Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), Tun Daim Zainuddin, mendedahkan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) adalah hasil manipulasi terhadap laporan dalaman daripada kumpulan pemikir UMNO serta pengorbanan komponen PH demi negara.

Beliau berkata, berdasarkan kajian dan laporan yang beliau terima daripada kumpulan pemikir UMNO, mereka berkeyakinan yang parti itu dan Barisan Nasional (BN) akan tewas pada PRU-14.

Walaupun begitu, beliau mengakui kemenangan PH turut dipengaruhi faktor lain termasuk sikap bongkak dan biadab pemimpin UMNO serta parti komponen BN yang menyerang Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berkempen, yang mana ia tidak disukai rakyat.

“Saya memang orang lama dan sudah lama dalam dunia politik, dunia perniagaan. Ada ramai kawan. Sebelum PRU 2018 saya bertemu dengan UMNO, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PKR serta terima banyak laporan.

“Saya sendiri dapat laporan daripada UMNO mengatakan mereka akan kalah. Masa kempen pun mereka beritahu akan kalah. Ini orang UMNO. ‘Think tank’ mereka masa kempen pun beritahu mereka akan kalah.

“Ini orang UMNO kerana kita ada kawan ramai. Saya sebelum itu ada juga nasihat bekas PM berjaga-jaga akan kalah. Sebabnya banyak. Bezanya itu saja. Kita tahu akan kalah.

“Mereka (UMNO) juga sombong sekali. Kalau dalam adat kita, mereka biadab juga dan kita tidak boleh terima. Mereka terlebih yakin. MCA juga biadab. Mereka kata ‘undi biru tua, jangan undi orang tua’. Rakyat Malaysia tidak boleh terima ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam rancangan Soal Rakyat terbitan TV3, malam tadi dengan Tan Sri Johan Jaafar dan Mustapha Kamil Mohd Janor bertindak sebagai moderator.

Daim berkata, menyedari perkara itu, beliau kemudian merancang dua strategi bagi menumbangkan BN iaitu dengan mewujudkan kepercayaan kepada rakyat bahawa MCA dan MIC sudah tidak relevan serta menyerang FELDA yang menjadi ‘simpanan tetap’ BN.

“Kita ada dua strategi dan paling penting masa (melaksanakan) mesti tepat. Maka mereka minta saya buat satu wawancara dengan Nanyang Siang Pow. Dengan cara itu kita ‘musnahkan’ MCA dan MIC dulu sebagai sudah tidak relevan. Selepas itu tumpu kepada UMNO.

“UMNO ketika itu bongkak, dia ingat mesti menang kerana ada isu, ada jentera, ada figura dan penyandang. Saya bincang dan kita kata, Dr Mahathir mesti menjadi ketua dan orang Melayu mesti terima dan orang bandar juga tidak ada masalah.

“Kita buat strategi dan Sabah kita jangan kacau. Biarkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sana. Lepas itu kita tumpu kawasan kita boleh menang, yang penting FELDA. FELDA dia (BN) punya ‘simpanan tetap’. Kalau kita pecahkan ‘simpanan tetap’, mereka tidak ada apalah,” katanya.

Daim turut mendedahkan beliau mengadakan perbincangan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Penjara Sungai Buloh mengenai rancangan menumbangkan BN.

“Hendak jumpa Anwar susah. Yang dibenarkan jumpa hanya ahli keluarga atau peguam. Maka, untuk atasi masalah ini saya jadi peguam balik. Dengan cara ini saya dapat masuk di (Penjara) Sungai Buloh dan jumpa Anwar.

“Saya jumpa dan berbincang sebanyak enam kali. Selepas itu saya tidak dibenarkan. Bila tidak dibenarkan, saya tulis surat kepada Perdana Menteri dan tanya mengapa tidak boleh berjumpa kerana saya peguam.

“Sudah tentu mereka ada laporan tertentu maka saya tidak dibenarkan masuk. Tidak mengapalah sebab kami dah bincang. Yang perlu dibincang masalah ketika itu ialah masalah politik,” katanya.

Beliau turut menghargai pengorbanan DAP yang sanggup tidak menggunakan logo parti mereka pada PRU-14 bagi menunjukkan mereka sedia berkorban untuk negara.

“Bila orang tengok DAP sanggup berkorban, itu penting menunjukkan mereka bukan perkauman sebaliknya pentingkan negara. Lihat DAP bersedia berkorban, MCA sanggup atau tidak? Tidak sanggup, ini cara kita main.

