja Bahrin

KLIK BACA: Mahathir gagal tadbir Malaysia, kata Jho Low selepas didakwa gubah wang haram RM4 bilion

KLIK BACA: Rafizi: Terbukti, saya sanggup ke penjara kerana Tabung Haji

KLIK BACA: Razak Baginda lindungi Najib dalam kes Altantuya kenapa, soal peguam Americk Sidhu

KLIK BACA: Najib bantai PH, Petronas dijarah

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share