oleh A Kadir Jasin

Yang baik tidak perlu dipuji sangat-sangat sebab itulah matlamat PH. Rakyat jelata memberi kita mandat untuk melakukan yang terbaik.

PH jangan sekali-kali termasuk ke dalam jebak yang memerangkap Umno/Barisan Nasional iaitu puji memuji, ampu mengampu dan bangga mendabik dada.

Apa yang lebih utama adalah bagi kerajaan PH belajar daripada kesilapan Umno/BN dan daripada kesilapannya sendiri sejak dua minggu lalu untuk dijadikan teladan dan sempadan.

Kalau saya diizinkan meminjam ungkapan bahasa Inggeris, PH sebenarnya sudah pun merasa “baptism of fire” apabila kerana terlalu ghairah telah melakukan beberapa salah langkah.

Dalam agama Kristian, perasmian seseorang sebagai penganut atau pembersihan rohnya dilakukan dengan memercikkan air suci ke dahi atau menenggelamkannya di dalam air.

Jadi “baptism of fire” atau penyucian dengan api adalah sesuatu yang berat yang dalam maksud figuratifnya bererti pengalaman getir ketika memulakan kerja atau tugas baru.

Dalam hal ini bolehlah saya katakan yang Menteri Kewangan, Lim Guan Eng aka LGE, telah melalui baptisme api apabila, pada hemat saya, beliau terlanjur “memainkan” isu hutang kerajaan.

Memang benar kerajaan baru telah menemui beberapa perkara besar yang menjurus ke arah membuktikan bahawa kerajaan dulu telah berbohong atau tidak menyatakan kebenaran.

Hutang kerajaan adalah antaranya. Apa yang ditemui adalah tanggungan hutang kerajaan pusat jauh lebih besar daripada yang selama ini dinyatakan oleh bekas Menteri Kewangan (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak.)

Ini kerana Najib dan konco-konconya hanya menyatakan hutang kerajaan pusat. Apa yang tidak dimasukkan adalah hutang agensi-agensi kerajaan yang dijamin oleh kerajaan pusat.

KLIK BACA: Orang muda suka jika Najib terima hukuman

KLIK BACA: Najib mungkin bekas PM pertama didakwa atas tuduhan jenayah

KLIK BACA: Beri Rafizi jawatan kerajaan, ketua Audit, Pengerusi 1MDB

Bila hutang kerajaan dicampurkan dengan hutang agensi-agensi yang dijamin oleh kerajaan pusat, maka tanggungan hutang kerajaan menjadi berganda besarnya.

Kesilapan LGE adalah dalam euforia dan keseronokan luar biasa menemui hal-hal yang membuktikan dakwaan PH selama ini benar, telah terlupa memikirkan semasak-masaknya apakah implikasi buruk pendedahan itu.

Biar saya beri peringatan kepada semua menteri dan pegawai mereka agar lebih berhati-hati membuat kenyataan kepada media massa.

Perbatuan politik (political milage) tidak sama dengan perbatuan ekonomi (economic milage). Yang baik untuk politik tidak semestinya baik untuk ekonomi dan pasaran.

Khusus buat LGE yang saya kenal cukup lama dan mempunyai perhubungan yang cukup sivil walaupun buat sekian lama berbeza ideologi politik, berhati-hatilah dalam membuat kenyataan dan penghebahan.

Kita dalam PH menjanjikan reformasi. Jadi eloklah kita mulakan dengan mereformasi cara kita berfikir dan bertindak.

Kita tidak perlu sensasi atau menjerit di puncak suara lagi. Kita sudah menjadi kerajaan.

Hendak hukum Najib, Rosmah Mansor, Jho Low, Arul Azrul Kanda Kandasamy, Irwan Serigar Abdullah, Mohamad Apandi Ali, bekas IGP, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, bekas Pengerusi SPR, Rizal Mansor, Riza Aziz, Isa Samad, Habibul Rahman Kadir, Abdul Azeez Rahim dan banyak lagi konco-konco era kleptokrasi, boleh malah wajib.

Tapi biarlah kita lakukan melalui proses undang-undang kerana itulah yang terbaik apatah lagi PH sendiri berjanji menjunjung kedaulatan undang-undang.

Lebihkan bekerja demi rakyat jelata daripada berkata-kata dan mencari tajuk berita.

Wallahuaklam.

*Datuk A Kadir Jasin ialah Anggota Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

KLIK BACA: Orang muda suka jika Najib terima hukuman

KLIK BACA: Najib mungkin bekas PM pertama didakwa atas tuduhan jenayah

KLIK BACA: Beri Rafizi jawatan kerajaan, ketua Audit, Pengerusi 1MDB

KLIK BACA: Tak perlu simpati kerajaan PH bubar JASA, Majlis Profesor Negara (MPN) – Kadir Jasin

KLIK BACA: Rafidah: Zahid tolonglah jangan mengarut derma Najib…

KLIK BACA: Umno diseru bangkitkan semangat pemberontak Melayu – Tengku Putra Haron Aminurrashid

KLIK BACA: Surat terbuka bekas polis cawangan khas Datuk Hamid Bador didedahkan

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share