Setev Shaariibuu bapa kepada Altantuya yang mati dibunuh oleh dua pegawai polis pada 2006 meminta Pejabat Peguam Negara membuka semula kes anak perempuannya itu.

Setev Shaariibuu berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Peguam Negara Tommy Thomas hari ini bagi membincangkan kemungkinan kes pembunuhan Altantuya dibuka semula.

“Saya mahu kes itu ada penutup dan kebenaran terbongkar. Matlamat mesyuarat itu ialah berbincang untuk membuka semula kes,” katanya di pejabat peguamnya, Ramkarpal Singh hari ini lapor The Malaysian Insight.

Ramkarpal berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bersetuju untuk bertemu Setev di Putrajaya esok.

Berkenaan pertemuannya dengan Dr Mahathir, Setev berkata beliau tidak pernah menyangka akan berpeluang bertemu perdana menteri itu.

“Saya tidak pernah terfikir yang perdana menteri akan mahu bertemu saya. Harapan saya besar yang kerajaan baharu di bawah Dr Mahathir akan melakukan yang terbaik untuk memberi keadilan.

“Selama ini saya berharap akan berlaku perubahan kerajaan di sini,” katanya dipetik The Malaysian Insight.

Setev berkata tujuan utamanya kembali ke Malaysia untuk mengetahui siapa sebenarnya yang mengarahkan pembunuhan anaknya.

“Banyak yang berlaku di sini. Banyak ketidakadilan dalam kerajaan Malaysia (sebelum PH). Kes ini sudah terlalu lama dan penuh dengan masalah.

“Kalau ada isu kenapa mereka tidak gari saja dia (Altantuya) dan hantar dia balik ke Mongolia. Kenapa mereka perlu bunuh dia?,” katanya.

Katanya, ini kali keenam beliau ke Malaysia dengan tujuan mencari keadilan untuk Altantuya.

Setev berkata keluarganya menanggung kesedihan yang teramat dan tidak berkesudahan atas pembunuhan anak perempuan sulungnya itu, 12 tahun lalu.

“Dengan harapan baru, saya kembali ke Malaysia untuk mencari keadilan bagi pihak anak saya.

“Altantuya yang mencari rezeki untuk keluarga kami. Dia ada dua anak lelaki dan salah seorang daripadanya kurang upaya, hanya terlantar.”

Setev berkata kerajaan terdahulu melakukan segala-galanya untuk menghalang kebenaran diketahui.

Setev juga menafikan menerima apa-apa bayaran daripada ahli politik untuk menutup kes tersebut.

Setev Shaarribuu memberitahu yang beliau tidak mahu bercakap tentang Sirul Azhar Umar, bekas pengawal peribadi yang disabit bersalah membunuh anak perempuannya pada 2006.

“Saya tak mahu cakap tentang Sirul. Paling penting adalah siapa yang mengarahkan pembunuhannya.”

Ramkarpal dilapor The Malaysian Insight berkata bahawa Sirul tidak penting sama sekali dalam kemungkinan pembukaan semula siasatan pembunuhan Altantuya.

“Terdapat bukti lain daripada prosiding jenayah itu sendiri. Saksi penting tidak dipanggil dalam prosiding itu yang menimbukan persoalan mengenai motif dan juga siapa yang mengarahkan pembunuhan itu,” katanya.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun bulan lalu memberitahu wartawan tidak ada asas untuk menyiasat semula kes itu.

Altantuya, 28, dipercayai ditembak mati sebelum mayatnya diletupkan menggunakan bahan letupan C4, yang digunakan pasukan tentera di hutan Puncak Alam, Shah Alam, pada 2006.

Mangsa dikatakan kekasih kepada Abdul Razak Baginda, penganalisis pertahanan yang juga penasihat bekas perdana menteri Najib Razak antara 2000 dan 2008 ketika menjadi menteri pertahanan.

Dua anggota polis – Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri – yang sebelum ini bertugas sebagai pengawal keselamatan Najib, didapati bersalah dalam kes itu dan dijatuhi hukuman mati pada 2015.

Razak didakwa kerana bersubahat dalam pembunuhan itu, tetapi dilepaskan oleh mahkamah.

Azilah sedang menanti hukuman di penjara Kajang, sementara Sirul ditahan di pusat tahanan imigresen Australia selepas melarikan diri ke sana sebelum hukuman dijatuhkan.

Sirul baru-baru ini menawarkan diri untuk memberi keterangan dan sebagai balasan, diberikan pengampunan, tetapi tawaran itu ditolak oleh Ramkarpal, yang juga ahli Parlimen Bukit Gelugor daripada DAP.

Malaysia sedang berunding dengan Canberra untuk penghantaran pulang Sirul bagi memberi keterangan.

Tetapi, dia dilaporkan meluahkan kebimbangan tentang keselamatan dirinya kepada rakan-rakannya jika kembali ke Malaysia.

KLIK BACA: Kes Najib berkait 1MDB hampir sempurna, kata Dr Mahathir

KLIK BACA: Perangai Anwar PM ke-8 suami Azizah dibandingkan macam Rosmah isteri Najib?

KLIK BACA: Sidek belum letak jawatan Pengerusi Petronas kenapa?

KLIK BACA: Kalah PRU kerana tambang teksi Altantuya tak siapa bayar akhirnya kantoi?

KLIK BACA: Najib orang senang, dapat benda mudah sebab kewangan okay, kata pengunjung rumah terbuka Raya

KLIK BACA: Pejabat Putrajaya ditinggalkan bersepah selepas PRU14, kata PM Dr Mahathir

KLIK BACA: Najib fikir semudah itu mahu tanggung dosa haji 1MDB?

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share