Isu akhbar Utusan yang merupakan lidah Umno menghentam Najib Razak berkenaan derma Arab Saudi dikaitkan pula dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. – Foto Free Malaysia Today

oleh Shahbudin Husin

Agak mengejutkan sebenarnya apabila Utusan, sebuah akhbar milik UMNO, tiba-tiba membalun Najib Razak dengan menggelarnya sebagai pembohong berkaitan dana RM2.6 bilion

Melalui ruangan pojok Awang Selamat, akhbar itu menggunakan interbiu bekas Perdana Menteri bersama Al-Jazeera baru-baru ini sebagai asas serangannya di mana beliau mendedahkan tidak tahu sumber sebenar wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya itu.

Kata Awang Selamat, pengakuan Najib itu membuatkan rakyat dan ahli UMNO tertipu kerana selama ini mereka diberikan penjelasan bahawa ia adalah derma daripada Arab Saudi.

Tambah tulisan akhbar itu lagi, adalah tidak masuk akal Najib tidak mengetahui sumber sebenar wang dalam jumlah yang besar itu, lebih-lebih lagi setelah pendedahan demi pendedahan yang menjuruskan wang itu sebetulnyandatang daripada Tanore Finance Corporation.

Tanore Finance adalah sebuah firma milik Jho Low bersam Eric Tan Kim Loong.

Sehubungan itu, Awang Selamat menggesa Najib agar memohon maaf kepada semua ahli UMNO kerana pembohongan itulah yang telah menghilangkan keyakinan rakyat sehingga akhirnya BN kalah dalam PRU14 yang lalu.

Walaupun Utusan dikira terlewat menyedari Najib telah berbohong, sedangkan media sosial dan media alternatif telah lama menyedarinya, bahkan mendedahkannya secara berterusan sehingga BN kecundang ditolak rakyat, sekurang-kurangnya kini semakin ramai sedar siapa Najib yang sebenarnya.

Cuma, sebagai akhbar milik UMNO, serangan serta balunan Utusan terhadap Najib ini adalah sesuatu yang mengejut serta memeranjatkan.

Tambahan lagi, meskipun tidak lagi mengetuai UMNO dan kerajaan, tetapi Najib masih lagi setia bersama parti itu, malah hubungan beliau dengan Presiden UMNO, Zahid Hamidi juga dikira masih baik.

Realitinya Utusan adalah milik UMNO, cuma penerajunya saja yang berubah setelah Najib kalah. Sebelum ini, Pengerusi Eksekutif Utusan ialah Fatmi Che Salleh, bekas Setiausaha Politik Najib sendiri, manakala Ketua Pengarangnya ialah Aziz Ishak.

Sebaik Zahid Hamidi mengambil alih teraju UMNO, beliau telah menukar peneraju Utusan dengan meletakkan rakan karibnya, bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Aziz Sheikh Fadzir sebagai Pengerusi Eksekutif, sementara jawatan Ketua Pengarang yang ditinggalkan oleh Aziz masih lagi belum diisi.

Dengan serangan Utusan terhadap Najib tempohari dan mungkin bertambah lagi di masa-masa akan datang, ramai yang kini tertanya-tanya kenapa akhbar itu tiba-tiba bertindak seperti telah melupakan segala jasa bekas Perdana Menteri itu?

Adakah ia isyarat bahawa Utusan akan mula menjauhi Najib yang nampaknya semakin aktif membela diri sendiri dan menyerang Pakatan Harapan kebelakangan ini?

Apakah pendirian Utusan ini merupakan arahan daripada Zahid Hamidi yang tidak mahu Najib terus menonjol dan membayangi penampilannya sebagai peneraju UMNO dan Ketua Pembangkang?

Adakah ini juga bermakna bahawa Utusan selepas ini hanya akan memberi ruang dan sokongan kepada Zahid Hamidi saja untuk mengetuai serangan terhadap Pakatan Harapan, manakala Najib akan ditenggelamkan dengan pelbagai serangan dan balunan yang berterusan?.

*Shahbudin Husin adalah penulis buku kritik politik terkenal. Tulisan adalah pendapat peribadi beliau.

DIKEMASKINI: Rosmah ke mahkamah – periksa barang kemas permata merah jambu dibayar Jho Low

KLIK BACA: Khairuddin lepas geram pada Najib bercakap macam tok imam masjid

KLIK BACA: Najib sejak awal lagi anda sudah berbohong, cukup-cukuplah itu…

KLIK BACA: Kesal, Najib tidak dengar nasihat Tun Mahathir

KLIK BACA: Nazri sangka Tun Mahathir cuma mahu cari wang 1MDB?

MESTI BACA: Altantuya video pendedahan terbaru Deepak: Kenapa Najib bercakap seperti hakim?

KLIK BACA: Beri Melayu lesen jual arak – Zaid Ibrahim bengong!

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share