Senator Raja Bahrin Shah menggesa Najib Razak dan sepupunya Hishammuddin Hussein berterus terang berkenaan isu perang Yaman yang melibatkan Saudi dan Malaysia. – Foto KiniTV

oleh Raja Bahrin Shah

Kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong, semasa menjawab soalan di Parlimen semalam bahawa Malaysia terlibat dengan Operasi “Ops Yaman 2” tanpa kelulusan kabinet amat mengejutkan.

Ia melibatkan operasi logistik sementara “Ops Yaman 1” yang hanya melibatkan operasi evakuasi kemanusiaan memindahkan rakyat Malaysia keluar dari Yaman dibawa ke Kabinet.

Dua operasi Ops 1 yang merupakan operasi pemindahan rakyat secara kemanusiaan, dan Ops 2 yang melibatkan pengangkutan alat ketenteraan termasuk peluru dan bahan letupan- bom, untuk pasukan Bersekutu Arab Saudi menyerang Yaman jauh berbeza.

Ops 2 tidak mendapat kelulusan Kabinet dan rakyat Malaysia yang tidak tahu wajib diberitahu kerana ia melibatkan pengangkutan alat serta bahan perang yang boleh dan telah pun membunuh ramai rakyat awam Yaman.

Mengapa Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein dan juga Najib Razak sebagai perdana menteri, ketika itu, yang mustahil tidak tahu tentang hal ini, menyembunyi perkara ini dari rakyat Malaysia dan kabinet isu ini?

Hampir dua tahun saya menimbulkan persoalan di parlimen adakah tentera Malaysia terlibat dengan sekutu Arab Saudi dalam operasi menyerang Yaman di mana kerajaan menafikannya setiap kali saya bertanya.

Kenapakah menteri pertahanan dan perdana menteri menyembunyi dan tidak berterus terang dalam isu ini?

Adakah perdana menteri terlalu terhutang budi kepada keluarga di Raja Arab Saudi kerana derma lumayan yang beliau sendiri akui diberi kepada beliau?

Berbagai bahan bukti saya bawa ke Parlimen termasuklah laporan tebal yang disediakan untuk Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) yang beberapa kali menyebut nama Malaysia dalam laporan tersebut.

Laporan mendakwa Malaysia bersama dengan negara Barat lain – Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan Arab Saudi terlibat di “command centre” untuk perang Yaman di sebuah ibu pejabat operasi di Riyadh.

Laporan juga menyebut beberapa soalan telah diajukan kepada Malaysia bersama dengan negara lain yang terlibat perang Yaman.

Laporan tersebut menyatakan “jenayah perang” mungkin telah berlaku kerana banyak sasaran orang awam seperti sekolah, hospital, pasar awam dan dewan orang ramai telah diserang dan dibom dengan kejam.

Perlu diingat sebagai pembekal logistik kepada sekutu Arab Saudi, yang termasuk peluru dan bahan letupan yang melibatkan bom, Malaysia terlibat dan bersubahat dalam pembunuhan beramai-ramai rakyat awam Yaman yang tidak bersalah.

Seperti pembekal dadah yang boleh dikenakan hukum mati, Malaysia sebagai pembekal bahan pembunuhan seperti peluru dan bahan letupan-bom untuk serangan Yaman, Malaysia juga memikul beban kesalahan serta dosa yang besar oleh kerajaan BN dahulu.

Manakah suara lain di Parlimen yang mendakwa pejuang Islam tentang isu Yaman selama ini? Adakah mereka bersetuju dengan pendekatan kerajaan Najib juga dalam isu Yaman?

Basah dengan darah Islam Yaman

Tindakan ini samalah seperti kita sering menuduh Amerika Syarikat membekal senjata, peluru dan bom kepada Israel untuk membunuh rakyat awam Islam Palestin. Kalau tangan Amerika basah dengan darah Islam Palestin, tangan kerajaan BN pula basah dengan darah Islam Yaman yang tua dan juga anak-anak sekolah.

Perbezaannya ialah rakyat Amerika tahu mereka terlibat di Palestin tetapi rakyat Malaysia tidak tahu langsung kita terlibat dan bersubahat besar dalam pembunuhan ribuan anak kecil dan orang tua awam Islam di Yaman.

Bukan itu sahaja, serangan sekutu Arab Saudi menyebabkan penyakit serius seperti kolera merebak luas di Yaman melibatkan jutaan rakyat.

Kebuluran serius melibatkan jutaan rakyat juga berlaku di Yaman hari ini.

PBB telah mengumumkan ini adalah “famine” – kebuluran terbesar yang paling dahshat yang berlaku di dunia hari ini.

Kerajaan Malaysia telah memanggil balik semua anggota tentera kita yang terlibat dengan OPS 2 yang berada di Arab Saudi setelah Pakatan Harapan menjadi kerajaan.

Malaysia patut membuat persediaan menghantar bantuan kemanusiaan ke Yaman sebaik sahaja keadaan mengizinkan untuk membantu dan menebus dosa kekejaman yang Malaysia telah bersubahat dan terlibat melalui kerajaan terdahulu tanpa pengetahuan rakyat Malaysia.

Itulah sekurang kurang yang patut kita lakukan bagi menebus kesilapan pembabitan negara kita tampa pengetahuan dan restu rakyat semua.

DATUK RAJA BAHRIN SHAH ialah pemimpin Amanah, timbalan menteri di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, juga senator dari Terengganu. Tulisan ini tidak semestinya mewakili pendirian MalaysiaStyloNews.

KLIK BACA: Mahathir gagal tadbir Malaysia, kata Jho Low selepas didakwa gubah wang haram RM4 bilion

KLIK BACA: Dulu PAS bela Najib dan Umno, terlepas peluang bela TH, MARA dan Felda – Raja Bahrin

KLIK BACA: Rafizi: Terbukti, saya sanggup ke penjara kerana Tabung Haji

KLIK BACA: Jho Low kaya raya kini hidup macam TIKUS – Dr Mahathir

KLIK BACA: Razak Baginda lindungi Najib dalam kes Altantuya kenapa, soal peguam Americk Sidhu

KLIK BACA: Najib bantai PH, Petronas dijarah

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share