17 pengawal keselamatan ditahan SPRM kes wang RM3.5 juta hilang dari pejabat perdana menteri Najib Razak. – Foto Malaysiakini BM

oleh Shahbudin Husin

Ini betul-betul suatu kejadian pelik dan ganjil yang barangkali tidak pernah berlaku di mana-mana negara lain di dunia ini.

Selain pelik dan ganjil, orang juga mungkin hairan mengapa ia berlaku di Pejabat Perdana Menteri – suatu premis yang tidak sepatutnya kejadian seperti itu boleh berlaku.

Pada malam 9 Mei lalu di mana BN tewas pada malam tersebut, sekumpulan 17 pengawal keselamatan di Pejabat Perdana Menteri telah memasuki pejabat Najib Razak dan dipercayai mencuri wang RM3.5 juta yang dipercayai merupakan sebahagian daripada dana pilihanraya umum ke-13.

Mereka didakwa menyapu kesemua wang yang ditemui itu dan membahagi-bahagikannya sesama sendiri.

Kesemua suspek kini ditahan reman untuk penyiasatan berikutan pihak berkuasa mula mengesannya apabila mendapati mereka mula menayang kemewahan selepas pilihanraya umum lalu.

Daripada mereka juga dirampas wang berjumlah RM840,700 serta 9 motorsikal bernilai RM90,000.

Selain kejadian ini umpama kata pepatah – harapkan pagar, pagar makan padi – lebih daripada itu ia juga memberi maksud yang lebih mendalam lagi jika dikaitkan dengan pelbagai dakwaan yang berlaku kepada Najib selama ini.

Sejak meletusnya skandal 1MDB dan di dalam akaun bank peribadinya disahkan ada wang berjumlah RM2,600 juta, Najib seringkali dituduh sebagai pencuri, khususnya oleh Tun Mahathir Mohamad.

Meskipun Najib mengatakan wang tersebut merupakan derma, hakikatnya sukar untuk sesiapa mempercayainya, malah kata Tun Mahathir – orang Arab gila pun tak akan menderma sebanyak itu.

Lantaran itu, selain Najib gagal membuktikan siapa yang didakwanya menderma wang itu kepadanya, menjelang PRU14 lalu di mana beliau akhirnya kecundang dan hilang kuasa, tuduhan yang mengaitkan beliau sebagai pencuri adalah paling popular dan telah bergema di seluruh pelusuk negara.

Tidak dinafikan bahawa skandal 1MDB dan kaitan Najib dengan wang yang ditemui dalam akaun bank peribadinya yang dianggap sebagai wang curi adalah penyumbang utama kepada kekalahan BN dalam pilihanraya lalu.

Rakyat dan pengundi secara umumnya tidak rela berterusan mempunyai seorang Perdana Menteri yang dikaitkan dengan dakwaan mencuri, lebih-lebih apabila Tun Mahathir berulang-ulang menyebutnya secara terbuka.

Apabila berlaku kejadian 17 pengawal keselamatan mencuri wang di pejabat Najib, persoalan yang tentu bermain di fikiran ramai ialah mengapakah mereka tergerak hati untuk melakukan perbuatan itu?

Bagaimana mereka tahu ada wang yang banyak di pejabat Najib?

Adakah mereka melakukannya kerana percaya wang yang dicuri itu juga adalah wang curi?

Aduhhh….

*Shahbudin Husin adalah penulis buku kritik politik terkenal. Tulisan adalah pendapat peribadi yang pertama kali disiar di blognya beliau tidak semestinya mewakili pendirian MalaysianReview.

KLIK BACA: Najib – Saya boleh pertahan diri sendiri Umno tak perlu

KLIK BACA: Pegawai Kastam marah Najib bocor maklumat cincin berlian Rosmah, kata bekas KP SPRM

KLIK BACA: Tun Mahathir: Kapal Equanimity Jho Low beli guna duit curi 1MDB kini milik kita

KLIK BACA: Umno malu takut singkir Najib, terimalah padahnya, kata Rahim Tamby Chik

KLIK BACA: Zahid jawab Johari, kalau sahabat dulu kaya skrg miskin [Najib], jangan pijak kepala

KLIK BACA: Doa nasihat untuk Najib dan Rosmah yang serba tak tahu – Ana Ghoib

KLIK BACA: Perbicaraan Najib catat sejarah prosiding jenayah paling besar di Malaysia – Kadir Jasin

KLIK BACA: Mahathir marah projek kereta letrik gagal, kata Najib

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share