Bera Madiran and Siti Munah Damin meninggal bersama ketika tidur di rumah mereka di Kampung Chokro, Simpang Renggam. – Foto SPMJ

KLUANG 1 November: Imam Masjid Jamek Simpang Renggam, dekat sini, dan isterinya meninggal dunia ketika sedang tidur di Kampung Chokro, Simpang Renggam, awal pagi tadi.

Bera Madiran, 78, yang menghidap diabetes dan isterinya, Siti Munah Damin, 66, menghidap kanser limfoma disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5 pagi.

Anak sulung pasangan berkenaan, Mohamad Farid, 50, berkata ibu bapanya disedari meninggal dunia oleh adik bongsu perempuannya yang tidur bersama di bilik mereka.

“Biasanya ayah akan bangun awal bersiap untuk mengimamkan solat Subuh di masjid, namun pagi tadi ayah tidak bangun seperti biasa menyebabkan adik perempuan saya mengejutkannya.

“Namun ayah tidak bergerak sebelum adik kemudian mengejutkan ibu tetapi tiada juga maklum balas menyebabkan adik kemudian memanggil kami (anak yang lain).

“Kami kemudian menelefon talian kecemasan sebelum pegawai perubatan yang datang mengesahkan ibu bapa kami sudah meninggal dunia.

“Walaupun kami terkejut kerana ayah dan ibu pergi serentak bersama ketika tidur, kami adik beradik reda dengan pemergian mereka berdua,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya hari ini.

Mohamad Farid berkata, timbul salah faham dalam laporan awal yang tular menyatakan ayah dan ibunya meninggal selang dua jam.

“Sebenarnya mereka berdua meninggal bersama ketika sedang tidur. Ayah dan ibu juga tidak menunjukkan perbezaan tingkah laku, malah ayah sempat menghadiri jemputan kenduri cukur jambul malam tadi.

“Ayah juga kelihatan ceria dan seronok melayan cucunya bermain apabila pulang dari kenduri malam tadi,” katanya.

Mohamad Farid berkata, ayahnya sudah lebih 20 tahun menjadi Imam Masjid Jamek Simpang Renggam selepas bersara sebagai guru agama di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Renggam.

“Ayah dan ibu kami adalah pasangan bahagia yang penyabar dalam mendidik sembilan anaknya.

“Ayah juga sering berpesan supaya kami sembilan beradik sentiasa menjaga tingkah laku, malah pernah menyatakan jika umurnya tidak panjang, kami adik beradik perlu terus saling menyayangi dan menjaga perhubungan kami,” katanya.

Jenazah suami isteri itu dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Sungai Berumbung, dekat sini, kira-kira jam 10.30 pagi tadi. – Sumber ihsan BeritaHarian

KLIK BACA: Seleweng dana YTH untuk orang miskin bagi tujuan politik, Tabung Haji lapor polis

KLIK BACA: Jho Low kaya raya kini hidup macam TIKUS – Dr Mahathir

KLIK BACA: Razak Baginda lindungi Najib dalam kes Altantuya kenapa, soal peguam Americk Sidhu

KLIK BACA: ‘Datuk Seri’ Dr Dzulkefly sombongnya tiada kompromi hisap rokok

KLIK BACA: Wahai Tun Mahathir, maafkanlah Najib dan Rosmah berdamailah

KLIK BACA: Najib bantai PH, Petronas dijarah

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share