“DAP dulu orang Melayu tidak boleh terima, tapi bila datang kepentingan negara dia sanggup berkorban. Tidak guna simbol dia, itu pengorbanan,” katanya. – Sumber Berita Harian

Petikan wawancara Tun Daim di bawah:

S: Banyak sekali cerita ‘menyeramkan’ daripada syarikat-syarikat GLC, adakah PM sendiri terperanjat dengan penemuan MPK?

J: Daripada segi prestasi kewangan, memang terperanjat, cerita-cerita yang kita dengar (sebelum ini) tidak betul.

S: Adakah Perdana Menteri membuat rumusan punca kelemahan itu?

J: Semua, daripada tatacara pengurusan, kewangan, ramai yang letak jawatan, itu ini semuanya. Saya bagi laporan kepada PM dan kita ada buat kajian terhadap Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), FELDA, MARA dan semua yang pernah MPK panggil sebelum ini.

S: Penipuan, salah guna kuasa, rasuah dan segalanya yang berlaku, mengapa ia boleh berlaku sedangkan kita ada sistem, semak dan imbang?

J: Kita mula dari atas. Kalau bapa tidak baik, anak pun sama. Sejak dulu saya berpendapat, PM tidak boleh menjadi Menteri Kewangan, kerana akan menjadi terlampau berkuasa. Bila jadi Menteri Kewangan, ‘there’s no check and balance’, tiada pemantauan dalam tadbir urus . Kita tengok dalam 1MDB. PM sebelum ini jadi Pengerusi 1MDB. Dalam artikel 117 M&A (Memorandum Pertubuhan), tiap-tiap keputusan mesti diputuskan oleh PM.

Jadi, tiada semak dan imbang sebab dia adalah PM dan Menteri Kewangan, Kabinet tidak akan berani. Apabila disoal, macam Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal, kena buang. Jadi, tiada semak dan imbang. Kalau kita tengok kontrak dengan negara China, saya tidak mahu jawab, tapi kita akan buktikan semua.

S: Kuasa pada seseorang pemimpin, adakah ia perkara biasa dalam semua kerajaan. Yang tertinggi ada kuasa mutlak?

J: Jika seseorang pemimpin itu ada moral yang tinggi, dia mesti ingat, dia dipilih rakyat dan tanggungjawab adalah kepada rakyat. Tapi pada akhirnya, jika tamak haloba menguasai diri, anda lihat apa yang berlaku pada negara Filipina contohnya, apa jadi? Di Afrika, lebih teruk. Bila hanya seorang saja yang berkuasa, meskipun dilantik menerusi demokrasi, bila sudah menguasai semua dan tiada semak dan imbang, dan tiada siapa yang sanggup mencabar untuk mengatakan sesuatu itu tidak boleh dilakukan, masalah akan tetap berlaku.

Kita tengok sekarang, di rumah, ada juta-juta wang tunai walaupun hanya pegawai kerajaan. Ia tidak berlaku sebelum ini. Bila dia tengok kepala buat macam tu, yang bawah semua turun (ikut). Pada malam kalah (PRU-14), itu pengawal keselamatan yang kaut duit kerajaan. Mereka lupa ada rakaman CCTV, kena tangkap semua.

Baru-baru ini, yang skandal perisik luar negara, RM48 juta, ia bukan cerita betul, kalau dengar yang betul, lagi marah. Rakyat akan tertanya macam mana perkara itu boleh berlaku, sedangkan pelakunya berbangsa Melayu, beragama Islam.

Di mana pelajaran kita mengenai Islam dan nilai moral? Apa sudah jadi kepada kita? Ia seolah-olah menghancurkan masyarakat kita. Ia adalah serius dan habis merosakkan semua. Masa PRU, KSU (Ketua Setiausaha) pun berkempen, ada yang secara terbuka, Apa sudah jadi?

S: Rasuah yang berlaku di sana sini, tetapi ‘skill’ (kemahiran) yang berlaku sebelum PRU cukup memeranjatkan?

J: Ya. ada sesetengah institusi dah bankrap jika kerajaan tidak tolong memang habis. Benda ini ada permulaan moral. Sebenarnya, ia dikatakan bermula pada 2004, apabila PM Datuk Seri Najib Razak ambil alih, ia menjadi lebih teruk. Bila ia bermula tetapi tidak dihentikan, ia menjadi semakin teruk,

S: Salah satu skandal paling besar berlaku di negara ini ialah 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Pada pandangan Tun, mengapa skandal 1MDB boleh berlaku sehingga ke skala yang sedemikian hebat?

