Dr Mahathir menafikan Zahid Hamidi yang pernah menghina beliau sebagai keturunan ‘Kutty’ didakwa atas alasan balas dendam. – Foto FMT

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyelar pihak yang mendakwa pertuduhan ke atas Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bermotifkan politik.

Dr Mahathir mencabar pihak yang membuat dakwaan berkenaan menunjukkan bukti bahawa 45 tuduhan terhadap Zahid itu adalah rekaan kerajaan.

Dr Mahathir menegaskan bahwa dakwaan ke atas Zahid dibuat oleh peguam negara Tommy Thomas berdasarkan bukti.

“Tunjukkan bukti katanya dia (Zahid) tak buat salah dan 45 pertuduhan ni adalah rekaan kita. Tunjuk pada kita dengan bukti, dokumen mesti ada, barulah boleh tuduh kita sengaja nak ambil tindak balas,” katanya.

“Dia (peguam negara) bukan orang politik. Dia orang luar. Dia tak boleh buat tuduhan melainkan ada bukti. Dan bukti tu mesti diterima di mahkamah.

“Kalau tak ada bukti, pergi mahkamah, (peguam Zahid) Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah boleh menang selalu,” katanya dalam program yang dianjurkan Sinar Harian hari ini di Shah Alam, Selangor.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, 65, mengaku tidak bersalah atas 45 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Bekas Timbalan Perdana Menteri didakwa atas 10 pertuduhan pecah amanah dan lapan tuduhan menerima suapan berjumlah RM42,083,132.99 manakala bagi pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72,063,618.15.

Zahid didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA) 2001.

Zahid didakwa sebagai suatu ejen iaitu pemegang amanah Yayasan Akal Budi melakukan pecah amanah wang berjumlah RM20,833,128 milik yayasan itu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad cawangan Jalan Bunus No 133 Jalan Bunus off Jalan Masjid India, di sini antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Zahid juga didakwa secara rasuah menerima suapan daripada tiga syarikat berbeza iaitu Syarikat Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Syarikat Data Sonic Group Berhad dan Syarikat Profound Radiance Sdn Bhd.

Ia didakwa sebagai dorongan untuk dirinya seorang Pegawai Badan Awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membantu Syarikat Mastoro, Syarikat Data Sonic dan Syarikat Profound mendapatkan projek MyEG.

Ia bagi melaksanakan penambahan pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polycarbonate Pasport Malaysia untuk Jabatan Imigresen Malaysia, sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal di bawah kendalian KDN.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a) (b) ASPRM 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zahid juga berhadapan 27 pertuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi aktiviti haram antara 2016 sehingga 2018.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut AMLATFPUA yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

KLIK BACA: Shafee: Kami dianiaya Najib Rosmah didakwa guna CD

KLIK BACA: Rosmah didakwa atas pertuduhan jenayah bukan balas dendam, kata PM Dr Mahathir

KLIK BACA: Rakyat tak kesian Rosmah, kata Tan Sri Zainuddin

KLIK BACA: Azeez Rahim – Ditangkap SPRM, saya bayar harga tinggi demi Umno

KLIK BACA: Derma RM2.6 bilion – Najib agak-agaklah kalau nak reka cerita dongeng

KLIK BACA: Rekod pemimpin PAS bebas rasuah pecah, Hadi nak kata apa?

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share