Zahid Hamidi sebagai pemimpin nombor dua ketika pilihanraya lalu yang menyebabkan BN kehilangan kuasa sepatutnya mengikut Najib Razak mengundurkan diri. – Foto Free Malaysia Today

oleh Shahbudin Husin

Suara penolakan terhadap Zahid Hamidi untuk menerajui UMNO semakin kuat kedengaran sejak kebelakangan ini.

Secara asasnya, bekas Timbalan Perdana Menteri itu langsung tidak diyakini mampu mencipta keajaiban dan membawa UMNO kepada kemenangan dalam PRU15 yang akan diadakan lima tahun akan datang.

Malah dengan keputusan Hishammuddin Hussein tidak bertanding sebarang jawatan pada pemilihan UMNO 30 Jun nanti, kelibat Zahid Hamidi tambah tidak diyakini lagi.

Jika Hishammuddin dilihat sedia memikul tanggungjawab atas kekalahan UMNO dalam PRU14 dengan tidak menawarkan diri bertanding apa-apa jawatan, Zahid Hamidi sebagai pemimpin nombor dua ketika pilihanraya lalu yang menyebabkan BN kehilangan kuasa sepatutnya menjadi pemimpin kedua selepas Najib Razak yang harus mengundurkan diri.

Oleh kerana Zahid Hamidi paling kuat membela Najib, termasuk mendakwa berjumpa dengan waris keluarga Diraja Arab Saudi yang dikatakan “menderma” RM2,600 juta kepada Najib, adanya beliau sebagai Presiden UMNO selepas ini tidak menjadian parti itu berbeza dengan sebelumnya.

Ia hanya menjadikan UMNO pimpinan Zahid Hamidi nanti terus dibayangi oleh wajah Najib yang merupakan Presiden terburuk dalam sejarah parti itu.

Lebih menambahkan ketidakyakinan ahli UMNO terhadap Zahid Hamidi ialah berikutan tindakan beliau berjumpa Tun Mahathir Mohamad yang antaranya meminta nasihat Perdana Menteri bagaimana untuk menguruskan UMNO selepas ia ditolak dalam pilihanraya baru-baru ini.

Bagaimanakah seorang bakal Presiden boleh meminta nasihat musuh politik UMNO tentang cara menguruskan parti?

Perkembangan terbaru ini dan kekurangan yang ada pada Zahid Hamidi sekaligus melonjakkan nama Tengku Razaleigh Hamzah untuk ditonjolkan bagi menerarajui UMNO.

Apa yang menarik, sokongan terhadap Ku Li ini turut melimpah datangnya daripada pemimpin-pemimpin muda dalam UMNO itu sendiri.

Kalau sebelum ini pemimpin muda dalam UMNO sering bercakap soal “peremajaan parti” dan mahu peluang diberi kepada golongan muda, mereka kini nampaknya sudah beralih kepada “penuaan parti” dengan cuba memikat seorang tua yang sudah berusia 81 tahun untuk memulihkan parti itu.

Semuanya itu berlaku kerana mereka melihat bagaimana Pakatan Harapan boleh memenangi pilihanraya, meskipun calon Perdana Menteri yang ditonjolkan sudah mencecah 93 tahun usianya.

Memang Ku Li ada ketokohan dan kewibawaan tersendiri, malah beliau beberapa cuba bertanding jawatan Presiden UMNO ketika era kepimpinan Tun Abdullah Badawi dan Najib sebelum ini.

Malangnya, semua usaha dan percubaan Ku Li itu ditolak oleh ahli UMNO sendiri dengan antara lain alasannya ialah Pak Lah dan Najib yang menerajui UMNO ketika itu lebih muda berbanding bekas Menteri Kewangan itu.

Alih-alih kini orang tua itu juga diletakkan harapan menggunung untuk membawa kemenangan.

Bukankah jika sebelum ini lagi Ku Li dijadikan Presiden UMNO, kebarangkalian BN tidak kalah dalam pilihanraya 9 Mei lalu lebih cerah?

Tetapi, semuanya sudah terlambat. Hanya setelah banyak benjolan di dahi kerana terhantuk palang di atas kepala, barulah pemimpin muda dalam UMNO sedar bahawa mereka selama ini lebih kerap berjalan dengan meninggi berbanding menunduk diri.

Kalau pun Ku Li akhirnya berjaya menerajui UMNO selepas ini, beliau sebenarnya belum tentu mampu atau berjaya mencipta kejayaan dalam pilihanraya akan datang.

Kesukaran pertama ialah kerana Najib telah menjadikan UMNO terlalu rosak sehingga ia dipandang begitu jijik oleh orang Melayu sendiri.

Memulihkan kembali keyakinan mereka tidaklah semudah mengubati panau atau kurap dan cukup dengan ceramah dan kata-kata saja, apatah lagi jika Tun Mahathir berjaya menampilkan sebuah pentadbiran yang menggembirakan rakyat dalam tempoh lima tahun sehingga PRU15 akan datang.

Yang kedua, BN ketika ini sudah mula berpecah dan mengecil dengan beberapa parti di Sabah dan Sarawak mula meninggalkan gabungan itu.

Dalam keadaan itu, bagaimanakah Ku Li mampu mencipta keajaiban yang mampu menghasilkan kemenanga buat BN?

Jika Ku Li masih ada cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri, barangkali menduduki kerusi Presiden UMNO adalah laluan yang lurus ke arah cita-citanya itu.

Bagaimanapun – maaf cakap – dalam keadaan UMNO yang sudah rosak teruk dan BN tidak lagi stabil ketika ini, selain parti itu sendiri sedang mencari-cari pemimpin yang banyak wang dan sedia mengorbankan kekayaannya, kesedian Ku Li untuk menerajui UMNO tidak lebih merupakan tindakan membuang masa serta wangnya saja.

*ShahbudinHusin adalah penulis buku kritik politik terkenal.

KLIK VIDEO: Polis serbu ‘rumah selamat’ Najib di Putrajaya

KLIK BACADi mana salahnya apabila blogger A Kadir Jasin 

KLIK BACA: Bukan mudah walaupun ramai tunggu Najib ditangkap, kata Dr Mahathir di Jepun

KLIK BACA: Dr Mahathir mengaku tiada bukti saya curi wang 1MDB – Najib

KLIK BACA: Jho Low serah sendiri surat, PM Tun Mahathir tak beri muka

KLIK BACA: Kerajaan tak akan guna wang curi untuk bayar haji, kata Dr Mahathir di Jepun

KLIK BACA: Umno perlekeh lawatan Tun M ke Jepun, Malaysia negara koboi?

KLIK BACA: Teori RAHMAN terbukti benar, Najib Perdana Menteri terakhir UMNO

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share