J: Jho Low katanya tak terbabit. Itu cerita dia. Kita ada keterangan, kita ada bukti. Sekarang, Pakatan Harapan ambil alih, mereka yang terbabit sanggup jadi saksi dan mereka cerita apa yang berlaku.

Kontrak-kontrak… mereka yang ambil bahagian sanggup jadi saksi sekarang, mengatakan apa yang sebenar berlaku. Sekarang, tak usah tipulah. Kita dah dapat bukti semua. Cuma kontrak, apabila bilateral (dua hala) dengan Singapura, China, jadi kita kena sedikit sensitif.

Selain kontrak ini, banyak lagi perhubungan kita, pelaburan dan sebagainya kena jaga. Yang penting pada mereka jangan buka (dedahkan). Tadi duta datang jumpa saya bertanya beberapa perkara. Saya kata tak apa, kita kawan. Sebagai kawan, kita perbetulkan yang silap supaya kedua-dua pihak senang bekerjasama selepas ini. Mereka pun faham.

1MDB ini, selain YB Tony Pua, sayalah yang mula. Saya persoal mengapa wang itu simpan di Cayman Island, bawa pulanglah. Tak jawab, kerajaan diam. Jho Low memang. ‘He is the mastermind’ (Dia adalah dalangnya).

Dia yang buat ini semua, dengan Arab dan sebagainya. Sekarang kita siasat belum habis. Setiap hari saya dapat cerita baharu yang mengejutkan. Jho Low terbabit di sana, sini, dia hubungkan dengan Abu Dhabi, dengan Arab Saudi. Selepas itu Amerika Syarikat, Australia, Hong Kong, Singapura, Switzerland. Hubungan ini satu dunia tahu. Kalau dengar CNN, BBC, malah berita China semua keluar berita utama. Afrika pun tahu.

Cuma di Malaysia saja tak tahu. Dalam Parlimen tak boleh cakap. Tiada keikhlasan dan ketelusan. Akhirnya orang tahu juga. Apa guna tipu. Orang Malaysia sekarang boleh dapat berita dari luar negara, tapi mereka masih nak tutup, dengan harapan kalau BN menang pilihan raya yang lalu, memang tutuplah (skandal 1MDB). Tapi rakyat berani, berpendirian (bahawa) kerajaan ini mesti kita buang.

Kita ucap tahniah pada rakyat kerana berani. Tanpa rakyat, masihlah kita menderita. Jho Low sampai sekarang dia masih terbabit. Bila Tun Mahathir nak hantar saya ke China, Jho Low ‘provoke’.

Dia nak bercakap dengan saya, saya tak mahu. Bila telefon, saya suruh wakil saya cakap. Dia kata, dia boleh tolong. Sebelum tu, saya tanya dia, sidang media pertama apabila saya jadi Pengerusi MPK, saya kata kalau Jho Low betul tidak bersalah, baliklah. Malam itu dia telefon.

S: Apakah pengakhiran bagi skandal ini. Pendakwaan akan berlaku, tetapi rakyat merasakan letih dengan 1MDB. Selepas ini apa akan berlaku?

J: Kita akan ambil tindakan. Seperti saya katakan tadi, sebelum ini fail ditutup. Sekarang kita mula balik. SPRM kata baru 60 peratus siap. Tapi, kenyataan di sini dah ambil, cuma dari luar negara saja.

Tunggu masa. Nak buat itu mesti ada MLE (mutual legal exchange atau pertukaran maklumat perundangan) . Sebelum ini, bekas Peguam Negara tak mahu. Switzerland datang, dia tak mahu. Sekarang baru nak mula balik, jadi perlu masa. Tapi, untuk kita, ‘money trail’ sudah cukup. Kita tahu siapa dapat dan sebagainya. Itu mereka tak boleh lari.

S: Kita banyak bercakap mengenai masalah yang berlaku sebelum ini, dan akhir-akhir ini pengumuman hutang sudah mencecah RM1 trilion dan sebagainya. Tidakkah Tun rasa ini menyebabkan kerisauan dalam kalangan pelabur kerana ada tuduhan kita terlalu menumpukan pada aspek pendedahan?

