Seorang jemaah Malaysia yang sedang menunaikan umrah dilaporkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Raudhah, Masjid Nabawi jam 9 malam waktu tempatan.

Siti Faridah Ahmad, 64, dari Taman Permatang Katong, Kota Kuala Muda yang bertolak pada 24 November lalu masih berbaki empat hari lagi untuk pulang ke tanah air dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur jam 12 tengah hari, 5 Disember ini.

Namun, perjalanan umrahnya kali ini sangat istimewa kerana dijemput Ilahi untuk bersemadi di Kota Suci Madinah.

Mutawif Fadlim Travel, Nurulaswar Nasron berkata, allahyarhamah Siti Faridah dalam keadaan baik dan sihat sebelum kejadian selain sempat berkumpul dan merakamkan gambar kenangan bersama beliau dan jemaah lain 15 minit sebelum kejadian.

“Allahyarhamah terjatuh ketika dalam langkahnya menuju ke Raudhah iaitu Satu ruangan dalam Masjid Nabawi yang dijadikan pusat tumpuan jemaah untuk berdoa selain berdekatan dengan makam Rasulullah SAW,” katanya.

“Mangsa dibawa ke Hospital Al-Ansar di Madinah untuk dirawat namun disahkan meninggal dunia,” katanya.

Menurut Nurulaswar, maklumat kematian dimaklumkan kepada Kedutaan Malaysia bagi memperoleh surat kebenaran untuk urusan pengebumian selain memaklumkan ahli keluarga yang berada di Kota Kuala Muda, Kedah.

Menurutnya, beliau dan agensi bersyukur apabila urusan pengebumian berjalan lancar dan diuruskan pihak pengurusan Masjid Nabawi.

“Arwah disemadikan di Baqi yang terletak bersebelah Masjid Nabawi selepas solat Zohor ini,” katanya.

Raudhah adalah ruang dalam Masjid Nabawi yang menjadi tumpuan umat Islam seluruh dunia berdoa dan dikatakan antara tempat paling mustajab untuk berdoa.

Bersebelahan Raudhah terdapat makam Nabi Muhammad SAW dan dua sahabat nabi iaitu Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar Al Khatab.

Mak siap kelengkapan nak meninggal di tanah haram

“Kalau mak meninggal, mak dah siapkan semua kelengkapan mak, ambil ja dalam beg ni, telekung semua mak dah siap,”

Demikian pesanan Siti Faridah Ahmad, 64, jemaah umrah yang meninggal dunia di Madinah awal pagi tadi kepada anaknya, Noor Hashimah Sabdin, 33.

Menurut Noor Hashimah, arwah yang sudah 12 kali menunaikan umrah pernah memasang niat untuk meninggal dunia di Mekah atau Madinah, membolehkan dia berusaha berkunjung ke tanah suci saban tahun jika diberi kesempatan.

“Itu yang mak pesan kat anak-anak, dia siap dah kelengkapan semua.

“Mak juga pernah kata kat kawan dia, kalau boleh dia nak meninggal dunia di Mekah atau Madinah, bila dapat tau berita kematian ini, maka termakbullah hajat mak,” katanya.

Menurut Noor Hashimah, berita kematian disampaikan mutawif yang mengendalikan perjalanan umrah yang disertai Siti Faridah pada jam 3.35 pagi tadi waktu Malaysia, lima minit selepas arwah disahkan meninggal dunia.

“Seluruh ahli keluarga bersedih tapi jauh di sudut hati rasa amat bersyukur sebab mak dijemput Ilahi di tempat paling suci iaitu semasa dalam perjalanan menuju ke Raudhah, Masjid Nabawi.

“Mak pesan pada abang (anak sulung) sebelum bertolak supaya jaga adik-adik, kami semua lima beradik dan adik bongsu dah meninggal dunia pada 2014. Arwah ayah pun dah meninggal tiga tahun lepas, sejak itu, saya duduk dengan mak.

“Bila arwah mak tiada, rasa sangat kehilangan, kami tahu dia pergi umrah macam biasa, macam tahun-tahun lepas, tetapi tahun ini berbeza sekali, dia pergi buat selama-lamanya. Moga Allah terima mak, terima segala amalan mak, Insha-ALLAH,” katanya.

Menurut Noor Hashimah, antara kenangan paling manis, arwah ibunya sempat menghantar kiriman gambar dirinya buat kali terakhir pada pagi sebelum arwah meninggal dunia.

“Raudhah tu taman-taman syurga, depa kata mak jatuh masa melangkah ke Raudhah, anak-anak mak doakan, mak kini sedang melangkah ke syurga, Insha-ALLAh,” katanya.

Nurul Aswar (kanan) sempat merakamkan gambar kenangan bersama jemaah yang dikendalikannya termasuk arwah Siti Faridah (dua kiri) 15 minit sebelum kejadian.

Kematian Mak Lang dicemburui umat Islam seluruh dunia

Pemergiannya turut dirasai mutawif yang menguruskan jenazah arwah, Nurul Aswar Nasron [gambar atas], yang berkongsi pengalaman menakjubkan kerana berpeluang menguruskan jenazah wanita yang dikatakan suka bersedekah sepanjang hayatnya.

Menurut Nurul Aswar, Siti Faridah yang lebih mesra dipanggil Mak Lang dikenali sebagai seorang yang lembut tutur bicaranya.

“Tinggal lah Mak Lang di sini bersama lebih 100,000 para syuhada dan sahabat Nabi, berbahagialah Mak Lang. Esok, kami semua akan berangkat pulang ke Malaysia menyambung perjalanan hidup kami yang masih berbaki.

“Kisah Mak Lang pasti akan membuatkan air mata kami mengalir,” coretnya.

Menurutnya, biarpun perlu melalui pelbagai prosedur termasuk mendapatkan kebenaran rasmi dari waris, dokumen pengesahan pihak berkuasa, permit kubur dan pelbagai urusan lain, akhirnya proses pengebumian di Perkuburan Baki mendapat keizinan kerajaan Arab Saudi melalui pengurusan Masjid Nabawi.

“Alhamdulillah, proses pengurusan jenazah Allahyarhamah Mak Lang Hajah Faridah lancar, walaupun banyak prosedur yang perlu dilakukan, namun ianya memberi pengalaman yang sangat berharga.

“Bila dah dapat surat dari balai polis, terus ke Masjid Bir Ali (tempat miqat) untuk tujuan pengecaman jenazah, Alhamdulillah selepas itu ambulans membawa jenazah ke Masjid Nabawi untuk dimandi dan disolatkan,”katanya.

Menurut Nurul Aswar, perjalanan pulang ke Malaysia esok sudah pasti dirasakan amat berat serta suatu kehilangan besar bagi 46 jemaah kumpulan itu kerana terpaksa meninggalkan Mak Lang bersama ‘kekasih ALLAH’ yang lain di pusara indah yang sudah tertulis buatnya. – Sumber ihsan Sinar Harian

KLIK BACA: Rafizi: Terbukti, saya sanggup ke penjara kerana Tabung Haji

KLIK BACA: Tabung Haji palsukan akaun, dana kurang 4 bilion dari 64 bilion yang dideposit

KLIK BACA: Jho Low kaya raya kini hidup macam TIKUS – Dr Mahathir

KLIK BACA: Razak Baginda lindungi Najib dalam kes Altantuya kenapa, soal peguam Americk Sidhu

KLIK BACA: Wahai Tun Mahathir, maafkanlah Najib dan Rosmah berdamailah

KLIK BACA: Najib bantai PH, Petronas dijarah

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share