Lim Guan Eng, mendakwa Najib Razak, memfitnah kerajaan Pakatan Harapan dalam isu wang bayaran balik cukai GST. – Foto Free Malaysia Today

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga bekas Menteri Kewangan, masih lagi mengungkit isu Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM42.2 bilion setakat 31 Disember 2017 tetapi gagal menyatakan dana itu cuma tinggal RM11.86 bilion di dalam Akaun Hasil Disatukan.

Katanya, pembayaran dan pemindahan wang kerajaan hanya boleh dibuat atau digunakan daripada Akaun Hasil Disatukan dan dengan ini, cuma RM11.86 bilion dalam Akaun Hasil Disatukan saja boleh dipindahkan ke Tabung Bayaran Balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan Tabung Bayaran Balik Cukai.

“Bagaimanapun, RM11.86 bilion itu tidak dipindahkan ke Tabung Bayaran Balik Cukai. Jumlah bayaran balik GST dan bayaran balik cukai setakat 31 Mei lalu seperti yang diumumkan sebelum ini adalah RM35.4 bilion.

“Menurut dasar Kerajaan Persekutuan, semua pungutan yang diterima hendaklah disimpan dalam satu kumpulan wang dikenali sebagai Kumpulan Wang Disatukan.

“Jumlah dana yang disimpan dalam kumpulan wang ini adalah kepunyaan tiga akaun berbeza iaitu Akaun Hasil Disatukan, Akaun Pinjaman Disatukan dan Akaun Amanah Disatukan yang diselenggara oleh Akauntan Negara,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan, hari ini.

Guan Eng berkata, Najib seharusnya faham iaitu hanya jumlah yang ada dalam Akaun Hasil Disatukan boleh digunakan untuk bayaran balik GST dan bayaran balik cukai.

“Apabila kerajaan PH mengambil alih pentadbiran pusat pada 9 Mei lalu, kedudukan kewangan dalam Kumpulan Wang Disatukan yang belum diaudit setakat 30 April lalu adalah RM35.5 bilion dan daripada jumlah ini, cuma RM450 juta dalam Akaun Hasil Disatukan belum diaudit.

“Dengan kata lain, baki yang tinggal adalah RM11.86 bilion setakat 31 Disember 2017 dalam Akaun Hasil Disatukan merosot kepada RM450 juta setakat 30 April lalu.

“Ini juga menunjukkan, Akaun Hasil Disatukan menyusut dengan mendadak sebanyak RM11.41 bilion dalam masa empat bulan,” katanya.

Guan Eng turut mendesak Najib menjawab mengapa jumlah itu merosot mendadak sebanyak RM11.41 bilion atau 96 peratus dalam Akaun Hasil Disatukan dari 31 Disember 2017 hingga 30 April lalu.

“Bagaimanapun, beliau terus memfitnah kerajaan PH menyalahgunakan RM42.2 bilion yang beliau dakwa ditinggalkan kepada kerajaan PH pada 31 Disember 2017 sedangkan beliaulah sebenarnya yang meninggalkan RM450 juta sahaja untuk digunakan pada 30 April lalu.

“Walaupun kerajaan sudah memberikan percutian cukai berkuat kuasa 1 Jun lalu, kedudukan kewangan Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Persekutuan yang belum diaudit bertambah baik kepada RM59.9 bilion setakat 31 Julai lalu,” katanya.

Guan Eng juga menjelaskan bahawa, jumlah Akaun Hasil Disatukan yang belum diaudit juga menunjukkan baki lebih tinggi iaitu RM3.81 bilion daripada RM450 juta setakat 30 April lalu.

“Peningkatan dalam Akaun Hasil Disatukan yang belum diaudit kepada RM3.81 bilion pada 31 Julai lalu adalah penambahbaikan 8.5 kali ganda, yang diterajui PH berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN) setakat 30 April lalu.

“Oleh itu, adalah tidak benar kerajaan PH menyalahgunakan dana Kumpulan Wang Disatukan yang diwarisi daripada kerajaan BN seperti yang didakwa oleh beliau,” tegasnya.

KLIK BACA: Rekod pemimpin PAS bebas rasuah pecah, Hadi nak kata apa?

DIKEMASKINI: Hubungan Anwar Mahathir pepat diluar runcing di dalam – ZAM

DIKEMASKINI: Hishamudin jawab Anwar, aku tak ambil pot siapa jadi PM!!!

KLIK BACA: SPRM siasat Hishammuddin mungkin terima wang kes ketua perisik

TERKINI: Najib bakal jadi PM semula ulang sejarah Tun Mahathir

KLIK BACA: Kenapa Najib atau kerajaan BN buat ‘perjanjian bodoh’ dengan China dan Singapura? – Datuk Kadir Jasin

KLIK BACA: Mahathir masuk PAS – Hadi oh Hadi, masalahnya Najib masih bersama Umno!

KLIK BACA: Rahim: Jho Low ranapkan kerjaya Perdana Menteri

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share