J: Mereka ini semua berniaga di sini. Sewaktu mereka masuk, dia ingat keadaan seperti mana yang dikatakan (kerajaan terdahulu). Kalau boleh, mereka nak kita tutup (isu ini) supaya ‘share’ (saham) masing-masing kekal. Tapi kerajaan hari ini sanggup berterus-terang. Mereka tidak mahu lagi ada korupsi (rasuah) dan ingin laksanakan reformasi. Kenapa golongan ini tidak mahu? Sebelum ini kata korupsi itu tidak baik.

Apabila kita menentang korupsi habis-habisan, mereka kata jangan beritahu, simpan maklumat ini, rahsia. Jadi ‘double standard’ (pilih kasih). Jika mahu ketelusan, kita teruskan. Kerajaan ini sampai selamanya tidak akan ada lagi korupsi. Kita akan laksanakan reformasi dan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan mahkamah.

Masing-masing bebas supaya rakyat percaya apabila mereka buat aduan, tindakan akan diambil secara adil. Itu yang penting dan itu yang kita mahu. Di akhirnya, kerajaan ini mahu keadilan serta reformasi. Kita juga mahu Parlimen bebas supaya wakil rakyat boleh bersuara. Media juga mesti bebas dan rakyat juga perlu bebas.

S: Bagaimanakah sentimen pelabur ketika ini selepas mendapat penjelasan daripada Tun?

J: Mereka percaya. Ketika agensi penarafan datang bertemu, saya tanya apa mereka mahu. Mahu kita tipu? Kita boleh tipu, kalau itu yang mereka mahu. Tapi lebih baik berterus-terang supaya senang mereka kaji dan yang lain boleh putuskan sama ada nak melabur atau tidak. Jika datang ke negara ini, semuanya telus. Sembunyi buat apa, esok-esok terkejut. Jangan. Mereka faham.

Sekarang Perdana Menteri nak pergi ke Amerika Syarikat dan England. Mereka semua nak jumpa dan dengar reformasi dan perkara lain yang kerajaan nak laksanakan. Jangan sembunyi fakta. Kita perlu tunjukkan keadaan sebenar, kita tak mahu tipu.

S: Apa langkah selanjutnya bagi mengelak daripada perkara ini berlaku lagi?

J: Pertama, nak 100 peratus sempurna memang tak boleh. Hanya Allah yang sempurna. Tapi, daripada sekolah kita mesti ajar. Sebab itu sebelum ini, Perdana Menteri mahu jadi Menteri Pendidikan. Pada peringkat sekolah perlu dipastikan subjek yang diajar itu adalah pendidikan yang betul. Nilainya mesti ada, khususnya orang Melayu dan Islam. Perdana Menteri panggil ulama, saya juga panggil mufti dan sebagainya.

Saya kata, tak perlu ajar banyak, cukup ajar al-Fatihah. Faham tak al-Fatihah? Jalan yang lurus, akan bawa kejayaan. Jika terpesong, lingkuplah. Allah dah beritahu menerusi surah pertama dalam al-Quran. Apakah jalan yang lurus untuk berjaya? Tak boleh rasuah, tipu orang, bekerja kuat, amanah, baru boleh berjaya. Ajar anak-anak kita ini. Apa makna bismillahirrahmanirrahim. Itu yang penting.

Apa makna iqra’. Kenapa Allah suruh iqra’ (baca). Ilmu. Ini yang penting dan mahu diajar oleh Perdana Menteri. Kita mesti tukar dasar pendidikan negara. Bagi orang Melayu faham dan tahu apa yang betul. Kalau boleh ajar sedari kecil, ini nilai yang penting. – Sumber Berita Harian

KLIK BACA: Jho Low telefon Daim tak layan, kerajaan tahu money trail 1MDB

KLIK BACA: Rekod pemimpin PAS bebas rasuah pecah, Hadi nak kata apa?

DIKEMASKINI: Hubungan Anwar Mahathir pepat diluar runcing di dalam – ZAM

KLIK BACA: SPRM siasat Hishammuddin mungkin terima wang kes ketua perisik

TERKINI: Najib bakal jadi PM semula ulang sejarah Tun Mahathir

KLIK BACA: Kenapa Najib atau kerajaan BN buat ‘perjanjian bodoh’ dengan China dan Singapura? – Datuk Kadir Jasin

KLIK BACA: Mahathir masuk PAS – Hadi oh Hadi, masalahnya Najib masih bersama Umno!

KLIK BACA: Rahim: Jho Low ranapkan kerjaya Perdana Menteri

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share