Calon Presiden Umno Zahid Hamidi sewaktu berkuasa paling kuat mempertahankan perdana menteri Najib Razak yang terpalit skandal kewangan 1MDB.  – Foto The Malaysian Insight

oleh Shahbudin Husin

Kemungkinan Najib Razak akan didakwa dalam waktu terdekat ini mula membimbangkan para perwakilan untuk mengundi salah seorang calon Presiden UMNO, Zahid Hamidi pada pemilihan 30 Jun ini.

Zahid yang kini memangku jawatan Presiden UMNO bakal disaingi oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin untuk mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan Najib Razak itu.

Najib bukan saja bakal berdepan pendakwaan berkaitan penyelewengan dana 1MDB, rasuah RM42 juta yang diterimanya daripada SRC International, bahkan juga mungkin tentang wang RM2,600 juta yang masuk ke akaun peribadinya.

Berkenaan wang tersebut, Najib mempertahankan ia adalah derma daripada kerabat Diraja Arab Saudi, meskipun bukti-bukti daripada penyiasat antarabangsa menunjukkan sumbernya adalah daripada dana 1MDB yang dilencongkan.

Berdasarkan penyiasatan DOJ yang kemudian didedahkan oleh WSJ, wang RM2,600 juta itu didapati dimasukkan ke akaun peribadi Najib oleh Tanore Finance Corporation yang dimiliki oleh Jho Low.

Ketika Najib mempertahankan wang tersebut merupakan derma daripada kerabat Diraja Arab Saudi, Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu adalah antara yang paling kuat mempertahan serta membela bekas Perdana Menteri yang kini sudah ditumbangkan oleh Tun Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan.

Dalam usaha meyakinkan rakyat, Zahid Hamidi pernah menyatakan beliau sudah pun bertemu dengan waris keluarga Diraja Arab Saudi yang memberikan derma itu.

Jika Najib didakwa di mahkamah berkaitan wang tersebut, mahu tidak mahu, Zahid Hamidi juga berkemungkinan akan turut dipanggil sebagai saksi atau tidak mustahil bakal didakwa sama kerana berbohong dan melindungi pertuduhan salah laku bekas Perdana Menteri.

Zahid Hamidi hanya mungkin terlepas daripada sebarang pendakwaan jika beliau dapat membuktikan siapa waris keluarga Diraja Arab Saudi yang ditemuinya itu dan wang yang diterima Najib adalah daripada sumber keluarga tersebut.

Tetapi, mampukah Zahid Hamidi menampilkan waris keluarga Diraja Arab Saudi yang ditemuinya itu, sedangkan bukti-bukti sahih daripada penyiasat antarabangsa mengesahkan wang yang dikatakan derma itu sebenarnya berpunca daripada 1MDB dan dimasukkan oleh sebuah syarikat yang dipunyai Jho Low?

Tidakkah dengan itu Zahid Hamidi juga berkemungkinan akan didakwa sama kerana berbohong dan cuba melindungi jenayah yang dilakukan Najib?

Bagaimana jika ketika apa yang mungkin berlaku kepada Zahid Hamidi itu nanti, beliau pada waktu itu adalah Presiden UMNO?

Tidakkah dengannya, selepas UMNO dimalu serta diaibkan dengan skandal yang dicipta Najib, parti sekali lagi menerima nasib yang malang dan Zahid Hamidi harus melepaskan jawatan Presiden UMNO yang disandangnya?

Kalau dalam tempoh yang tidak terlalu lama, sampai dua Presiden UMNO dihadapkan ke mahkamah, bagaimanakah parti mahu menang dalam PRU15 nanti?

Tidak dinafikan, di sebalik cakap-cakap mengenai kedudukan dan nasib yang mungkin menimpa Zahid Hamidi itu sedang hangat diperbualkan di seluruh negara di mana di samping ada yang terus yakin untuk mengundinya, mereka yang ragu-ragu dan mula berbelah hati juga semakin membesar jumlahnya.

Mereka merasakan adalah suatu pembaziran memberikan undi kepada Zahid Hamidi jika akhirnya pilihan itu akan memberi malu lagi kepada UMNO?

Cakap-cakap juga bertiup kencang bahawa kunjungan Zahid Hamidi bertemu Tun Mahathir pada penghujung Ramadan lalu sebelum pada petangnya beliau pergi ke Mekah untuk menunaikan umrah adalah untuk meminta kepastian namanya tidak disekat daripada meninggalkan negara, sama seperti yang dilakukan kerajaan kepada Najib, Rosmah dan beberapa individu yang lain yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Bukankah dengan tindakan Zahid Hamidi itu menunjukkan beliau sendiri sedar tentang kemungkinan perkara buruk juga bakal menimpanya?

Kalau sudah demikian keadaan dan kemungkinan yang ada, kenapa para perwakilan UMNO pada 30 Jun ini perlu membazirkan undi mereka? – ShahbudinHusin

KLIK BACA: Hampir pasti Muhyiddin KDN akan minta ROS batal pendaftaran Umno, kata Zahid

KLIK BACA: Kenyataan Najib salahkan polis dakwa nilai rampasan ditambah kerana dendam politik, serang keluarga? 

KLIK BACA: Rosmah, Imelda rampasan barang mewah sama, lapor akhbar Filipina

KLIK BACA: Muhyiddin: RM1 bilion jangan tunggu lama bawa ke muka pengadilan hakimi dan hukum seberat-beratnya

DIKEMASKINI: Najib jawab rampasan RM1 bilion, dakwa pernah bagi orang Mahathir 10 juta

KLIK BACA: Siasat barang dirampas, Umno tak tahu jika salah bawa dia ke muka pengadilan – Khairy

KLIK VIDEO: Barang kemas, siapa tuduh kau terimalah balasannya nanti, kata Rosmah

KLIK BACA: Shahrizat sedar diri bersara politik hanya selepas Umno hilang kuasa rupanya…

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share